Wednesday, September 19, 2012

ISLAM WASSATIYAH CARA UMNO


BIAR GAMBAR BERBICARA....PARA PEMIMPIN & PENGIKUT UMNO MASIH ADA YANG MENGAMALKAN PERKARA SYIRIK DAN KHURAFAT SEBAGAI SALAH SATU CARA HIDUP MEREKA... 

Jaga akidah 
ini satu kesilapan bukan amalan Islam, Al-Quran ada menyatakan "Dan apabila dikatakan kepada mereka: 'Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah,' mereka menjawab: '(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami'. '(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?". surah Al-Baqarah

“Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”-Surah Al Ikhlas ayat 1-4.

PENGERTIAN KHURAFAT

Khurafat adalah perkataan Arab yang di asaskan dari akar kata:
خرف خرافة خرافات
Dalam kamus al-Marbawi khurafat itu diberi makna cerita karut atau karut marut. Di dalam al-Munjid disebut:
خرف قسد اخرفة افسده
الخر افة حديث الخرف المضحك
Al-khurafat juga disebut sebagai الحديث الباطل مطلقا percakapan yang tidak betul sama sekali.

Istilah khurafat telah diterima pakai di dalam masyarakat Melayu dan pada umumnya diketahui maksudnya kerana ianya semacam menjadi bahasa Melayu. 

Khurafat maksudnya kepercayaan karut yang direka-reka dan diadakan untuk membentuk suatu keyakinan tentang akan berlakunya baik atau buruk terhadap sesuatu kerja berpandukan kepada perbuatan dan kejadian-kejadian alam yang berlaku dengan mentafsirkan kejadian itu akan membawa bala bencana atau membawa tuah keberuntungan.

Di dalam kitab Addarul Nadid, halaman 179 ada disebut:
Yang bermaksud: “Adapun apa yang diiktiqadkan oleh manusia dari dahulu hingga sekarang tentang adanya bagi seekor burung atau ada hari-hari atau bulan-bulan yang boleh memberi kesan pada kebahagiaan atau kecelakaan manusia. Semuanya itu adalah khurafat. Islam membatalkannya kerana jelas bertentanagn dengan tauhid”.

KHURAFAT SEBAGAI BUDAYA JAHILIAH
Masyarakat jahiliah adalah sebuah masyarakat yang banyak menghayati budaya khurafat. Di antara khurafat mereka, mereka mempercayai kepada arah burung yang berterbangan memberi kesan kepada nasib mereka. Orang-orang Arab jahiliah apabila hendak mengerjakan sesuatu kerja atau sedang di perjalanan menuju sesuatu maksud tiba-tiba kedapatan burung yang melintasi mereka, maka dikaitkan dengan suatu kepercayaan-kepercayaan tertentu. Malah mereka meletak nama khusus pada keadaan burung yang melintasi mereka.

Yang melintasi dari arah kanan ke kiri dinamakan : As Sawaeh
Yang melintasi dari arah kiri ke kanan dinamakan : Al Bawareh
Yang datang kepada mereka dari arah hadapan dinamakan : An Nateh
Yang datang dari arah belakang ke hadapan dinamakan : Al Qaid

Dari nama-nama tersebut lahirlah tafsiran-tafsiran yang khusus, ada bala bencana akan menimpa, ada tuah, ada keberuntungan yang akan berlaku dan sebagainya yang mereka menggantungkan hal-hal tersebut sepenuhnya kepada keadaan burung tersebut.

Masyarakat jahiliah juga percaya jika burung hantu (al-Bumah) menghinggapi dan berbunyi di atas sesuatu rumah maka ertinya salah seorang dari penghuni rumah itu akan meninggal dunia. Kepercayaan sebegini mengakibatkan penghuni rumah akan bermurung durja, dukacita yang tidak terkira kerana kematian yang akan menimpa.

Kepercayaan sedemikian terdapat juga di dalam masyarakat melayu di Tenggara Asia yang terbawa-bawa dengan budaya jahiliah hingga sekarang ini. Padahal semua itu adalah khurafat belaka.

PANDANGAN ISLAM TERHADAP KHURAFAT
Di dalam al-Quran al-Karim terdapat beberapa ayat yang menyeru kepada pergantungan dengan Alllah sepenuhnya dan menolak kepercayaan terhadap yang selain-lainnya bagi mendapat kebaikan dan menolak keburukan. Yang memberi segala kenikmatan dan kebaikan hanya Allah. Yang menolak segala kejahatan hanya Allah. Kepadanya seluruh makhluk bergantung.

Firman Allah, surah al-Zumar, ayat 38: Yang bermaksud: “Katakanlah apakah kamu tidak melihat kepada apa yang kamu memohon kepadanya selain dari Allah bahawa jika sekiranya Allah menghendaki ke atasku sesuatu kemudaratan, adakah mereka itu boleh menghindari dari kemudaratan itu atau jika Allah menghendaki sesuatu rahmat itu dianugerahkan kepadaku, apakah mereka itu boleh menahan rahmat itu. Katakanlah adalah memadai Allah itu bagiku untuk segala-galanya. Kepadanya bertawakal semua orang yang bertawakal”.

Ayat di atas memperlihatkan konsep tawakal kepada Allah dalam semua keadaan. Kebaikan dan kejahatan adalah dari Allah. Dia yang menyebabkan segala-galanya. Dia yang berkuasa atas segala sesuatu, bukannya lintasan burung atau sebagainya yang terdapat dalam amalan-amalan khurafat.

Yang bermaksud: “Dari Abu Hurairah R.H. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “tidak ada jangkitan (yang berlaku tanpa izin Allah), tidak ada buruk sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada malang pada burung hantu dan tidak ada bala pada bulan Safar (seperti yang dipercayai)”.

“Dari Ibnu Mas’ud R.H. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Buruk sangka (dalam amalan khurafat) adalah syirik (dua kali) akan tetapi Allah menghapuskannya dengan bertawakkal kepada Allah”.

“Dari Anas R.H. bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Jangan ada buruk sangka (kerana khurafat) dan alfa’lu adalah jauh lebih baik. Ditanya Rasulullah, apakah dia alfa’lu itu: sebut-sebutan yang baik (baik sangka) yang boleh didengari oleh seseorang”.

“Dari Ibnu Umar R.H. katanya: Nabi SAW pernah bersabda: “sesiapa yang kerana buruk sangkanya terhadap sesuatu (khurafatnya) sehingga boleh memesongkan diri menerusi hajatnya, maka sesungguhnya ia telah syirik (kepada Allah). Mereka bertanya apakah kifarat bagi yang demikian itu? Sabdanya: hendaklah ia berkata: Ya Allah, tidak ada kebaikan melainkan kebaikanmu. Tidak ada yang buruk (jahat) melainkan kejahatan yang datang darimu dan tiada tuhan yang berhak disembah melainkan engkau”.

Dari semua urutan ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW yang tersebut, jelas memperlihatkan konsep baik buruk hanya dari Allah S.W.T. Allah yang mengatur segala-galanya, bukannya ada kaitan dengan kejadian-kejadian yang berlaku di dalam hidup ini yang boleh memberi kesan kepada kebahagiaan dan kecelakaan manusia.

Khurafat adalah karut marut yang tidak benar sama sekali. Tidak sepatutnya kepercayaan-kepercayaan sedemikian menghantui umat Islam sehingga menghindarkan perjalanan hidup mereka kerana kongkongan khurafat itu. Umat Islam perlu bersih niat dan pergantungan mereka hanya kepada Allah SWT sahaja. Apabila kamu cekal bercita-cita, maka teruskan dan bertawakkal kepada Allah.

AMALAN KHURAFAT DAN KAITANNYA DENGAN HUKUM SYARAK
Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah ditegah oleh syarak kerana di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bid’ah yang buruk sepertimana tersebut dalam hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:

“…………Setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat akan ditempatkan di dalam neraka”.

Mengamalkan amalan khurafat dengan tidak disedari boleh menjauhkan diri daripada Allah SWT,

PUNCA AMALAN-AMALAN TERCELA DAN TERPAUTNYA SESEORANG KEPADA AMALAN KHURAFAT
Di antara punca-puncanya adalah seperti berikut:
Tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam pengetahuan agama di mana mudah menerima perkara-perkara yang dianggap menarik baginya. Mempelajari dari guru-guru atau ketua-ketua yang tidak bertanggungjawab. Terikut-ikut dengan amalan nenekmoyang @ adat kerana menyangka amalan itu adalah amalan yang betul.

BAGAIMANA MENGATASI PERMASALAHAN TERSEBUT
Masalah akhlak adalah masalah pokok untuk membina masyarakat yang mulia. Akhlak yang terpuji menjadi tunjang kekuatan umat. Rasulullah SAW diutuskan Allah adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Baginda menjadi teladan untuk kemuliaan akhlak, mengasuh umatnya agar berakhlak mulia.

Bagi mengatasi masalah yang disebutkan tadi, pendidikan kerohanian yang menekankan kepada kemuliaan akhlak perlu dititik beratkan dalam latihan dan syarahan-syarahan..

Rasulullah SAW pernah bersabda:
Yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin sangat hendak menjadi manusia yang terkuat, maka bertawakkallah kepada Allah. Barang siapa yang ingin sangat hendak menjadi manusia yang terkaya, maka hendaklah meyakini bahawa apa yang ada di sisi Allah Azawajallla lebih baik dari apa yang ada di dalam tangannya. Dan siapa yang ingin sangat menjadi manusia yang termulia, maka hendaklah takut kepada Allah Azawajallla”. Hadith ini mengingatkan kita tentang berakhlak dengan Allah. Bertawakkal kepada Allah, takut kepada Allah. Apabila manusia sudah mentaati perintah Allah dan amat mengharapkan keredaan, maka akan lahirlah budi pekerti yang mulia untuk mereka di alam manusia.

PENUTUP
Usaha untuk mempertingkatkan kualiti ilmu ke dalam masyarakat Islam perlu diteruskan dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi perisai umat Islam dari diresapi gejala-gejala tidak sihat seperti khurafat dan sebagainya.
Pengetahuan tentang fardu ain yang sepatutnya diketahui oleh masyarakat umum. Perlu diajar dengan cara yang berkesan di dalam kurikulum-kurikulum sekolah menengah dan di peringkat universiti.

Ibadat-ibadat dalam Islam adalah alat untuk mendidik manusia. Jika dipergunakan ibadat itu sebagai alat mengajar, maka yang mempelajari bersungguh-sungguh daripadanya akan mendapat pengajaran yang amat berkesan. Rasulullah SAW telahpun mempergunakan untuk mendidik umat Islam di zamannya. Dengannya mereka menjadi sebaik-baik umat yang Allah ciptakan untuk menjadi contoh kepada manusia. Akhlak yang terpuji akan lahir dari keikhlasan beribadat kepada Allah, apabila difahami maksud dan tujuannya. Dari akhlak yang terpuji lahirlah peribadi unggul untuk memimpin manusia ke jalan yang diredhai Allah.

Semoga Allah memelihara kita dari terjatuh ke dalam khurafat dan semoga Allah memberi hidayah kepada kita untuk mencontohi akhlak mulia Rasulullah SAW.

Wallahu ‘Alam.




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular