KEADILAN membantah sekeras-kerasnya tindakan Barisan Nasional seperti yang diumumkan oleh Dato’ Seri Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menjemput bidaan baru bagi memilih kontraktor mengambil alih operasi Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).
Kebelakangan ini, tindakan-tindakan Barisan Nasional secara jelas bertujuan untuk menutup secepat mungkin skandal ini tanpa merungkai soal pertanggungjawaban semua pimpinan tertinggi Barisan Nasional yang terbabit. Beberapa contoh tindakan yang diumumkan tetapi tidak dilaksanakan termasuklah:
1) Pengumuman pembekuan aset oleh Perdana Menteri; tetapi operasi, perbelanjaan dan penstrukturan aset di dalam NFC dan syarikat-syarikat berkaitan terus berjalan seperti biasa; bertujuan untuk menghapuskan bukti penyelewengan;
2) Pengumuman perlantikan juruaudit bebas oleh Timbalan Perdana Menteri; tetapi sehingga kini skop audit, kepada siapa juruaudit akan bertanggungjawab dan bilakah laporan audit akan dibentangkan kepada Dewan Rakyat tidak diketahui rakyat. Saya khuatir audit yang dijalankan ini hanyalah untuk mengenalpasti segala penyelewengan yang berlaku agar bukti-bukti penyelewengan dapat dihapuskan secepat mungkin.
Persoalan pokok dalam skandal NFC ialah keterlibatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang bertanggungjawab menganugerahkan projek bernilai RM250 juta secara terus kepada NFCorp yang beliau sedia maklum tidak mempunyai pengalaman dan dimiliki keluarga rakan karib beliau, Dato’ Seri Shahrizat Jalil.
Tindakan itu mencerminkan kecuaian Perdana Menteri dan memungkinkan berlakunya penyelewengan dan pecah amanah.
Perkara ini masih belum dijawab oleh Perdana Menteri. Malah, tindakan beliau mahu membuka bidaan baru jelas membuktikan hasrat beliau untuk menutup kesalahan beliau yang menganugerahkan kontrak kepada pihak yang tidak layak.
KEADILAN berpendirian bahawa selagi segala persoalan bersabit pertanggungjawaban Perdana Menteri dan pegawai-pegawai tertinggi tidak disiasat dan dirungkai, kerajaan tidak boleh membuka bidaan baru kerana ini cubaan memadamkan kesalahan Perdana Menteri.
Oleh kerana niat Perdana Menteri untuk menutup kesalahan beliau itu adalah jelas, saya tidak ada pilihan lain kecuali menumpukan kembali fokus untuk membongkar penyelewengan-penyelewengan lain yang telah dan masih berlaku di dalam NFC.
Hanya dengan desakan rakyat yang memuncak barulah Perdana Menteri akan menerima pertanggungjawaban, seperti mana yang telah dibuat oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil.
Siri pembongkaran akan diteruskan bermula minggu depan.
MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/03/najib-cuba-tutup-tahi-sendiri.html
No comments:
Post a Comment