AIR TENANG JANGAN SANGKA TIADA BUAYA
UMPAN....Seramai 57 MP BN dari Sabah, Sarawak dan Labuan umpama 'buaya' yang sedang menunggu umpan atau makanan yang dihambur.
Oleh : LUKE RINTOD
KOTA KINABALU : Ada pepatah Melayu mengatakan, “air yang tenang jangan disangka tiada buaya”. Lanskap politik Sabah dan Sarawak tiba-tiba tenang selepas pilihan raya umum baru lalu, namun lebih baik Presiden Umno-Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak, memeriksa pepatah Melayu tadi.
Seramai 57 anggota parlimen (MP) dari Sabah dan Sarawak, atau lebih tepat 22 MP BN dari Sabah, seorang dari Labuan dan 25 MP BN Sarawak, umpama 'buaya' yang sedang menunggu umpan atau makanan yang dihambur ke sungai.
Silap perhitungan Najib, habis tergulung BN dari Putrajaya, tampuk pemerintahan Malaysia. Mereka sedang menunggu apa rupa Kabinet Persekutuan yang bakal Najib wujudkan.
Isyarat dari Sabah dan Sarawak ialah memohon perwakilan yang lebih kuat dan bermakna di peringkat Pusat sudah sampai ke telinga Najib.
Tinggal yang empunya telinga untuk menimbangnya, maklumlah di Malaysia, boleh dikatakan Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak memutus perkara ini.
Barang diingat, Pakatan Rakyat (Pakatan) sudahpun menjanjikan seorang Timbalan Perdana Menteri dari Sabah atau Sarawak jika kumpulan itu mendapat mandat membentuk Kerajaan Pusat.
‘Orang mengantuk disorongkan bantal’
Tawaran ini disifatkan sebagai “bantal yang disorongkan kepada kepala yang mengantuk” di Sabah dan Sarawak kini.
Masalahnya Pakatan tidak memerintah Putrajaya sekarang ini. Hanya BN dan Najib yang boleh melakukannya.
Namun silap langkah dek perasaan terlebih yakin dengan majoriti yang dipersoal, musibah ‘buaya-buaya’ menyerang Najib akan timbul. Itupun kalau ‘buaya-buaya’ itu mempunyai keberanian.
Sebaliknya ada juga kemungkinan anggota-anggota parlimen BN dari Sabah dan Sarawak akan terus berpaut kepada Najib walau pun negeri mereka tidaklah mendapat sebanyak mana perwakilan atau keberhasilan di peringkat Persekutuan.
Mungkin cukuplah dengan tembolok mereka sahaja yang penuh. Peduli apa dengan autonomi negeri, kenaikan royalti minyak mahupun dapat atau tidak seorang timbalan perdana menteri. Lagipun bukan itu yang mereka perjuangkan selama ini.
Yang memperjuangkan itu ialah golongan pembangkang seperti PKR, STAR, SAPP dan mungkin DAP.
Sebaliknya kalau pemimpin Pakatan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih gah seperti dulu, sudah tentu beliau sudah menghubungi atau merisik-risik beberapa MP berpengaruh Sabah dan Sarawak untuk menimbang tawaran menarik Pakatan kepada dua negeri terbesar di Malaysia itu.
Oleh itu ramai berpendapat kemungkinan besar Najib akan membuat pembaharuan drastik terhadap barisan kabinetnya dengan meniru idea Pakatan itu dengan menambah perwakilan dari Malaysia Timur.
Ini sekali lagi mengulangi 'kebaikannya' pada tahun 2008 menyelamatkan Umno-BN dari tumbang di tangan Anwar dan Pakatan.
Kedudukan sangat kuat
Dengan 57 MP itu, kedua-dua negeri Borneo itu sebenarnya berada dalam kedudukan yang sangat kuat untuk menentukan rupa bentuk pentadbiran Malaysia yang selama ini dirajai oleh Umno-BN.
Kalaulah 57 MP Malaysia Timur itu sedar dan berani, sudah tentu mereka boleh mendapatkan lebih dari Najib bagi menyelamatkan dua negeri itu daripada terus jatuh menjadi negeri termiskin di Malaysia.
Mampukah mereka berfikir dengan waras? Atau sekadar menjadi pak turut kepada Najib yang kini berpaut di dahan yang rapuh?
Tanda-tanda jawaban persoalan ini hanya akan mula dijawab bermula hari pelantikan atau penubuhan Kabinet Persekutuan yang sedang diperincikan Najib pada saat ini.
Mungkin umpama sekumpulan ‘buaya-buaya’ sedang bermesyuarat, kalau-kalau ada peluang merebut sesuatu, kalau bukan untuk negeri mereka, sekadar untuk kawasan masing-masing.
Barang diingat jika 30 sahaja dari 57 MP Malaysia Timur lari ke Pakatan, ini sudah cukup untuk menunggang-terbalikkan kekuasaan politik di Malaysia.
Jangan sangka air yang tenang tiada buaya. (FMT)
from sabahkini.net by sabahkini.net
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
No comments:
Post a Comment