Saya percaya rata-rata umat Islam marah apabila Nabi Muhammad dipersenda sebegitu rupa dalam; 'Innocence of Muslims'. Saya juga turut mempunyai perasaan sebegitu rupa. Cuma saya berpendirian kita perlu lebih berhikmah dalam menangani masalah ini.
Soal penghinaan sejak dari zaman Rasulullah sendiri sudah ramai yang mempersendakannya, hatta nabi-nabi terdahulu juga tidak terlepas daripada penghinaan umatnya ketika itu. Ada beberapa perkara yang boleh kita semak semula supaya perkara ini dapat ditangani secara hikmah :
1) Sibuk memarahi individu yang menghina Islam tetapi kita terlupa melihat bangsa dan kaum sendiri yang menghina Islam dengan menolak hukum Islam.
2) Sibuk memarahi individu yang menghina Islam tetapi kita terlupa melihat individu yang memeluk Islam itu sendiri gagal mencerminkan akhlak Islam yang sebenar kepada penganut agama lain.
3) Sibuk memarahi individu yang menghina Islam tetapi kita terlupa pemimpin negara kita sendiri tidak mencerminkan sistem keIslaman yang sebenar-benarnya kepada negara bukan Islam yang lain.
4) Sibuk memarahi individu yang menghina Islam tetapi kita telah menyekat usaha-usaha pendakwah di negara ini ingin berdakwah kepada umat di negara ini samada Islam mahupun bukan Islam; Fiqh Ummah 2012.
5) Sibuk memarahi individu yang menghina Islam tetapi di negara kita sendiri dihidangkan dengan hiburan yang melupakan dan menjauhkan kita daripada agama. Hatta pemimpin negara sanggup menari dan menyanyi bersama anak muda atas alasan ingin menarik hati anak muda.
Saya tidak menolak inisiatif segelintir umat yang ingin turun berdemonstrasi berkaitan isu ini. Bahkan saya juga bersetuju akan usaha ini, cuma persoalannya mereka yang turut dalam demonstrasi ini adakah mereka benar-benar ingin menentang penghinaan terhadap Islam atau sekadar ingin mendapatkan popularitas sempena pilihanraya yang bakal diadakan.
Saya mencadangkan agar jika benar mereka ingin menentang setiap penghinaan terhadap Islam mahupun Nabi Muhammad; Rasul Agung, maka pastikan penghinaan dari dalaman dibersihkan terlebih dahulu.
Jangan bertindak atas kepentingan popularitas politik semata tetapi pada masa yang sama pimpinan tertinggi dalam parti masih 'menghina' hukum-hakam yang dibawa oleh Nabi Muhammad.
Firman Allah dalam al Quran; "Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan". (as-saff 2-3). - Kehidupan Adalah Perjuangan
No comments:
Post a Comment