Sunday, December 18, 2011

DrM masihkah anda ingat tarikh2 ini? 30Nov1998, 2Feb99 dan 30Mac99 ..siapa yg melutut? Siapa agen asing?

Membidas Hipokrasi Tun Dr.Mahathir
Telah sekian lama Dato’ Seri Anwar Ibrahim diitohmah dengan pelbagai tuduhan. Tatkala dipenjara, antara fitnah yang dilemparkan ke atas beliau kononnya beliau adalah alat kepada Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Tuduhan ini direkayasa semenjak tahun 1998 lagi lantaran komitmen Dato’ Seri Anwar dalam memastikan disiplin pengurusan kewangan negara yang berteraskan tatakelola dan pertanggungjawaban. Dato’ Seri Anwar bertegas menolak preskripsi ekonomi yang mahu menyelamatkan kroni dan elit politik ekonomi sedangkan rakyat perit berhadapan krisis ekonomi 1997/98.
Lantaran ketegasan Dato’ Seri Anwar inilah Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad merasakan perlu menyingkirkan beliau dari tampuk kepimpinan negara.

Setelah lebih dari satu dekad fitnah terhadap Dato’ Seri Anwar dan keluarga beliau masih diteruskan oleh pimpinan UMNO serta juak mereka.Pimpinan UMNO mahu beliau terus ditohmah hatta bercanggah dengan kehendak agama dan nilai budaya yang tulus. Apa yang tidak pimpinan UMNO dan Tun Dr. Mahathir sedari, rakyat tidak lagi senang diperbodohkan. Fitnah yang direkayasa tidak ampuh menggugah keyakinan rakyat untuk mendokong Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum akan datang.

Tohmahan Tun Dr. Mahathir bahawa Dato’ Seri Anwar adalah agen Barat,IMF dan Bank Dunia kini mula menghantui mantan Perdana Menteri tersebut. Rakyat Malaysia tidak mudah lupa bagaimana Tun Dr. Mahathir bersekongkol dengan Jack Abramoff dalam usaha beliau melobi untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat George W. Bush.

Malah menurut rekod Bank Dunia, selepas Dato’ Seri Anwar dipecat,Malaysia masih menerima bantuan Bank Dunia sedangkan di hadapan khalayak tanpa segan silu mantan Perdana Menteri itu semberono memfitnah Dato’ Seri Anwar sebagai perkakas Bank Dunia sekaligus agen Barat.

Beberapa hari lalu Tun Dr Mahathir telah mencabar Dato’ Seri Anwar bersumpah dengan menjunjung al Quran. Sewajarnya sebelum mantan Perdana Menteri itu mencabar sesiapa bersumpah menjunjung al Quran,eloklah dia meneliti kepentingan siapa dalam syarikat arak San Miguel.

Sewajarnya dinyatakan tatkala masih menjawat jawatan Menteri Kewangan,Dato’ Seri Anwar telah menulis kepada Bank Dunia bahawa Malaysia tidak lagi memerlukan bantuan institusi kewangan itu. Kini sudah terang lagi bersuluh, politik hipokrit usang serta propaganda fitnah pasti tewas kerana kebenaran pasti muncul.

Rujukan pada pautan di bawah adalah bukti jelas betapa Tun Dr.Mahathir telah berbohong dan cuba memutarbelitkan fakta kenyataan beliau yang terdahulu. Jika diteliti, ianya jelas menunjukkan komitmen Bank Dunia kepada Malaysia pada zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir.



By Anwar Ibrahim –Kenyataan Media–
Eekmal Ahmad
Koordinator Media Pejabat Dato’ Seri Anwar Ibrahim

IMF: Tun Mahathir cuba alih isu

KUALA LUMPUR, 18 Dis: Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dilihat berada dalam keadaan terdesak dan tertekan apabila tindakan beliau meminjam dari Bank Dunia sudah terbongkar walaupun selama ini beliau menafikannya.

Ketika dihubungi harakahdaily, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memberitahu Mahathir sekarang terkedu dan terdesak dan sedang cuba mencari alasan untuk mengalih pandangan rakyat dari isu beliau meminjam wang dari Bank Dunia pada tahun 1999.

"Rekod yang mengatakan beliau melakukan pinjaman juga telah didedahkan oleh laman web Bank Dunia dan sekarang Mahathir memikirkan cara terbaik untuk menutup pembohongan beliau iaitu memfitnah Anwar yang merupakan Menteri Kewangan krtika itu.

"Kenapa beliau takut dan kalau betul baik mengaku sahaja jangan melepaskan apa yang beliau lakukan kepada orang lain," katanya.

Tambahnya lagi pendedahan pinjaman itu menunjukkan ianya berlaku pada tahun 1999 iaitu selepas Anwar dipecat sebagai Menteri Kewangan dan juga Timbalan Perdana Menteri.

Laman web Bank Dunia mendedahkan bahawa Malaysia membuat pinjaman sebanyak tiga kali pada tahun 1999 dan sekali pada 1998 yang berjumlah AS$400 juta dan pinjamam itu dibuat setelah Anwar dipecat dari kabinet.

Pinjaman Mac 1999 itu atas nama projek "Malaysia Education Sector Support Project", "Malaysia Social Sector Support Project" dan "Malaysia Year 2000 Technicial Assistance Project" manakala pada 18 Jun 1998 bagi projek "Malaysia Economic Recovery and Social Sector Loan".

"Dulu beliau cuba tunjukkan dirinya sebagai 'hero' yang tidak akan tunduk kepada Bank Dunia yang bersikap 'kapitalis'.

"Tetapi sekarang segalanya terbukti bahawa Mahathir diwaktu siang beliau bermusuh dengan Bank Dunia tetapi malam menjadi teman perbualan telefon.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, rakyat sendiri boleh melihat sikap berpura-puraan dan berbohong Mahathir hanya untuk kepentingan sendiri.

Katanya, dalam isu itu Mahathir yang sepatutnya perlu bersumpah bukan Anwar, dan seluruh rakyat sedang menunggunya.

"Beliau sepatutnya bersumpah yang beliau tidak pernah memohon bantuan dari Bank Dunia, dan jika laporan tersebut itu tidak benar maka beliau perlu mengambil tindakan undang-undang.

"Tapi adakah beliau seberani itu untuk bertindak, yang saya pasti beliau akan terus menyerang Anwar kerana baginya isu Bank Dunia sewaktu Anwar berada dalam kabinet beliau," kata Mahfuz.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular