Friday, September 21, 2012

Coretan Sempena Himpunan Membantah Filem Hina Rasulullah SAW - YB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat


Allah SWT berfirman : وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ yang bermaksud : Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. - Surah al-An'am, ayat 108
 
Besok pagi insya-allah akan diadakan satu bantahan di Medan Ilmu Kota Bharu seusai sahaja kuliah pagi Jumaat sekitar jam 10.30 pagi. Bantahan tersebut diadakan sebagai mengecam penerbitan filem “Innocence of Muslims” yang menghina Rasulullah SAW. 
Kemudiannya, satu lagi bantahan lebih besar akan diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur selepas solat Jumaat besok hari. 

Ertinya, protes ini bukan satu perkara main-main, seluruh umat Islam saya kira amat wajar memberikan perhatian terhadap konflik ini. Di celahan ini, suka saya menitipkan beberapa perkara untuk renungan kita semua. Agar jangan nanti kita hanya berakit mengikut arus, ke hulu dan ke hilir tanpa sedar sang buaya menunggu untuk menerkam mangsa. 

 Pertama, menerbitkan filem menghina Rasulullah SAW jelas merupakan satu penghinaan. Namun, meninggalkan syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan menggantikannya dengan syariat yang lain tetap juga merupakan satu penghinaan. 

Tidakkah kewujudan golongan ini di kalangan umat Islam yang menyedihkan Rasulullah SAW di akhirat nanti? Firman Allah SWT : وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآَنَ مَهْجُورًا yang bermaksud : Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai". - Surah al-Furqan, ayat 30. 

 Wujudnya golongan inilah yang menjadi punca kesedihan Rasulullah SAW. Justeru, sukalah saya mengingatkan semua pihak, dalam pada kita mengisi dada-dada akhbar dengan kemarahan kita terhadap penerbitan filem ini, di manakah pula kedudukan al-Quran selaku perlembagaan dalam hidup kita sebagai seorang muslim dan juga dalam kehidupan bernegara kita? Walhal, menolak al-Quran dan menggantikannya dengan pemikiran sekular adalah juga satu penghinaan yang cukup besar terhadap diri Rasulullah SAW. 

 Kedua, inilah hikmah Allah SWT memerintahkan kita mengulang-ngulang ayat terakhir di dalam surah al-Fatihah iaitu : صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ yang bermaksud : Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. - Surah al-Fatihah, ayat 7 

 Para mufassirin menjelaskan bahawa golongan yang dimurkai oleh Allah SWT itu ialah golongan Yahudi manakala golongan yang sesat itu pula ialah golongan Nasrani. 

Kedua-dua golongan ini hakikatnya telah diberikan kitab sebelum kedatangan Islam, namun mereka merubah isi kandungan kitab Taurat dan Injil sehingga mengundang kemurkaan Allah SWT. Dalam erti kata lain, mereka ialah golongan ahli kitab atau disebut hari ini sebagai ulama, namun mereka memilih untuk menjual agama dan hidup dalam kesesatan. 

Betapa besarnya murka Allah SWT kepada golongan ini sehingga dipilih untuk disebut-sebut di dalam bacaan surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam solat. Jika golongan Yahudi dan Nasrani yang merupakan tok lebai pun sanggup untuk menjual agama, apakah hairannya jika hari ini muncul pula tok lebai yang sanggup menjual agama? Tidakkah di dalam lembaran sejarah, yang mampu untuk menjual agama ialah tok lebai? 

Sedar atau tidak, golongan ulama inilah yang lebih besar dosanya dari pencipta filem “Innocence of Muslims”! Natijahnya, masyarakat awam menjadi keliru apabila segolongan agamawan bersungguh-sungguh berusaha menegakkan sistem hidup Islam manakala muncul pula agamawan yang bertindak menjadi penghalang. 

Padahal, jika tidak mampu jaringkan gol, sekurang-kurangnya janganlah jadi penghalang untuk orang lain menjaringkan gol! 

 Ketiga, saya harapkan agar kita boleh melangkah lebih jauh dari sekadar mengadakan protes. Mereka tegar melakukan penghinaan ini kerana mereka sedar, bantahan daripada umat Islam seluruh dunia tidak akan memberikan bekas kepada mereka. 

Paling tidak, setelah penat mengutuk, tangan tak lepas mengepit rokok keluaran Barat! Jika ini berlaku, maafkan saya untuk menyatakan bahawa duduk diam di rumah jauh lebih baik daripada bertopengkan manusia yang cintakan Rasulullah SAW. 

Cadangan saya, sampai masanya diadakan boikot secara besar-besaran. Pastikan negara manakah yang benar-benar bertanggungjawab membenarkan video ini disebarkan dan gunakan kekuatan ekonomi umat Islam selaku pengguna! Saya optimis, jika semua pihak berganding bahu, kita akan melihat golongan-golongan ini lebih berhati-hati di masa hadapan. 

 Insya-allah, saya akan mengulangi ketiga-tiga perkara di atas di dalam kuliah saya di Medan Ilmu pagi besok... hadirlah beramai-ramai! 

 Salam hormat, NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT, Pulau Melaka, Kota Bharu. Bertarikh : 4 Zulakedah 1433H bersamaan 20 September 2012M

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular