Saranan pihak pembangkang untuk kerajaan berunding dengan mereka (pembangkang) untuk menentukan tarikh pilihanraya mendapat tentangan dari Dr Mahathir Mohammad, bekas Perdana Menteri negara. Dr Mahathir menyarankan yang pihak pembangkang menubuhkan dahulu kerajaan dan mereka (pembangkang) boleh menentukan tarikh pilihanraya negara. (SINI)
Selalunya di mana-mana juga di dunia ini kerajaanlah yang menentukan tarikh pilihanraya, bukannya pembangkang. Tetapi Mahathir lupa yang AS tetap mengadakan pilihanraya setelah tamat 4 tahun penggal sesuatu kerajaan yang di pilih itu mentadbir negara itu. Tetapi Mahathir juga betul jika beliau membandingkan negara-negara mundur seperti negara ‘favorite’ beliau Zimbabwe di Afrika dan banyak negara lain di dunia ini.
Tetapi kalau kita bercita-cita hendak menjadi negara maju tentulah cara AS dan Britain menentukan pilihanraya mereka menjadi contoh kepada kita. Tetapi isu ini tidak sepatutnya menjadi polimik kita kerana cara itu sudah menjadi cara kita. Kerajaan yang memerintah khususnya Perdana Menterilah yang akan menentukan tarikh pilihanraya negara.
Malahan Dr Mahathir telah menubuhkan kerajaan dulu sebelum beliau menubuhkan UMNO yang ada pada hari ini pada Februari 1988 dahulu. Kerajaan wujud dahulu baru UMNO ditubuhkan, dan pada tahun berikutnya (1990) baru di adakan pilihanraya umum.
Kita mesti faham bahawa kita masih membudayakan politik dunia ketiga walaupun pemimpin-pemimpin kita begegar-gegar bercakap hendak jadikan negara ini sebagai negara berdaya maju dan mempunyai mentaliti rakyat negara maju.
Saya cadangkan kepada pembangkang tidak usahlah hendak membawa isu ini ketengah kerana mereka yang memimpin tidak akan berganjak dari cara lama itu. Lagi pun pembangkang tidak payah lagi bersusah payah kerana apa sahaja yang dilakukan oleh UMNO dan BN sekarang ini semua ‘self defeating’ dan mereka akan menghadapi masalah di atas tindakan mereka sendiri.
Mereka (UMNO) dan pemimpin mereka tidak konsisten dalam tindakan mereka. Pemimpin UMNO bukannya sayang sangat kepada UMNO itu sebabnya mereka melakukan perkara-perkara pelik yang menjahanamkan parti mereka sendiri. Semuanya kerana kehendak peribadi.
Dr Mahathir sendiri pernah keluar dari UMNO yang beliau tubuhkan itu, semata-mata kerana hendak menyungkurkan Pak Lah. Jika keutuhan UMNO itu benar-benar menjadi perjuangan beliau, Mahathir tidak sepatutnya keluar dari parti semata-mata kerana marahkan Pak Lah. Saya bukan menyokong Pak Lah tetapi tindakan Dr Mahathir keluar parti itu merupakan tindakan yang menunjukan beliau berpolitik semata-mata kerana peribadi. Asalkan Pak Lah jatuh partinya jatuh pun tidak mengapa bagi beliau. Peribadinya mesti di dahulukan.
Itu sebabnya yang menjatuhkan UMNO bukan pembangkang tetapi parti itu dijatuhkan oleh pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya sendiri. Itu sebabnya UMNO sekarang sedang menghadapi penyakit ‘terminal’ dan amat payah untuk diperbaiki. Jika parti jatuh kita akan di persalahkan. Mereka tidak juga bersalah.
Dalam keadaan yang tenat sekarang ini pun ada pihak di kalangan pemimpin yang berpengaruh di dalam UMNO sedang berusaha untuk menjatuhkan Najib. Tetapi di nafikan oleh mereka. Tetapi dalam UMNO yang mereka cakap itu tidak selalunya betul, tetapi yang di katakan berita angin jahat itu lah yang selalunya menjadi benar.
Bagi mereka yang mempunyai sisik politik sedikit sebanyak tidak akan menafikan keadaan itu berlaku di dalam UMNO. Berbagai-bagai cerita yang ada di dalam UMNO ini sekarang, tetapi kita tidak payah membesarkannya kerana akhirnya yang tidak berapa lama lagi ia akan menjadi berita yang benar. Tetapi tidak siapa boleh menghalangnya. Yang hendak dijatuhkan dan yang hendak menjatuhkan itu adalah dari kumpulan yang sama yang sama sifat dan sikapnya. Jika berjaya pun pihak yang hendak menjatuhkan Najib itu keadaan tidak akan berubah juga.
Inilah yang membuatkan ahli-ahli UMNO sendiri menjadi mual kerana politiking yang begitu kuat di dalam parti itu. Tidak habis-habis dengan gossip di antara satu dengan yang lain di belakang sesama mereka tetapi berlakun berbaik-baik di hadapan. UMNO kian hari kian di sertai oleh mereka yang tidak tahu hujung pangkal UMNO itu jauh lagi untuk memahami perjuangannya kerana pemimpin-pemimpin sendiri tidak tahu kenapa mereka berada di sana.
Pemimpin-pemimpin UMNO yang tinggi-tinggi itu pun tertanya-tanya bagaimana mereka boleh berada di atas itu; adakah kerana kepimpinan? ATAU kerana politik wang? Atau kerana berjaya dalam tindakan mengampu pucuk pimpinan atau apa? Ahli-ahli di bawah pula diarah untuk memberikan sokongan tanpa berbalah bagi. Mereka di bawah hanya diperlukan semasa pilihanraya untuk mereka terus berglamor dan melakukan rasuah besar untuk memperkayakan keluarga dan suku sakat mereka.
Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan mereka jangan sekali-kali terjebak dengan budaya memaki hamun yang dilakukan oleh penyokong BN pada hari ini. Tindakan memaki hamun serta memBABIkan dan MengANJINGkan mereka yang berfikiran yang berbeza akan hanya memakan diri mereka sendiri kerana rakyat ramai sudah pandai menilai yang mana yang betul dan yang salah.
Selalunya orang yang akan jatuh akan menjerit kehulu kehilir dan itu merupakan tanda-tanda mereka akan jatuh. Ini bukan ilmu tetapi petua. Kita tunggu sahaja. Kita diamkan sahaja diri kita jika mereka memaki hamun kita kerana maki hamun mereka itu tidak akan mencederakan maruah kita. Lagi pun memaki hamun itu bukannya budaya mereka yang berkepimpinan
Maki hamun mereka itu hanya akan ‘boomerang’ kepada mereka sendiri. Usah kita hiraukan mereka itu. Kalau kita pinjam kata-kata Dr Mahathir sendiri, UMNO itu sudah busuk hingga ke ususnya.
Kepada pembangkang saya berpendapat, masa sudah pun tiba untuk anda mengambil pemerintahan negara. Tadbirlah negara dengan baik kerana jika gagal rakyat ada hak untuk menarik balik mandat itu.
Bagaimana pun saya yakin, 'the worst of the opposition is lot better than the best of BN' dalam keadaan sekarang. - Aspan Alias
No comments:
Post a Comment