SHAH ALAM 12 DIS: Analisa dari segelintir “pakar ekonomi” yang ekonomi negara akan merudum sekiranya Kerajaan Umno-BN tumbang dalam pilihanraya akan datang tidak mengambil kira kelemahan pengurusan kewangan Kerajaan Pusat.
Persepsi mereka tidak mengambil kira rasuah, ketirisan dan sikap meninggikan hutang negara oleh Kerajaan Umno-BN, serta dasar penswastaan yang merugikan rakyat dan menguntungkan syarikat kroni, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Analisa mereka juga tidak mengambil kira kejayaan Pakatan Rakyat (PR) dalam mentadbir negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang di mana ia mengurangkan ketirisan, meningkatkan rizab negeri serta meningkatkan pelaburan.
Juga terdapat tafsiran yang salah bahawa pertukaran pentadbiran akan mendatangkan kepincangan kerana negara-negara seperti Thailand dan Indonesia terus mengalami kadar pertumbuhan yang memberangsangkan walaupun telah tukar kerajaan.
Abdul Khalid berkata, kepercayaan bahawa perubahan politik akan membawa kesan negatif terhadap ekonomi adalah hasil daripada politik ketakutan yang cuba disemai kerajaan Umno-BN sekarang.
Dilaporkan sebelum ini bahawa, syarikat analisa antarabangsa seperti JP Morgan mengeluarkan laporan yang mengatakan prestasi ekonomi Malaysia hanya akan baik sekiranya Umno-BN terus menguasai Kerajaan Pusat.
“Kedudukan ekonomi Malaysia semakin merudum dan penunjuk paling ketara adalah hutang negara yang semakin besar dan Kerajaan Pusat terus meminjam berbilion ringgit yang akan dipikul generasi akan datang.
“Dalam jangka masa panjang, prestasi ekonomi Malaysia hanya boleh dijamin dengan adanya Kerajaan Pusat yang bebas daripada amalan rasuah, kronisme dan kegagalan pengurusan yang diamalkan Kerajaan Umno-BN,” katanya dalam satu sidang media.
Abdul Khalid menggesa JP Morgan serta syarikat antarabangsa lain berhati-hati dan memastikan analisa tidak berat sebelah serta menghormati hak demokratik rakyat untuk memilih kerajaan.
“Sebagai contoh, walaupun melalui proses perubahan politik yang cukup ketara namun Thailand dan Indonesia mencatat pertumbuhan ekonomi 4.2 peratus dan 6.4 peratus.
“Ini membuktikan penukaran kerajaan tidak semestinya membawa kesan ekonomi yang buruk sebaliknya ada kalanya penukaran kerajaan amat diperlukan untuk merealisasikan reformasi dan pembaikan ekonomi yang menyeluruh,” jelasnya. - SelangorKu
"Segala pertempuran ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya" .. Klik SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
No comments:
Post a Comment