KUALA LUMPUR: Malaysia bukan lagi negara hukum, sebaliknya perlahan-lahan menjadi negara polis atau negara diktator, berikutan penguasanya bersikap ‘bersultan di mata, beraja di hati’, kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari.
“Negara Berperlembagaan (constitutional state) ialah negara yang dipandu Perlembagaan. Semua orang, dari raja sampai ke rakyat bertindak mengikut peruntukan dan semangat Perlembagaan,” katanya.
Bercakap kepada Keadilandaily.com, beliau berkata, negara berperlembagaan mempunyai prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) dan semak dan imbang (check and balance), tetapi peristiwa seminggu lalu menunjukkan sebaliknya.
“Polis bertindak mengikut kehendak parti pemerintah. Mahkamah tidak kelihatan simpati dengan Perlembagaan dan rakyat dihalang dari menikmati hak yang tertera dalam Perlembagaan.
Minggu lalu, polis bertindak ganas menyerbu pejabat Bersih, menahan mereka yang memakai baju kuning dan mengganggu ceramah aman di dalam premis parti.
Aziz dengan menjadikan pengharaman baju kuning sebagai contoh, berkata, kerajaan melanggar prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan.
“Kerajaan dan polis perlu ingat, undang-undang merangkum semangat tertentu. Sebab itu, polis perlu menggunakan pertimbangan khususnya prinsip kemunasabahan (reasonableness) dan tidak keterlaluan (proportionality),” katanya.
“Tahun lalu, Menteri Dalam Negeri memberitahu perhimpunan mahasiswa yang Malaysia tidak lagi dalam darurat. Hishammuddin macam tak tahu hal itu,” katanya.
Aziz juga kesal kerana isu agama dan peribadi dikaitkan hingga mendorong Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) memerintahkan masjid di Kuala Lumpur membacakan khutbah mengutuk Bersih, Jumaat lalu.
“Bersih bukan soal Ambiga itu ada cita-cita besar atau anti-Islam atau dia itu Hindu. Atau soal Mat Sabu. Ini semua mengarut. Ada unsur hasutan kerana nampak sangat hendak membangkitkan kemarahan umat Islam.
“Ini melanggar Perlembagaan yang meletakkan agama di tangan Yang di-Pertuan Agong. Sekaligus mereka mengheret istana ke kancah politik,” katanya. - KD
No comments:
Post a Comment