Apakah sejarah kibaran bendera Israel ini akan berulang?
KUALA LUMPUR 29 Mac: Selepas mendedahkan hubungan dagangan Malaysia dan Israel, KEADILAN sekali lagi tampil dengan bukti membongkar penglibatan Malaysia melobi negara Zionis itu untuk mendapatkan sokongan penganjuran Persidangan Gas (WGC) yang akan berlangsung pada Jun 2012.
Setiausaha Agong KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan surat daripada Persatuan Gas Malaysia (MGA) kepada Institut Petroleum dan Tenaga Israel bertarikh 6 September 2005 menunjukkan Malaysia merayu Israel bagi menyokong negara ini menjadi tuan rumah persidangan tersebut.
“Pendekatan merayu bantuan Israel mendapat restu dan atas nasihat Wisma Putra. Penganjuran pula dikendalikan WGA yang diwakili Petronas dan dinasihati bekas Perdana Menteri Tun Mahathir.
“Malah KEADILAN mempunyai bukti Tun Mahathir dan Wisma Putra sedia maklum mengenai pendekatan Malaysia merayu sokongan Israel untuk mendapatkan hak penganjuran tetapi merestui sahaja pendekatan ini,” dedahnya di lobi Parlimen hari ini.
Sidang media itu turut dihadiri Pengarah Strategi KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli. Bermula 4 hingga 8 Jun 2012, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada persidangan WGC yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.
Persidangan itu adalah persidangan terbesar yang akan mengumpulkan syarikat-syarikat minyak dan gas dari seluruh dunia. Menurut Saifuddin, penganjur WGC dipilih oleh anggota Pertubuhan Gas Antarabangsa yang turut diangotai Israel, Rusia, Brunei dan Indonesia.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, pada surat melobi Israel itu, Malaysia turut menawarkan untuk mengurus penginapan dan pendaftaran wakil-wakil Israel ke persidangan IGU di Tianjun China.
“Sikap Umno dan pimpinan mereka yang menentukan dasar Wisma Putra bertentangan dengan keinginan rakyat Malaysia yang tidak mahu sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.
“Malah pendedahan kali ini membongkar hipokrasi Umno dalam hubungan dengan Zionis kerana bukan sahaja mereka menyatakan hasrat untyuk mengadakan hubungan diplomatik malah terbukti mereka pernah melutut merayu sokongan Israel,” katanya. - sumber
KETERLIBATAN KERAJAAN MALAYSIA MERAYU KEPADA BADAN ISRAEL UNTUK MENDAPATKAN SOKONGAN PENGANJURAN PERSIDANGAN GAS DUNIA
KEADILAN mempunyai bukti kukuh termasuklah laporan, surat menyurat dan dokumen-dokumen lain yang mengesahkan sikap talam dua muka Umno yang secara diam-diam merestui hubungan dua hala di antara Malaysia dan Israel sedang ia menyerang Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.
Hubungan tidak rasmi di antara Umno dan kerajaan atau badan-badan Israel bukanlah perkara baru. Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menulis surat kepada 3 orang Perdana Menteri Israel yang berasingan menyatakan hasrat beliau yang mewakili Umno untuk menjalin hubungan diplomatik yang normal dengan Israel. Tindakan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang melantik APCO yang diketuai tokoh-tokoh yang rapat dengan Israel mengesahkan lagi wujudnya hubungan baik di antara Umno dan Israel.
Malah, sikap ini turut menular di dalam dasar luar negara seperti yang ditentukan oleh Wisma Putra.
Hari ini, KEADILAN akan membongkarkan bagaimana Umno dan pimpinannya mengambil sikap berbaik-baik malah memohon bantuan dari Israel, walaupun secara rasminya Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara tersebut.
Bermula 4 hingga 8 Jun 2012, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Gas Sedunia (World Gas Conference) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur. Persidangan ini adalah persidangan terbesar yang akan mengumpulkan syarikat-syarikat minyak dan gas dari seluruh dunia.
Penganjuran Persidangan Gas Sedunia dipilih melalui undi oleh anggota Pertubuhan Gas Antarabangsa (International Gas Union) yang turut dianggotai oleh negara-negara seperti Malaysia, Israel, Russia, Brunei, Indonesia dan banyak negara lain.
KEADILAN boleh mengesahkan bahawa semasa Malaysia melobi untuk mendapatkan hak menganjurkan persidangan ini dalam tahun 2005, Malaysia telah merayu bantuan Israel untuk menyokong cadangan Malaysia menjadi tuan rumah. Malah, Malaysia turut menawarkan secara tidak langsung untuk menguruskan penginapan dan pendaftaran wakil-wakil Israel ke Persidangan IGU di Tianjin, China.
Pendekatan merayu bantuan Israel ini mendapat restu dan atas nasihat Wisma Putra. Penganjurannya pula dikendalikan oleh Persatuan Gas Malaysia yang diwakili oleh PETRONAS dan dinasihati oleh Tun Mahathir. Malah, KEADILAN mempunyai bukti bahawa Tun Mahathir dan Wisma Putra sedia maklum mengenai pendekatan Malaysia merayu sokongan dari Israel untuk mendapatkan hak penganjuran tetapi merestui sahaja pendekatan ini.
Bersama-sama ini disertakan satu surat dari wakil Malaysia kepada wakil Israel yang mengesahkan bahawa Wisma Putra telah merestui pendekatan merayu bantuan dan sokongan Israel demi mendapatkan hak penganjuran sebuah persidangan antarabangsa.
Sikap Umno dan pimpinan mereka yang menentukan dasar Wisma Putra adalah bertentangan dengan keinginan rakyat Malaysia yang tidak mahu ada sebarang hubungan diplomatik sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan Israel. Malah, pendedahan kali ini membongkarkan hipokrasi tertinggi Umno dan pimpinan mereka dalam isu hubungan dengan Israel kerana bukan sahaja mereka menyatakan hasrat untuk mengadakan hubungan diplomatik, malah terbukti mereka pernah melutut merayu sokongan dari Israel.
KEADILAN mendesak penjelasan dari Wisma Putra dan Tun Mahathir Mohamad mengenai pendirian yang telah diambil sehingga merestui pendekatan pihak penganjur Persidangan Gas Sedunia yang merayu bantuan dan sokongan Israel, kerana ini bertentangan dengan solidariti rakyat Malaysia dengan perjuangan rakyat Palestin.
KEADILAN akan terus menyiarkan dokumen-dokumen dan surat-menyurat bagi membuktikan bagaimana pimpinan Umno terlibat secara langsung di dalam perkara ini.
DATO’ SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
SETIAUSAHA AGONG KEADILAN
MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
29 MAC 2012
http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/03/bukti-terbaru-umno-minta-sokongan.html
No comments:
Post a Comment