Najib dapat 'face saving device'
Titah Kebawah Duli Tuanku Yang diPertuan Agong semalam supaya kedua-dua belah pihak, Putrajaya dan Bersih (yang diharamkan oleh kerajaan) merupakan satu ‘face-saving device’ bagi pihak yang memerintah. Campur tangan Yang diPertuan Agong itu banyak memberikan kita kefahaman dan penilaian terhadap isu yang sedang negara hadapi.Pihak Polis telah menyatakan secara terbuka yang tidak ada lagi perundingan dengan penganjur rally ini dan setiap kuasa yang ada kepada mereka (polis) akan dipergunakan untuk memastikan rally itu tidak terjadi. Pemimpin-pemimpin UMNO pula mundar mandir dengan kenyataan-kenyataan yang bengis dan marah-marah kerana isu ini. Cara mereka (pemimpin-pemimpin UMNO) menampakan pengakuan mereka yang penganjuran rally ini membuatkan mereka panik sehinggakan tiada lagi jalan yang mereka nampak selain dari mengharamkan pertubuhan NGO (Bersih) ini.
Kata-kata sudah terlanjur. Mata berpandangan, budi kedapatan. Rakyat yang ramai sudah mulai merasa bosan dan mual dengan keadaan yang berlaku. Semua tindakan reaksi kepada Bersih kesemuanya tindakan politik dan kata-kata pun merupakan kata-kata politik. Kelemahan kita semakin hari semakin jelas dilihat ramai. Oleh kerana mereka (pemimpin) hanya pandai ‘politicking’ mereka menganggapkan segala perbuatan orang lain itu adalah tindakan politik.
Takut pada bayang-bayang sendiri semakin kuat. Perasaan rendah diri semakin menebal. Perasaan takut kian menhantui mereka dan jalan yang terbaik untuk melindungi perasaan takut dari pandangan ramai ialah dengan menangkap dan cuba memomokan yang tindakan pengajur rally ini sebagai tindakan politik.
Bebagai-bagai tuduhan dilemparkan terhadap penganjur terutamanya terhadap Ambiga, pengerusi Bersih. Ada pemimpin terutama negara menggunakan isu agama dan isu Lina Joy untuk membuatkan orang ramai tidak mengikut rally Bersih ini. TV1 dan TV3 serta Utusan dijadikan seperti lapang sasar menembak. Ketua Polis Negara dan Timbalannya bercakap seperti ahli Politik.
Semasa terdesak diperguna segala alim ulamak untuk mengulas rally ini dengan interpritasi agama yang memihak terhadap mereka di kaca-kaca TV dan media cetak. Rally ini haram mengikut itu dan ini dalam agama. Orang yang menyertai rally itu musuh negara dan itu melanggar hukum agama. Tidak pula diminta pemimpin yang rasuah juga adalah melanggar agama.
Menuduh penganjur rally itu sebagai komunis itu fitnah tetapi tidak pula melanggar agama kepada ulamak yang memihak kepada ‘the buttered side of the bread’. Semuanya melanggar agama kecuali mereka yang berkuasa yang menggunakan segala-galanya untuk melakukan kerja hina dan keji.
Maha Guru silat, Omar Din berkata yang beliau tidak benarkan sesiapa melangkah setapak untuk ber rally ini. Jika dilakukan juga ribuan ahli silat beliau akan bertindak dan sanggup berperang habis-habisan. Entah siapa yang hendak berperang kita tidak tahu. Yang penting mesti tunjuk garang.
Belum pun rally dilakukan tangkapan sudah dilakukan. Malahan pihak yang tidak mahu rally ini di adakan sudah pun melakukan demonstrasi besar-besaran diPulau Pinang dua hari yang lepas. Api mahu dilawan dengan api. Segala-galanya ini membayangkan betapa kecilnya jiwa pemimpin yang kononnya akan membawa perubahan dan transformasi yang besar kepada politik dan ekonomi negara.
Pemimpin kita tidak ada rasa segan dan silu untuk berucap berapi-api sedangkan mereka yang berucap berapi-api itu sendiri tahu yang apa yang mereka ucapkan itu hanyalah retorik kosong yang diulang berkali-kali yang tidak akan membawa apa-apa kejayaan. Kita hanya duduk ditepi melihat gelagat dan sikap pemimpin-pemimpin yang hanya memaparkan ‘disposition’ mereka saling tidak tumpah seperti pelakon filem Bollywood semata-mata.
Hishamudin Husein bertindak mengharamkan Bersih. Belum pun musuh menghampiri keris sudah keluarkan. Orang tua-tua dahulu ada berkata, ‘anak muda yang julung berkeris, batang pisang pun di sanggahnya’.
Maka terguran Kebawah Duli Tuanku YDPA merupakan ‘face saving device’ bagi Najib dan barisan pimpinannya. Najib sekarang dapat mencari jalan untuk berunding dengan teguran diRaja itu. Untuk beliau memanggil kembali pihak Bersih untuk berunding sudah tidak boleh lagi kerana sebelumnya pihak yang berkuasa termasuk Polis telah dengan angkuhnya menyatakan yang rundingan telah ditutup.
Keadaan ini merupakan satu hikmah yang membuktikan Institusi Raja itu terlalu penting kepada rakyat. Kepada anak-anak muda, fahamilah, jangan mencaci Institusi tempat kita berlindung seperti apa yang dilakukan oleh parti UMNO pada tahun 1993 dahulu. Suara-suara yang berlindung di sebalik Raja sekarang ini cukup untuk membuktikan yang negara berbagai kaum ini amat memerlukan Institusi ini. Semasa berkrisis dengan Raja-Raja dahulu (1993) pemimpin-pemimpin UMNO telah membelasah Raja-Raja Melayu tanpa sempadan.
Jangan semasa terdesak Raja-Raja itu baik, tetapi apabila sudah kuat Institusi ini ditempeling seolah-olah Raja Melayu ini lebih tinggi darjatnya dari pemimpin-pemimpin kita. sejarah telah memberikan pelajaran kepada kita. Yang garang-garang dengan Raja Melayu dahulu sekarang berlindung di sebalik ketiak Raja.
Jangan pula koyak ketayap di kepala kerana lonjak dan kesombongan kita sendiri. - Aspan Alias
No comments:
Post a Comment