Tuesday, April 3, 2012

Kantoi!! Noh Omar sengaja "MEMPOLITIKAN ISU"


Ronnie Liu Dedah Kerajaan Pusat Sekat Usaha Atasi Banjir di Selangor

[HD] SHAH ALAM, 2 April: Tuduhan Datuk Seri Noh Omar yang menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor ekoran kejadian banjir kilat di Klang menunjukkan mentaliti pemimpin UMNO-Barisan Nasional yang sentiasa mempolitikkan isu.

Tetapi, mereka tidak memberi sebarang idea untuk penambahbaikan dan menyelesaikan masalah.

Malaysia beriklim khatulistiwa yang menerima hujan lebat melebihi 2000mm setahun.

Justeru, masalah banjir perlu diatasi secara holistik oleh Kerajaan Pusat dan mana-mana kerajaan negeri, kata Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu .

Di Selangor, katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertanggungjawab menyelesaikan masalah banjir.

Namun begitu, JPS adalah jabatan persekutuan yang berada di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Oleh itu, dana dan peruntukan pengurusan dan pembangunan adalah datangnya dari Kerajaan Pusat, tambah beliau.

Menurut beliau, peruntukan untuk JPS di Selangor telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) manakala Kerajaan Negeri hanya bertanggungjawab kepada pembayaran gaji pegawai dan kakitangan JPS yang bekerja di negeri ini.

"Ini bermakna semua urusan pembangunan dan pengurusan sungai adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat termasuk kerja-kerja tebatan banjir," dakwanya.

Walaubagaimanapun, kata Exco kerajaan tempatan itu, menyedari masalah banjir adalah besar maka Kerajaan Negeri Sejak 2008, telah menguatkuasakan peraturan bahawa sebarang projek pembangunan perlu dibuat mengikut kejadian dataran banjir 50 tahun.

Ini berbeza dengan amalan pentadbiran negeri terdahulu yang tidak mengikut dataran banjir 50 tahun.

Kerajaan negeri terdahulu juga tidak mempunyai pelan pembangunan yang teratur.

"Justeru, banjir kilat baru-baru ini merupakan hasil dari produk pembangunan yang dilakukan oleh mereka," dakwa Ronnie.

Menurut beliau, kerajaan Negeri Selangor sudah berbincang dengan JPS dan dimaklumkan JPS telah memohon RM1 billion daripada Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah banjir ini termasuk menjalankan kerja-kerja pengurusan, pembersihan dan penyelenggaraan sungai.

Peruntukan ini telah dimasukkan dalam RMK-10 tetapi apa yang mendukacitakan kita ialah permohonan ini bukan dianggap permohonan penting oleh Kerajaan Pusat malah permohonan ini dikategorikan tahap ketiga.

Lebih malang lagi, tambahnya, meskipun ada seorang menteri dari Selangor iaitu Noh Omar tetapi beliau gagal menekankan kepentingan dana RM1 billion diturunkan ke Negeri Selangor.

Beliau bukan sahaja gagal memastikan peruntukan disalurkan malah beliau cuba menyalahkan pegawai dan kakitangan profesional JPS, katanya.

"Persoalaannya, bagaimana JPS mampu melaksanakan tugas dengan baik jika Kerajaan Pusat menyekat peruntukan ini dan Noh Omar pula tidak melihat peruntukan ini penting kepada rakyat Selangor khususnya di daerah Klang?" soal beliau.

Bagi Ronnie, memperkecilkan kakitangan JPS bukan jalan terbaik menyelesaikan masalah banjir.

Malangnya, tambahnya, apabila berlaku musibah seperti bencana alam seperti ini, pemimpin BN tanpa usul periksa menyalahkan kakitangan kerajaan.

Bagi Ronnie, Noh Omar tidak jauh beza dengan mantan Menteri Besar, Dr Khir Toyo yang menuduh Unit Perancang Ekonomi (UPEN) menyerahkan konsesi air kepada Puncak Niaga sedangkan seluruh negara tahu keputusan ini dibuat oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri ketika itu.

Noh Omar tidak perlu berdolah-dalih dalam isu ini.

"Jika beliau jujur untuk membantu rakyat Selangor, beliau perlu mendesak Kerajaan Pusat menyalurkan segera peruntukan RM1 biliion kepada JPS supaya masalah banjir dapat diatasi segera," katanya.

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/04/kantoi-noh-omar-sengaja-mempolitikan.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular