Friday, April 15, 2011

Kes Sarbaini: Keluarga Mungkin Ambil Saman SPRM

KUALA LUMPUR, 15 April — Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed berkemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika hasil siasatan polis tidak memihak keluarga pegawai kastam itu.



Menurut sumber, polis memberitahu kepada keluarga Ahmad Sarbaini bahawa hasil siasatan sudah hampir siap.

“Polis beritahu kepada keluarga siasatan sudah 70 peratus tetapi tidak beritahu apa perkembangan terbaru, sebaliknya saya difahamkan polis juga setiap hari datang ke rumah Ahmad Sarbaini,” kata sumber itu kepada The Malaysian  Insider.

Bagaimanapun katanya, pihak polis tidak memberikan apa-apa maklumat mengenai punca kematian.

Kata sumber itu, keluarga Ahmad Sarbaini kini sedang berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM atas sebab kelalaian serta mahu membersihkan dakwaan kononnya penolong pengarah kastam membunuh diri.

Ahmad Sarbaini ditemui mati di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di sini minggu lalu.

Dia merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B kendalian SPRM dan beberapa agensi kerajaan yang lain.

“Keluarga Ahmad Sarbaini akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM sekiranya hasil siasatan polis tidak memihak kepada mereka.

“Mereka mahu ambil tindakan undang-undang ini kerana mahu menuntut keadilan bagi Ahmad Sarbaini serta membersihkan namanya yang didakwa telah membunuh diri,” kata sumber itu.

Jelas sumber itu, keluarga Ahmad Sarbaini tertekan apabila ada pihak termasuk media mengatakan dia membunuh diri dan menerima rasuah.

“Itu tidak benar, Ahmad Sarbaini tidak mungkin lalukan perkara itu. Kini keluarga berada dalam keadaan tertekan,” katanya.

Ahmad Sarbaini meninggalkan balu Maziah Manap, 50 dan lima anak.

Ia kejadian kedua dalam dua tahun ini. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam. yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, pada Julai 2009, masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.

Sementara itu, peguam keluarga Ahmad Sarbaini, Ghazali Mohd Ramli ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata pihaknya tidak akan memberikan sebarang komen dalam perkara itu sebaliknya akan menunggu keputusan hasil siasatan polis.

“Saya tidak akan cakap apa-apa, kita biar polis jalankan siasatan dulu.

“Nanti kalau saya cakap apa-apa bimbang ia akan menggangu siasatan polis,” katanya.

Laporan media semalam menyebut polis telah mengambil keterangan daripada 40 individu bagi membantu siasatan kes kematian Ahmad Sarbaini.

Malah Ghazali juga berkata, pihaknya telah telah menyerahkan bukti baru, yang tidak dinamakan, kepada polis - yang dipercayai boleh menentukan sama ada Ahmad Sarbaini meninggal dunia kerana membunuh diri ataupun sebaliknya.

M/insider

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular