Friday, July 13, 2012

Ketua Puteri UMNO sokong Hudud

Dewan Muslimat PAS Pusat mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ketua Puteri UMNO, Rosnah Abdul Rashid Shirlin atas pendirian dan keberanian beliau untuk menyatakan sokongan terbuka terhadap cadangan pelaksanaan Hukuman Jenayah Syariah - Hudud di Malaysia, meskipun 1Malaysia tahu bahawa pada 24 September 2011 yang lepas, Perdana Menteri Malaysia, Mohd. Najib Abdul Razak telah mengisytiharkan Hudud tidak sesuai untuk Malaysia!


Kami doakan mudah-mudahan pendirian berani tersebut lahir daripada kesedaran yang benar dan keimanan yang tinggi terhadap "KeTuanan Allah" dalam seluruh hakikat kehidupan kita sebagai hambaNya.

Pendirian seumpama itu sesungguhnya telah lama ditunggu-tunggu oleh pihak kami dan seluruh rakyat yang rindu untuk melihat tertegaknya Islam sebagai "Rahmat Kepada Sekalian Alam" dalam segenap corak dan lapangan kehidupan manusia.

Tentunya seluruh kepimpinan dan aktivis PAS khususnya sangat teruja dan amat bersyukur dengan perkembangan terbaru sejak akhir-akhir ini yang memperlihatkan kepada kita betapa usaha keras, konsistansi hatta komitmen tinggi kita (PAS) selama ini untuk mempertahankan pelaksanaan Hudud kini dilihat semakin membuahkan hasil.

AlhamduliLlah, kini ramai pihak semakin menerima baik cadangan pelaksanaan Hukuman Hudud. Berkat keyakinan kita yang tinggi terhadap keadilan undang-undang daripada Tuhan yang Maha Pencipta; kita bukan sahaja melihat keterbukaan pimpinan pelbagai bangsa dan agama lain terhadap Hudud tetapi kini keterbukaan serta penerimaan baik seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, keturunan dan berbilang agama.

Jika rakyat pelbagai kaum dan berbilang agama itu kini telah mula mahu memahami keindahan dan keadilan Hudud; maka tentulah sangat tidak munasabah seandainya di sana masih ada kelompok kepimpinan, aktivis dan penyokong UMNO yang umumnya beragama Islam tetapi masih bertindak menunjukkan penentangan terhadap cadangan pelaksanaan Hudud ini.

Sejak awal, PAS telahpun menegaskan bahawa Hudud bukanlah isu politik kepartaian yang sempit. Justeru, sejak awal lagi ianya memang tidak wajar dipolitikkan. Kita telah melalui pelbagai hambatan, tohmah dan fitnah daripada pihak lawan sehingga ada yang berani memberikan label bahawa "Hudud itu adalah Hudud PAS". Bahkan Kerajaan Negeri (PAS) Kelantan pernah diugut oleh Pemerintahan Pusat (BN). Hatta kita juga telah menyaksikan bagaimana Hudud tidak dapat dilaksanakan di Terengganu meskipun Enakmen Hudud telah diluluskan ketika PAS menjadi Kerajaan di situ. Terlalu rencam pengalaman, kesabaran dan konsistansi PAS sepanjang usaha kita memartabatkan Hudud dan Islam itu sendiri amnya.

Berdasarkan perkembangan mutakhir ini juga; sudah tentulah kesyukuran yang setinggi-tingginya kita rafa'kan kepada Allah jua. Tidak keterlaluan jika Dewan Muslimat PAS Pusat ingin mengucapkan syabas kepada seluruh kepimpinan, pendokong dan penyokongan PAS hatta seluruh kepimpinan, pendokong dan penyokong parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat. Justeru, berkat perpaduan yang benar, sikap saling memahami dan saling menghormati yang tinggi yang telah dizahirkan oleh kita semua maka pihak lawan kini semakin hilang punca dalam menghadapi Kebangkitan dan Kemaraan Rakyat yang sedang komited menuntut PERUBAHAN untuk menzahirkan sebuah Malaysia yang lebih baik kepada semua!

Akhirnya, Dewan Muslimat PAS Pusat mendoakan agar seluruh kepimpinan, rakyat dan negara ini terus dalam lindungan, hidayah dan kasih sayang Allah Azza Wajalla.

*Kenyataan media oleh Aiman Athirah al Jundi (gambar kanan) selaku Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat. - Merdeka Review

Puteri Umno pandang positif cadangan laksana hudud
1:22PM Jul 13 2012
Pergerakan Puteri Umno Malaysia memandang positif cadangan pelaksanaan hukum jenayah syariah - hukum hudud - tetapi menegaskan ia perlu dilakukan dengan teliti dan sempurna.

Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, beliau melihat desakan pembangkang dan sesetengah pemimpin Umno yang mahu melaksanakan hudud dengan matlamat memurnikan akidah umat Islam sebagai langkah yang baik.

“Kita harus bersedia ke arah kesempurnaan pelaksanaan hudud dan berusaha memberi kefahaman jelas terhadap masyarakat majmuk di negara ini kerana ia adalah hukuman yang memiliki banyak cabang.

“Bagaimanapun, teori dan pelaksanaannya perlu diperhalusi. Kita tidak mahu pelaksanaannya tidak sempurna kerana ini soal hukum Allah SWT,” katanya dipetik oleh akhbar Sinar Harian hari ini.

Rosnah mengulas cadangan Wanita Umno Bahagian Kepala Batas yang mahu membawa usul menyokong pelaksanaan hudud di negara ini ke persidangan Umno bahagian itu tidak lama lagi.

Rosnah berkata pelaksanaan hukum hudud tidak perlu dipolitikkan dan dipermainkan demi kepentingan peribadi kerana ia sebahagian daripada syariat Allah yang "wajib dijunjung, diamalkan serta dipertahankan setiap Muslim dan Muslimat".

“Umat Islam wajib menyokong tanpa mengira parti dan menjauhi diri daripada membuat ulasan negatif atau memukul gendang sumbang yang membayangkan pelbagai keraguan,” katanya.

Rosnah yang juga timbalan menteri kesihatan berkata, perkara utama yang perlu ditekankan ialah usaha membina semula keruntuhan akidah. - mk

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular