Thursday, August 9, 2012

Edisi Kantoii! Kelentong Umno pecah, dongeng Merdeka terbarai

Politik Malaysia terkini semakin sehari semakin menarik. Bulan Ogos adalah bulan paling rancak untuk menilai sejarah. Selama setengah abad parti United Malays National Organisation telah memiliki hegemoni dan monopoli terhadap semua jalur naratif sejarah perjuangan bangsa.

Selama lebih 40 tahun gerombolan United Malays National Organisation berkelentong menjual sejarah organisasi mereka. Hampir setengah kurun gerombolan ini bersama koncu-konconya berkisah bahawa merekalah yang berhak ke atas bumi Tanah Melayu ini. 

Dengan menjual nasi basi Ketuanan Melayu, parti siasah ini ke hulu ke hilir membawa labun dongeng bahawa mereka sahajalah pejuang kemerdekaan. Dengan slogan ‘Hidup Melayu’ parti siasah ini mereka kisah-kisah dongeng bahawa merekalah pejuang yang menentang penjajah British.


Sayang seribu kali sayang. Kemunculan internet mengubah semua ini. United Malays National Organisation bukan lagi satu kuasa hegemoni yang berupaya memonopoli maklumat. Jalur naratif perjuangan bangsa tidak lagi dimonopoli gerombolan ini. Kuasa mengawal maklumat tidak lagi dimiliki oleh United Malays National Organisation. Hegemoni telah pecah. Terima kasih Ronald Reagan kerana menghadiahkan internet kepada dunia. 

Mitos dan kisah dongeng pertama yang diterbarai oleh internet ialah tentang naratif perjuangan bersenjata. Selama lebih dari setengah abad warga Tanah Melayu dikelentong dengan kisah bahawa perjuangan menuntut merdeka dilakukan tanpa pertumpahan darah. Tanah Melayu mendapat merdeka melalui perundingan. Parti siasah United Malays National Organisation berunding di London dengan British. Ini memang kisah hampeh. Ini cerita karut lagi marut yang ditabur setiap bulan Ogos sejak 1958. 

Selama lebih 40 tahun fakta bohong ini berjaya ditabur kerana warga tidak memiliki maklumat alternatif. Sejarah perjuangan melawan British disongsangkan. Tetapi melalui intenet, hari ini anak-anak muda mula mengenali Chin Peng, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh, Pak Sako, Aziz Ishak, Ibrahim Yaacob, Abdullah CD, Ahmad Boestaman, Dr Burhanuddin Helmy dan Ustaz Abu Bakar Al- Baqir. 

Anak-anak muda semua bangsa kini mengetahui bahawa parti siasah yang tertua di Tanah Melayu ialah Parti Komunis Malaya (1930). Malah turut sama berjuang melawan British ialah Kesatuan Melayu Muda (1938), Angkatan Pemuda Insaf (1946), Angkatan Wanita Sedar (1946), Hizbul Muslimin (1948) Parti Kebangsaan Melayu Malaya (1945). Semua gerakan nasionalis ini melaungkan M-E-R-D-E-K-A sebagai slogan pejuangan. Ramai kader dan ahli parti ini bersama PKM mengangkat senjata melawan British. 

Kini anak semua bangsa mula mengenal Mat Indera yang mati digantung oleh British pada malam 30 Januari 1953 di Penjara Taiping. Setelah mangkat 59 tahun dahulu, hari ini Mat Indera menjadi ikon anak muda setaraf dengan Che Geuvera. Sekali lagi, terima kasih Ronald Reagan. 

Semakin ramai anak muda sedar bagaimana United Malays National Organisation telah memesongkan sejarah perjuangan menghalau British. Lihat fakta sejarah ini: United Malays National Organisation hanya ditubuhkan pada 1946. Sebelum United Malays National Organisation muncul, banyak parti dan kumpulan siasah yang lama berjuang menentang British. 

Gerombolan United Malays National Organisation hanya dapat berkembang sebagai sebuah parti politik apabila British mengharamkan PKM, API, KMM dan Hizbul Muslimin. Malah, sehingga ke hari ini, nama organisasasi – Umno – masih lagi menggunakan nama Inggeris. Dari fakta sejarah, umum mengetahui United Malays National Organisation tidak melaungkan MERDEKA sebagai slogan perjuangan. Parti yang namanya dalam Bahasa Inggeris ini menjadi lawak seram apabila ‘Hidup Melayu’ dan bukan ‘Hidup Inggeris’ menjadi slogan perjuangan. 

Pembohongan paling memualkan ialah apabila anak-anak muda mula mengenal Pierre Jean de Berenger (1780-1857) – pembuat lagu Mamula Moon. Kini telah diketahui umum, bagaimana Mamula Moon berevolusi untuk menjadi lagu Terang Bulan di Indonesia. Lagu Terang Bulan ini kemudian diciplak untuk menjadi lagu Negaraku di Malaysia. Baca SINI

Sekarang, fakta sejarah ciplakan yang selama ini cuba disorok telah bocor. Warga Malaysia mula bangun dan melaungkan yang mereka mahu satu lagu kebangsaan yang baru. Anak-anak muda sedang menghampehkan lagu Negaraku. Sekali lagi terima kaseh Ronald Reagan. 

Tidak cukup dengan lagu kebangsaan negara yang diciplak, kini timbul perbincangan di kalangan anak-anak muda untuk mengubah rupa bentuk bendera Malaysia. Ini kerana bendera Malaysia yang wujud hari ini dilihat sebagai ciplakan dari bendera Amerika Syarikat. Melalui maklumat internet, orang ramai tahu bahawa selama ini wujud bendera Sang Saka Merah Putih yang membawa motif Nusantara. Jalur Gemilang nama yang hanya baru diberi empat tahun dahulu tidak bermotif roh Nusantara. Dapat dilihat dengan jelas bahawa Jalur Gemilang bermotif ciplakan dari The Star Spangled Banner. Baca SINI

Pembohongan demi pembohongan yang disalut dengan ciplakan ini akhirnya melahirkan lawak hitam lagi sedih. Lawak hitam ini muncul sesudah 8 Mac 2008. Sesudah tarikh ini, sejarah Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak berubah untuk selama-lamanya. United Malays National Organisation tidak lagi dilihat sebagai sebuah parti siasah tetapi sebagai satu gerombolan penyamun yang sedang menyamun harta negara. Kebencian orang ramai kepada parti ini tidak dapat dinafikan lagi. Orang ramai menunggu masa untuk menghumbankan parti ini ke tong sampah sejarah. 

Di saat saat genting ini – dalam keadaan nyawa-nyawa ikan – United Malays National Organisation cuba memenangi kembali hati anak-anak muda yang sedang berguru dengan internet dan media baru. Putar punya putar muncul logo untuk sambutan hari 31 Ogos. Apabila muncul sahaja logo 31 Ogos ini serangan datang bertalu-talu dari laman dari blog, dari facebook dan twitter, anak-anak muda terus berkicau memperlekehkan logo ini.

Pelekehan logo 31 Ogos ini memiliki sejarah kerana pada tahun 2008 logo 31 Ogos juga diciplak dari Taiwan. Tetapi ketika itu, serangan anak muda agak terhad. Tetapi kali ini serangan datang bergantang-gantang sehinggakan pungutan suara melalui media baru di Malay Mail – akhbar pro United Malays National Organisation – terpaksa dipadam. Logo 31 Ogos ini diperlekeh dan ditolak. Baca SINI
Penolakan dan pelekehkan oleh anak-anak muda ini menakutkan United Malays National Organisation. Ini kerana mereka sedar undi anak mudalah yang akan menentukan siapa yang akan menjadi jaguh di PRU 13 nanti.

Dalam keadaan kelam kabut ini Menteri yang berwajib cuba mencari jalan keluar. Menteri Kelam Kabut ini cuba memanggil pandangan dan cadangan dari orang ramai sebagai jalan penyelesaian. 

Ha! Ha! Jalan penyelesaian bukan semudah yang dimimpikan kerana jalan penyelesaian ini pula memunculkan satu lagi lawak seram lagi hitam. Lawak hitam logo 31 Ogos berjangkit pula kepada lagu tema 31 Ogos. Tema lagu ini dirancang dengan licik untuk digunakan sebagai alat propaganda untuk memenangi hati orang ramai pada PRU 13. 

Tiba-tiba laman media baru meledak dengan berita bahawa lagu tema 31 Ogos ini rupa-rupanya diciplak dari lagu gereja Indonesia. Kah kah kah !! Sudah jatuh ditimpa tangga. Kini muka terhempap pula ke tahi lembu. Sekali lagi, terima kasih Ronald Reagan. Baca SINI

Di sebalik semua ini, apakah yang sebenarnya terjadi? Betulkan logo 31 Ogos itu hodoh? Betulkah lagu tema 31 Ogos itu diciplak dari lagu gereja Indonesia? Dua soalan ini tidak memerlukan jawapan. Malah soalan ini pun tidak relevan. 

Bukan logo cun atau lagu cool yang menjadi ingin diwujudkan. Apa yang sedang berlaku sekarang ialah manifestasi tentang kebencian orang ramai terhadap United Malays National Organisation. Penolakan dan pelekehan terhadap logo dan lagu ini adalah manifestasi betapa bencinya anak-anak muda dan orang ramai terhadap United Malays National Organisation. 

Sama ada lagu ‘Janji Ditepati’ ada persamaan dengan lagu ‘Tuhanku Maha Besar’ memang tidak relevan. Sama ada dua bar atau lima bar petikan gitarnya berbunyi sama bukan persoalan. Bukan semua yang menentang lagu ini tahu tentang muzik. Malah, mungkin ramai yang mengutuk lagu ini di facebook tidak pun mendengar untuk membuat bandingan kedua-dua lagu ini. Tetapi semua ini tidak penting. Yang wajib kita fahami ialah semua ini adalah menifestasi dari kebencian orang ramai terhadap United Malays National Organisation. 

Penolakan dan pelekehan ini muncul kerana umum mengetahui bahawa parti siasah United Malays National Organisation ini tidak bermaya lagi. Parti ini sedang nazak. Kalau kayu tepi sungai sudah condong, bukan sahaja kura-kura akan memanjat, malah ia akan dijadi pangkin untuk terberak. 

Hari ini, kebencian sampai ke kemuncaknya. Apa sahaja yang dicadangkan, apa sahaja yang dianjurkan – semuanya akan ditolak. Semuanya akan diperlekeh. Malah, sebelum pun keluar satu perkataan keluar dari mulut Najib – Presiden United Malays National Organisation - perkataan itu tidak dipercayai. Terima kasih Ronald Reagan. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=34266
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular