RAWANG - Ngeri dan menyayat hati apabila melihat keadaan seorang penunggang motosikal yang maut setelah kepalanya digilis lori kontena dalam kemalangan di kilometer 439.4, Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur berdekatan hentian Rehat dan Rawat Rawang pagi semalam.
Seorang saksi dikenali sebagai Arman, 27, berkata, kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu dipercayai berlaku apabila mangsa, Zulhisham Abd Latip, 43, terjatuh dari motosikalnya yang hilang kawalan.
Menurutnya, sebuah lori kontena yang mengekori rapat di laluan kiri dilihat cuba mengelak mangsa dengan memasuki laluan tengah lebuh raya.
Bagaimanapun katanya, lori kontena yang membawa muatan kira-kira 23 tan batu kapur dalam perjalanan dari Ipoh ke Klang itu gagal berbuat demikian.
“Akibatnya, mangsa yang terbaring di tengah lebuh raya digilis di kepala sebelum lori kontena berkenaan melanggar motosikalnya.
“Topi keledar mangsa turut hancur digilis sementara serpihan tengkorak dan otak mangsa bertaburan di tengah jalan,” katanya.
Arman berkata, dalam masa sama sebuah skuter ditunggang seorang lelaki nyaris terlibat dalam kemalangan terbabit namun sempat mengelak dengan melompat dari skuternya.
Menurutnya, skuter lelaki terbabit kemudiannya terseret dan tersangkut pada pembahagi lebuh raya.
Dalam pada itu, mangsa juga mungkin merupakan ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia berdasarkan pelekat yang tertera pada motosikal jenis Honda EX5 ditunggang.
Mayat kemudianya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk tujuan bedah siasat. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment