Friday, August 3, 2012

Noh Omar lebih baik diam!

KUALA LUMPUR 3 Ogos: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar tidak layak bercakap soal penyelewengan kerana terbukti beliau tidak mampu menyelamatkan wang rakyat daripada digunakan sewenang-wenangnya oleh pemimpin Umno dan kroni, kata Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari.

Beliau merujuk kenyataan Noh kononnya kerajaan Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat menggunakan wang rakyat untuk membiaya kos guaman Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli. “Rafizi ditangkap dan didakwa di mahkamah kerana mendedahkan penyelewengan serta kepincangan dalam Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) yang melibatkan salah guna dana rakyat berjumlah RM250 juta,” katanya dalam kenyataan. “Sejak kepincangan ini didedahkan, Noh selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani tidak mengambil sebarang tindakan bagi mendapatkan semula wang yang dibelanja sewenang-wenangnya oleh Pengerusi NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh dan keluarganya,” jelas beliau. 


“Walaupun pinjaman itu diluluskan sebelum Noh memegang kementerian, beliau sepatutnya mengambil langkah tertentu untuk memastikan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil mengembalikan semula dana itu kepada kerajaan,” katanya dalam kenyataan. 


Mengulas lanjut soal dana untuk Rafizi yang diumum Menteri Besar, Yaakob menjelaskan, dana khas itu diambil dari peruntukan RM5 juta untuk Program Pembasmian Rasuah dan Penyelewengan yang diperuntukkan dalam Geran Selangorku. “Geran Selangorku sememangnya diperuntukkan untuk kegunaan rakyat, antaranya Pengenalan Gaji Minima, Program Memperkasakan Wanita, Pembinaan Infrastruktur Sukan, Pembaikan Infrastruktur dan Program Pengukuhan Demokrasi,” terang beliau. “Ini bermakna, dana khas untuk membantu Rafizi ini menggunakan peruntukan yang telah ada dan sedia diguna bila-bila masa untuk membantu pelapor kes rasuah dan penyelewengan, sejajar dengan komitmen kerajaan Selangor membanteras rasuah,” tambahnya. “Justeru, tidak timbul kerajaan Selangor salah guna duit rakyat untuk membantu Rafizi seperti yang didakwa Noh kerana dana khas ini tidak menggunakan wang pembangunan yang diperuntukan dalam Bajet Negeri 2012,” kata Yaakob lagi. 


Kata beliau, membantu Rafizi bukan bermakna Menteri Besar membantu kroni, sebaliknya sebagai sokongan terhadap usaha dan keberanian beliau mendedahkan kepincangan pengurusan dana rakyat melibatkan suami Shahrizat dan anak-anaknya. “Rafizi adalah mangsa ketidakadilan sistem di negara ini apabila pelapor kes rasuah dan penyelewengan dilayan seperti pengganas apabila ditahan secara kasar dan digari ketika di bawa ke mahkamah, manakala suspek rasuah pula diberi layanan VIP,” katanya. “Rakyat Selangor dan Malaysia dapat menilai ketidakadilan yang berlaku di bawah pemerintahan BN dan kita yakin serta percaya bahawa penilaian ini akan membawa kepada perubahan besar pada Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang,” kata Yaakob lagi. Keadilandaily.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular