Tuesday, October 23, 2012

Hudud, Qisas Dan Takzir Hukum Mandatori Islam: Merealisasikan Kesempurnaan Islam Dizaman Moden: Kembalikan Umat Kepada Hukum Agama Masing-Masing Dan Lontarkan Hukum Sekular Jauh Dari Kehidupan Beragama.


Assalaamualaikum dan salam hormat.
Penulis telah menegaskan bahawa dalam perlaksanaan hudud dan qisas dalam dunia moden khususnya Malaysia, umat bukan Islam tidak diwajibkan menerima hukum hudud.
Sebab-sebab wajarnya hudud dan qisas hanya diwajibkan kepada umat Islam sahaja:
1) Keadaan negara Malaysia dihuni oleh tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India, sertakan berbagai suku kamu yang banyak. Kaum Cina majority beragama Budha, Kaum Melayu beragama Islam dan kaum India beragama Hindu. Dan suku-suku kaum yang lain di Malaysia Timur ramai yang beragama Kristen. Maka umat Islam telah hilang daya kuasa mutlaknya kerana perkongsian kuasa memerintah dengan kaum Cina dan India, dan suku-suku kaum yang lain. Jadi penguatkuasaan hudud tidak dapat dilakukan kepada mereka kerana umat melayu Islam telah hilang daya penguasaan mutlak.
2) Malaysia bukan daulah Islamiah dimana orang bukan Islam wajib tunduk kepada orang Islam. Orang bukan Islam di Malaysia boleh dikatakan kafir harbi kerana istilah kafir harbi ialah kafir yang menentang pemerintahan daulah Islamiah. Maka memaksakan umat bukan Islam kepada hudud dan qisas di Malaysia adalah tidak menepati konsep kafir harbi daulah Islamiah.
3) Mewajibkan hukum Islam kepada bukan Islam adalah tidak wajar sebagaimana umat Islam tidak wajar dipaksa menerima hukum agama bukan Islam. Kerana perlaksanaan hukum Islam adalah dengan rasa dan tanggungjawab keimanan dalam Islam.
Marilah kita tinjau zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam untuk mencari satu kesepakatan dalam melaksanakan hukum hudud dan qisas ALLah, supaya hukum Islam itu dapat direalisasikan di tanah air tercinta…
Hukum Islam wajib atas seluruh umat di zaman Rasulullah atas keupayaan penguasaan mutlak:
Di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, hukum Islam dipatuhi secara mutlak oleh semua kaum. Ini disebabkan umat Islam pimpinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mempunyai penguasaan mutlak. Masyarakat adalah majoritynya dari umat Arab beragama Islam. Perundangan Islam boleh sahaja dikuatkuasakan kepada semua kaum yang ada. Demikian tujuan Rasulullah diutus iaitu untuk menjadi hakim kepada permasalahan umat sedunia.
Firman ALLah Taala bermaksud “Dialah yang telah mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar untuk dizahirkan atas seluruh agama yang lain sekalipun orang-orang musyrik membencinya” (at-Taubah 9 :33)
Namun bagaimanakah hukum Islam boleh direalisasikan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia ini? Apakah kerana hilangnya daya penguasaan mutlak umat Islam, maka hukum Islam terlepas dari taklifnya? Penulis mengatakan jika ada yang mengatakan hukum hudud dan qisas tidak dapat lagi dilaksanakan dalam dunia moden, ertinya dia telah merendahkan Islam, dia telah meragui kemampuan hukum agamanya sendiri.
Peranan ijtihad dalam merealisasikan hukum Islam di zaman dan negara berbeza dari zaman dan daulah Rasulullah:
Penulis telahpun menuliskan satu sirah dimana Muaz bin Jabal diutus ke Mesir oleh Rasulullah. Sebelum berangkat beliau ditanya Baginda apakah sumber beliau untuk memutuskan masalah umat? Muaz menjawab Quran. Ditanya Nabi lagi jika masalah umat itu tidak terdapat dalam Quran? Muaz menjawab Sunnah. Dan ditanya Baginda lagi, jika masalah itu tidak terdapat dalam Sunnah? Muaz menjawab “Aku akan menggunakan akal fikiranku sendiri”. Dan Rasulullah membenarkan Muaz.
Apakah intipati dari Sirah tersebut? Iaitulah peranan ijtihad dalam perkara zamani yang baru muncul yang berbeza dengan zaman Rasulullah terdahulu.
Dan perbezaan zamani Malaysia dengan Madinah ialah, Malaysia dihuni oleh tiga kaum terbesar yang majoritynya hampir sama antara satu sama lain, dan juga suku-suku kaum yang lain yang banyak. Dan jumlah umat Islam dan bukan Islam hampir sama banyaknya. Sedangkan Madinah di zaman Rasulullah, umat Islam adalah majority jauh lebih ramai dari umat Yahudi dan yang lain.
Mengimplimentasikan hukum Islam di Malaysia dengan mengujudkan suasana beragama dalam menghukum:
Maka untuk mengimplikasikan suasana beragama di Malaysia yang unik ini, wajiblah setiap jenayah yang dilakukan oleh satu-satu kaum dikembalikan kepada hukum agama mereka. Ertinya umat Krisen, Budha dan Hindu tidak boleh dipaksakan menerima hukum hudud dan qisas atas jalan ini.
1) Umat-umat beragama selain Islam hendaklah kembali kepada hukum agama mereka bagi setiap jenayah. Umpamanya jika orang Kristen berzina, mereka hendaklah kembali kepada Bible untuk menghukum penzina itu iaitu rejam, kerana dalam Perjanjian Lama Ulangan, hukum bagi penzina ialah rejam. Demikian juga bagi penzina beragama Budha dan Hindu hendaklah dihukum menurut agama Budha dan Hindu. Dengan demikian Malaysia akan lebih unik kerana setiap kaumnya dilihat sangat patuh dalam menghayati agama masing-masing. Ini lebih adil dari memaksakan setiap penganut agama kepada satu hukum ciptaan otak manusia.
2) Semua umat beragama di Malaysia hendaklah meninggalkan hukum ciptaan sekular kerana sekular tidak diajarkan oleh agama manapun. Ia adalah ajaran orientalis yang pada asalnya untuk memusnahkan penghayatan Islam syumul umat Islam. Sekular sebenarnya juga bertentangan dengan ajaran Kristen dimana dalam Bible Perjanjian Lama cukup sarat dengan hukuman bagi setiap jenayah yang dilakukan umatnya. Apatah lagi bagi Islam, sekular adalah diharamkan kerana ia memisahkan agama dari kenegaraan, ia bercanggah dengan Sunnah dan bercanggah dengan kesyumulan Islam.
ALLah dan RasulNya menegaskan iktiqad dan hukum Islam tidak boleh dipaksaan kepada bukan Islam:
Marilah kita buka minda secara taslim bagaimana Rasulullah melaksanakan keadilan Islam untuk menjadi pertunjuk kepada umat Islam Malaysia ini…
Apabila orang kafir musyrikin Mekah melihat Islam semakin diterima ramai, mereka merasa cemas. Satu keputusan diambil untuk berjumpa Rasulullah untuk mengajak Rasulullah berkompromi dalam beragama. Mereka merasa dengan cara itu agama nenek moyang mereka akan dapat bertahan. Meraka menyarankan pada pagi hari kaum Muslimin bersama-sama mereka menyembah berhala dan pada waktu petang pula mereka sama-sama beribadah menyembah ALLah bersama-sama kaum Muslimin.
Namun ALLah Taala menurunkan wahyuNya kepada Rasulullah untuk menolak saranan kaum jahiliah itu…
Firman ALLah Taala bermaksud “Wahai orang-orang kafir. Aku tidak menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak menyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak beribadah seperti cara kamu beribadah. Dan kamu tidak beribadah seperti cara aku beribadah. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku” (al-Kafirun 109: 1-6)
Jelas di sini ALLah dan RasulNya telah menegaskan tidak boleh memaksakan dalam iktiqad dan hukum Islam kepada orang bukan Islam. Orang kafir tidak boleh memaksakan iktiqad dan amalan agama mereka kepada orang Islam. Demikian juga sebaliknya.
Maka menafsirkan hukum hudud wajib diterima pakai kepada bukan Islam akan menjatuhkan Rasulullah kepada keadaan berdusta, seolah-olah pada awal perkembangan Islam Rasulullah tidak mahu berkompromi agama tetapi setelah Islam berkuasa mahu pula dipaksakan Islam kepada bukan Islam. Penafsiran begini adalah tidak wajar kerana Sirah Rasulullah pula menegaskan hukum bagi sesuatu kaum hendaklah dirujuk kepada agama kaum itu sendiri…
“Dari Abdullah bin Umar r.a: Sesungguhnya pernah suatu ketika dua orang Yahudi lelaki dan perempuan yang berzina dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w berangkat menemui orang-orang Yahudi lalu bertanya: Apakah hukuman ke atas orang yang melakukan zina sebagaimana yang terkandung di dalam kitab Taurat? Mereka menjawab: Kami akan mencontengkan muka mereka dengan warna hitam, dan menaikkannya di atas kenderaan dalam keadaan beriringan, kemudian kami membawa mereka mengelilingi jalan. Selanjutnya baginda berkata: Datangkanlah kitab Taurat itu sekiranya kamu berlaku jujur. Kemudian mereka mengambil kitab Taurat dan membacanya. Ketika bacaan mereka sampai pada ayat rejam, tiba-tiba dia meletakkan tangannya di atas ayat tersebut dan dia hanya membaca ayat yang sebelum dan selepasnya. Abdullah bin Salam yang turut bersama Rasulullah s.a.w pada waktu itu berkata kepada beliau: Perintahkanlah dia supaya mengangkat tangannya. Pemuda tadi lalu mengangkat tangannya. Dan ternyata ayat yang ditutupinya itu ialah ayat rejam. Kemudian Rasulullah s.a.w memerintahkan agar kedua orang yang berzina tadi dihukum rejam. Lalu hukuman itupun dilaksanakan. Abdullah bin Umar berkata lagi: Aku adalah termasuk daripada mereka yang ikut merejam mereka. Dan aku melihat lelaki tersebut berusaha mengelak dari rejaman batu itu” (Riwayat Muslim)
Sirah tersebut menunjukkan bagaimana Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menangani kes zina antara dua umat Yahudi. Walaupun Baginda adalah penguasa mutlak Madinah, yang mempunyai daya penguasaan mutlak, namun Baginda memerintahkan kes perzinaan umat Yahudi itu dirujuk terlebih dahulu kepada kitab Taurat. Walau mereka cuba mengelak dari direjam menurut kitab Taurat, Namun Rasululallah memerintahkan hukum Taurat itu dilaksanakan kepada kedua penzina itu.
Kesimpulan yang tidak dapat ditolak:
Maka penulis menegaskan, dakwaan penentang hudud bahawa hudud wajib dilaksanakan kepada orang bukan Islam di Malaysia, adalah tidak benar. al-Quran, Sirah tersebut dan kewajaran zamani adalah membuktikannya. Ertinya jika hukum agama Budha mengatakan penzina hendaklah dikupas kulit badannya, itulah hukum yang sewajibkan dipakai bagi penzina beragama Budha, dengan hujah Rasulullah memerintahkan penzina Yahudi dihukum menurut hukum rejam yang terkandung di dalam kitab Taurat mereka.
Namun jika umat bukan Islam melihat keadilan dan keberkesanan hukum hudud atau mana-mana hukum Islam  dalam menangani masalah masyarakat, Islam tidak sekali-kali menegah mereka berbuat demikian. Kerana walau Islam itu tertaklif kepada umat Islam, rahmatnya meliputi sekelian alam, Cuma hati-hati kaum bukan Islam belum terbuka menerima kesyumulan Islam.
Dan penulis menegaskan lagi, jika penentang hudud dan qisas mengatakan hukum Islam tidak boleh dilaksanakan hanya kerana Malaysia negara berbilang kaum, ia adalah menjatuhkan Islam agama yang tidak mempunyai penyelesaian zamani, yang membawa kepada rosaknya iktiqad kerana ia membayangkan Islam bukanlah agama yang syumul. Ia adalah sikap munafik yang telah melanda jiwa umat Islam, yang tidak mahu melihat Islam mempunyai seribu satu jalan penyelesaian dalam apa juga masalah umat manusia.
Firman ALLah Taala bermaksud “Tidakkah engkau perhatikan orang-orang yang menyangka bahwa mereka beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan apa-apa yang diturunkan sebelum kamu. Mereka hendak berhukum kepada Thaghut, padahal mereka telah diperintah untuk mengingkari thaghut. Syaitan hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang jauh. Dan jika dikatakan kepada mereka marilah berhukum kepada apa yang Allah turunkan dan kepada Rasulullah, maka kalian lihat orang-orang munafiq itu menghalangi manusia dengan sekuat-kuatnya dari mendekati kamu” (an-Nisa’ 4: 60-61)
Wassalam. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular