TPM: Segala janji Najib, Taib di Sarawak akan ditunai
April 16, 2011
KUALA LUMPUR, 16 April – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan segala janji yang telah dipersetujui antara Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan dilaksanakan.
Berkata kepada media di Kuching, Muhyiddn bagaimanapun tidak menjelaskan apa “perjanjian” di antara Najib dan Taib itu.
“Apa-apa janji yang telah dipersetujui antara Perdana Menteri dan Ketua Menteri akan dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Taib ketika sidang video dengan Najib berkata beliau memberi jaminan akan memajukan Sarawak seperti mana yang telah dijanjikan semasa kempen pilihan raya.
“Kita dapat hidup dengan lebih baik untuk rakyat, kemenangan BN di Sarawak ini bererti kita dapat memajukan lagi Sarawak dan kita dapat lakukan lebih banyak.
“Kita mahu Sarawak duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau yang berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian berkata kejayaan Barisan Nasional (BN) menunjukkan kerajaan negeri pimpinannya berjaya bekerjasama dengan kerajaan pusat.
“Kemenangan ini menunjukkan kerjasama yang baik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, sekaligus menunjukkan kepada rakyat hubungan dua kerajaan ini bertambah rapat.
“Rakyat tak perlu risau lagi, kerajaan pusat dan kerajaan negeri sama sahaja kerana kedua-dua kerajaan ini bekerja rapat untuk rakyat,” katanya.
BN secara rasmi telah memperoleh 52 kerusi DUN untuk meneruskan kerajaan negeri bumi Kenyalang manakala Pakatan Rakyat tiga belas.
BN berjaya membentuk semula kerajaan dengan memperoleh majoriti mudah 36 kerusi pada pukul 8.40 malam dan majoriti dua pertiga sejam kemudian. MI
No comments:
Post a Comment