Telah diharamkan oleh syara menghias, membuat batas, meninggikan tanah di atas kubur, memayungkan, mendirikan kubbah, bangunan, menulis apa pun tulisan dan mengecat kubur berdasarkan hujjah syara dan fatwa Imam as-Syafie rahimahullah:
“Dari Abdullah bin Hasanah berkata: Aku lihat ‘Uthman bin ‘Affan radhiallahu ‘anhu memerintahkan agar diratakan kubur. Maka dikatakan kepadanya: Ini kubur Ummu ‘Amr binti ‘Uthman, maka beliau menyuruh agar diratakan (tanah di atas kubur tersebut)”. Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam (المصنف) 4/138. Abu Zar’ah dalam (تاريخه) 2/66, 2/121. Sanadnya sahih dari Abdullah. Dan telah diwaridkan oleh Ibn Abi Hatim dalam (الجرح والتعديل) - 3/81-82
“Dari Abi al-Hayyah al-Asadi berkata: Berkata kepadaku Ali bin Abi Talib: Tidakkah aku mengutus engkau atas apa yang telah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengutusku? Janganlah dibiarkan satupun berhala kecuali engkau menghancurkannya dan tidak dibiarkan sebuah kuburpun kecuali engkau meratakannya”. H/R Muslim, 3/61. Abu Daud, 3/70. an-Nasaii, 1/285. at-Turmizi, 2/153-154. al-Bahaiqi, 4/3. at-Tayalasi, 1/168. Dan Ahmad (741, 154). Ada beberapa jalan pada Ibnu Abi Syaibah, 4/139 dan at-Tabrani dalam (الصغير) hlm. 29.
Berkata al-Allama Imam al-Baghawi rahimahullah:
“Dilarang (diharamkan) dari meletak payung di atas kubur, kerana ‘Umar radhiallahu ‘anhu setelah melihat payung di atas kubur maka beliau menyuruh agar dibuang payung tersebut dan berkata: Biarkanlah amalnya yang memayungkannya”.
Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (beliau salah seorang dari kalangan ulama besarn as-Syafieyah) menjelaskan dalam kitabnya (المنهاج) bahawa Imam as-Syafie telah berfatwa:
“Dibenci mengapur, membaca dan menulis tulisan di atas kubur, samada menulis namanya di atas batu di sebelah kepalanya atau di tempat-tempat yang lainnya”.
Semua fatwa-fatwa tentang larangan tersebut antaranya berdasarkan hadis sahih:
“Dari Jabir radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah melarang kuburan dikapur, diduduki atasnya, didirikan bangunan di atasnya, ditambah atau ditulis di atasnya”.
Setelah berpandukan hujah-hujah syara dan fatwa Imam as-Syafie, maka Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan:
“Dilaknat pembuatnya (orang yang bersolat, membina masjid atau binaan di kuburan), wajib bersegera merobohkannya dan merobohkan kubbah yang dibina di atas kubur kerana membinanya lebih bahaya dari masjid ad-Dirar yang dibina kerana bermaksiat terhadap Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang mana baginda telah melarang dari melakukan yang sedemikian”.
Imam an-Nawawi rahimahullah dari kalangan ulama besar as-Syafieyah juga telah melanjutkan fatwa Imam as-Syafie yang berkaitan dengan hal ini:
“Tidak dibolehkan bertawaf di kubur Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam, dilarang meletakkan perut dan dada ke dinding kubur. Abu ‘Ubaidillah al-Hulaimi dan selainnya yang mana mereka semua menjelaskan fatwa Imam as-Syafie: Dibenci menyapu dengan tangan dan mengucup kubur Nabi”.
Jika di kuburan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam dilarang dari bertawaf, merapatkan perut dan dada maka di kubur-kubur lain tentu diharamkan juga.
No comments:
Post a Comment