Monday, March 19, 2012

Isu Zionis: Jawapan kepada Mahmud Zuhdi


Susulan kenyataan Profesor Mahmud Zuhdi dalam akhbar Sinar Harian hari ini yang mengulas jawapan Presiden PAS ketika menjawab persoalan hadirin dalam majlis makan malam Dewan Muslimat PAS di Shah Alam tempoh hari, suka untuk saya jelaskan beberapa perkara.

Pertama, kenyataan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tersebut selari dengan pendirian rasmi Dr Yusuf Al Qardhawi, Pengerusi Persatuan Ulama Dunia, bahawa kita menentang Israel bukan kerana mereka Yahudi, tetapi kerana mereka menjajah tanah umat Islam Palestin dan fahaman zionis mereka. Penubuhan negara haram Israel bukan sahaja melibatkan Yahudi tetapi juga adanya konspirasi melibatkan Kristian Evangelis. Bermakna Zionis itu bukan melibatkan kesemua Yahudi, tetapi sebahagian Yahudi dan segelintir Kristian mazhab Evangelis.

Kedua, di kalangan penganut Yahudi salah satu cabang dalam mazhab ortodok sendiri menentang Zionisme dan dianggap sesat daripada agama Yahudi yang sebenar. Mereka menganggap penubuhan Negara Israel diatas tanah umat Islam Palestin ibarat menggali kubur besar kepada orang Yahudi sendiri. Yahudi sebegini terlibat sama dalam banyak muktamar pembebasan Palestin yang diadakan di Beirut, Istanbul, London dan Tehran. Malah ada diantara mereka dipenjarakan oleh rejim Zionis Israel kerana menentang penubuhan negara tersebut.

Saya keliru kenyataan Prof Mahmud Zuhdi menyatakan bahawa Yahudi zaman Rasulullah berbeza dengan Yahudi hari ini kerana mereka berakhlak mulia. Sedangkan Yahudi di zaman Rasulullah pun ramai yang jahat dan menyeleweng daripada kitab taurat. Namun ada yang bermuamalah dengan Nabi. Tauladan Nabi ini akan terus berlaku sepanjang zaman.

Begitu juga hari ini, wujud Yahudi berfahaman Zionis yang zalim menjajah dan membunuh umat Islam dan wujud juga Yahudi yang menolak dan menentang penubuhan penjajahan dan kezaliman tersebut. Mereka banyak tinggal di Amerika dan Eropah. Malah di zaman ini ada diantara mereka memeluk Islam dan menjadi pendakwah terkenal seperti Muhamad Asad daripada Austria dan Mariam Jamilah daripada Amerika.

Prof Mahmud Zuhdi juga mengatakan bahawa jawapan Hadi tergelincir daripada landasan Islam dan bertujuan politik untuk menjaga hati pemimpin tertentu yang menyokong Yahudi Zionis adalah tuduhan yang berat. Mungkin beliau tidak membaca kenyataan rasmi Presiden PAS dan disambut oleh Mursyidul Am PAS secara tegas bahawa PAS menolak kewujudan negara haram Israel.

Malah Presiden PAS juga tegas menyatakan jika kesemua negara Arab bersetuju pembahagian wilayah Palestin dan Israel, kita tetap menentangnya kerana Palestin bukan milik Arab, tetapi milik umat Islam.

Oleh itu, tidak timbul soal Presiden PAS memberi jawapan politik untuk menjaga hati sesiapa tetapi berasaskan fakta, sejarah dan hukum di dalam agama Islam. - Penulis ialah Setiausaha Akhbar Presiden PAS. - Harakah

Isu Yahudi-Zionis: Nik Aziz pertahan Hadi

19 Mac 2012

SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan kenyataan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin sambil menegaskan, pihaknya hanya menentang urusniaga dengan kerajaan Zionis, yang menurutnya menguasai tanah Palestin secara haram.

Kelmarin, Abdul Hadi berkata, aktiviti urusniaga dengan Yahudi dibenarkan, tetapi bukan dengan Zionis.

Kenyataan itu mengundang kritikan pemimpin-pemimpin Umno yang menyifatkan Pas sebagai parti tidak konsisten.

"Adapun yang ditentang oleh Pas ialah melakukan urusniaga dengan kerajaan Zionis yang tertegak pada hari ini di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin.

"Berurusniaga dengan kerajaan Zionis Israel ertinya mengiktiraf kewujudan mereka dan mengiktiraf kewujudan Israel merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu kata beliau, menjadi rakan dagang negara Israel juga termasuk dalam berurusniaga dengan entiti haram Israel.

Beliau seterusnya berkata, "hairannya, ada sesetengah pihak nampaknya cuba menjadi juara menentang Israel tetapi dalam masa yang sama menjalin hubungan dagang dengan negara Israel." Baca SINI

Dengan merujuk kepada soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd Hatta Ramli di Dewan Rakyat Selasa lalu, Nik Abdul Aziz berkata, agar mengejutkan apabila jawapan diberikan oleh Menteri Kewangan menyebut larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) telah dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994.

Selaras dengan ini barangan yang diimport dari Israel kini dibenarkan tertakluk kepada Lesen Import dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Tidakkah ini merupakan bukti cerah seterang matahari di siang hari tentang hubungan dagang dengan Israel?

"Hairan saya, tidak malukah akhbar milik Umno memainkan isu ini sedangkan jawapan rasmi dalam Dewan Rakyat menjelaskan keterlibatan hubungan dagang Malaysia- Israel," katanya lagi.

Dalam kenyataannya hari ini, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, hakikatnya menerima akidah Yahudi lebih bahaya daripada menerima wang dari Yahudi.

"Apakah yang dimaksudkan dengan akidah Yahudi? Ia adalah menolak sebahagian ayat-ayat Allah SWT dan hanya menerima apa yang selari dengan hawa nafsu mereka.

"Demikian juga dengan mereka yang mengaku Muslim tetapi menolak Islam sebagai cara hidup dan menerima ideologi kebangsaan sekular untuk menjadi pegangan.

"Bukankah ikrar seringkali dilafazkan di dalam solat bahawa kita memohon dijauhkan terjebak dengan jalan orang-orang yang dimurkai Allah SWT, dan golongan itu ialah Yahudi," katanya lagi. - Sinar harian

Akidah Yahudi lebih bahaya
 
Nik Aziz Nik Mat | Mar 19, 2012 - Susulan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM seperti yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian hari ini Isnin 19 Mac 2012 di halaman N4 yang bertajuk Presiden PAS Kelirukan Umat Islam, saya ingin membuat sedikit penjelasan lanjut. Selain itu sukalah saya turut merujuk kepada kenyataan beberapa orang pimpinan UMNO yang menyatakan bahawa Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim menerima dana daripada Yahudi.

Yahudi tidak meminta untuk menjadi Yahudi, sebagaimana Melayu tidak meminta untuk dilahirkan sebagai Melayu. Justeru, sedari dulu lagi saya sentiasa konsisten untuk menyatakan bahawa bangsa tidak ada apa-apa kelebihan dan kekurangan di sisi Allah SWT. Nilai yang melebihkan manusia ke atas manusia yang lain ialah imannya kepada Allah SWT. Menjulang keris ke langit menjerit ketuanan bangsa tidak akan membantu apa-apa ke arah keharmonian hidup antara kaum.

Bolehkah berurusniaga dengan Yahudi? Perlulah diingat bahawa ada beza antara Yahudi dengan Zionis. Yahudi sebagai seorang individu dan manusia tidak mempunyai apa-apa beban kesalahan yang dipikul di atas bahunya hanya semata-mata dirinya seorang Yahudi. Bahkan Rasulullah SAW sendiri berurusan dengan Yahudi. Di dalam hadis sahih Bukhari dinukilkan kata-kata daripada Ummul Mukminin Aisyah Radhiallahuanha :

تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَدِرْعُهُ مَرْهُونَةٌ عِنْدَ يَهُودِيٍّ بِثَلَاثِينَ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ

yang bermaksud : "Telah wafat Rasulullah SAW dalam keadaan baju besinya tergadai kepada seorang Yahudi dengan (nilaian) 30 sho' gandum..."

Di dalam hadis ini, jelas sekali dinyatakan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi untuk mendapatkan 30 sho' (ukuran berat di zaman tersebut) gandum untuk keperluan harian baginda dan keluarga. Jika berurusniaga dengan bangsa Yahudi itu salah, sudah tentu ia tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW. Contoh yang lebih untuk difahami ialah jika datangnya seorang Yahudi untuk membeli atau menjual sesuatu, adakah urusniaga tidak boleh dilakukan semata-mata kerana beliau seorang Yahudi? Jika ada yang menyatakan haram, tidak ada sebab lain melainkan hanyalah kerana kejahilan tentang Islam.

Adapun yang ditentang oleh PAS ialah melakukan urusniaga dengan kerajaan zionis yang tertegak pada hari ini di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin. Berurusniaga dengan kerajaan zionis Israel ertinya mengiktiraf kewujudan mereka dan mengiktiraf kewujudan Israel merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan. Menjadi rakan dagang negara Israel juga termasuk dalam berurusniaga dengan entiti haram Israel. Hairannya, ada sesetengah pihak nampaknya cuba menjadi juara menentang Israel tetapi dalam masa yang sama menjalinkan hubungan dagang dengan negara Israel.

Saya ingin merujuk kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Kuala Krai, Mohd Hatta bin Mohd Ramli di Dewan Rakyat pada 13 Mac 2012 yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimana barangan dari Israel dikatakan boleh berada di dalam pasaran Malaysia. Agar mengejutkan apabila jawapan diberikan bahawa ".... larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) telah dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994. Selaras dengan ini barangan yang diimport dari Israel kini dibenarkan tertakluk kepada Lesen Import dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri..."
 
Tidakkah ini merupakan bukti cerah seterang matahari di siang hari tentang hubungan dagang dengan Israel? Hairan saya, tidak malukah akhbar milik UMNO memainkan isu ini sedangkan jawapan rasmi di dalam Dewan Rakyat menjelaskan keterlibatan hubungan dagang Malaysia - Israel?

Hakikatnya, menerima akidah Yahudi lebih bahaya daripada menerima wang dari Yahudi. Apakah yang dimaksudkan dengan akidah Yahudi? Ia adalah menolak sebahagian ayat-ayat Allah SWT dan hanya menerima apa yang selari dengan hawa nafsu mereka. Demikian juga dengan mereka yang mengaku muslim tetapi menolak Islam sebagai cara hidup dan menerima ideologi kebangsaan sekular untuk menjadi pegangan. Bukankah ikrar seringkali dilafazkan di dalam solat bahawa kita memohon dijauhkan terjebak dengan jalan orang-orang yang dimurkai Allah SWT, dan golongan itu ialah Yahudi. Firman Allah SWT :
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (6) صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ (7)

yang bermaksud : "Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat..." - Surah al-Fatihah, ayat 6-7

Muslim yang menolak sebahagian ayat-ayat Allah dan menerima ideologi kebangsaan sekular hakikatnya sedang menerima akidah Yahudi sekalipun nama mereka bukan Yahudi. Ini lebih merbahaya. Akidah inilah yang paling penting. Rasulullah SAW tidak diutuskan hanya untuk mengajar tentang solat dan puasa. Bahkan di dalam sejarah, solat lima waktu hanya difardhukan pada tahun ke-10 kenabian manakala puasa pula pada tahun ke-15 kenabian (tahun kedua hijrah). Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebelum pensyariatan solat dan puasa jika tidak menegakkan akidah?

Hari ini dalam keadaan kemelut jenayah yang semakin meningkat sekalipun negara semakin "selamat", tidak ada jalan lain untuk menjadi penyelesaian kecuali kembali kepada undang-undang Allah SWT. Inilah yang PAS lakukan sepanjang 22 tahun mentadbir negeri Kelantan. Pertanyaan saya yang dari dulu hingga sekarang, apakah yang dilakukan oleh PAS di Kelantan yang bertentangan dengan Islam?

Adakah mengharamkan premis judi bertentangan dengan Islam? Adakah menghadkan penjualan arak bertentangan dengan Islam? Adakah mengalihkan wang kerajaan dari perbankan riba kepada perbankan Islam bertentangan dengan Islam? Adakah mentadbir negeri dengan bebas daripada rasuah bertentangan dengan Islam? Ini hanyalah beberapa persoalan daripada ribuan persoalan yang wujud apabila UMNO bersungguh-sungguh untuk merampas Kelantan.

Nasihat saya, tinggalkanlah akidah Yahudi. Baliklah kepada akidah Islam yang sebenar, Islam yang syumul dan lengkap yang diturunkan oleh ALlah SWT. Jika andainya dijemput oleh Allah SWT, adakah dengan penerimaan terhadap Islam pada hari ini boleh menjadi bekal mengadap Allah SWT?

*Kenyataan media oleh Nik Aziz Nik Mat selaku Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan. - MR

Presiden Pas kelirukan umat Islam, kata pakar
WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Mac 2012
SHAH ALAM – Pakar akademik menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai urusan perniagaan boleh dilakukan dengan Yahudi akan memecah belah umat Islam.
 
Pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Datuk Prof Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, tindakan Hadi membuat perbandingan antara Yahudi sekarang dengan mereka yang hidup pada zaman Rasulullah SAW adalah tidak tepat dan ia lebih kepada motif politik.

Katanya, orang Yahudi pada zaman dahulu memiliki akhlak baik dan sanggup bekerjasama dengan pemimpin dan umat Islam berbanding sekarang.

“Apa dapat kita saksikan kini orang Yahudi membina penempatan­ haram selepas menghalau penduduk Palestin dari tanah air sendiri dengan bantuan Zionis. Bekerjasama dengan Yahudi bererti menyokong Zionis.

“Hadi tergelincir dari landasan Islam sebenar dan seolah-olah menggadaikan perjuangan Islam. Selama saya mengenalinya, Hadi tegas dan kenapa tunduk pemimpin sokong musuh Islam,” katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata, Ahli Parlimen Marang itu mengeluarkan kenyataan­ sekadar menyedapkan mulut dan mengambil hati pemimpin tertentu.

Menurutnya, Hadi perlu memperjelaskan perkara sebenar dan tidak gentar kenyataan pemimpin tertentu yang menyokong Yahudi atau Zionis.

Sebagai ulama, Hadi perlu bercakap benar walaupun ia pahit dan tidak gentar sokongan politik untuk pilihan raya akan datang semata-mata demi perjuangan agama. - Sinar Harian


http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/03/isu-zionis-jawapan-kepada-mahmud-zuhdi.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular