Sunday, February 26, 2012

Phahrolrazi Nafi 'Dalangi' Guling MB Kedah


Alor Setar - Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi menafikan beliau ada menubuhkan gerakan untuk menentang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Gerakan saya, gerakan Pas sahaja. Spekulasi tersebut tak benar dan dakwaan komplot menjatuhkan MB juga tidak benar," katanya ketika ditemui hari ini.

Phahrolrazi merupakan antara Exco Kedah yang disebut-sebut telah menghantar surat kepada Azizan bagi menyatakan keengganan dilantik semula ke jawatan itu, yang dijadual diumumkan Selasa ini.

Ketika ini, beliau memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan, Kerja Raya dan Pertanian.

Phahrolrazi dan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dipercayai berbuat demikian kerana kecewa dengan sikap serta kepemimpinan Azizan, yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, berhubung pelbagai isu yang melanda pentadbirannya sejak kebelakangan ini, dan beberapa Exco lain juga dijangka berbuat demikian.

Sementara itu, Phahrolrazi yang bercuti sehingga 1 Mac berkata, beliau belum menerima surat jemputan daripada kerajaan negeri untuk menghadiri majlis pelantikan anggota Exco bagi 2012 di Istana Anak Bukit, Selasa ini.

Katanya, beliau tidak kecewa atau kecil hati jika tidak dilantik semula memegang jawatan exco kerajaan negeri bagi 2012.

Phahrolrazi berkata, sebagai ahli Pas, perjuangan beliau bukan dengan niat menjadi Exco, sebaliknya jawatan itu dicadangkan ahli parti tersebut yang mahu beliau bertanding sebagai Exco.

"Mereka suruh saya bertanding, saya bertandinglah. Kalau tidak, saya boleh jadi pekerja biasa dalam parti, dan tak ada niat (untuk pegang jawatan Exco), itu bukan cara perjuangan kita," katanya.

Mengulas spekulasi yang mendakwa namanya tidak disenaraikan dalam pelantikan semula Exco, beliau berkata, tidak mengetahui hal itu dan mahu membiarkan Menteri Besar sahaja yang membuat kenyataan.

Beliau yang enggan mengulas lebih lanjut berkata ini bagi mengelak berlaku sebarang kekeliruan. - Bernama

PAS yakin isu Kedah selesai dengan ukhuwah, tarbiyah

KUALA LUMPUR, 26 Feb: PAS Pusat penuh keyakinan isu yang dikatakan sedang berlaku di Kedah sekarang ini boleh diselesaikan melalui semangat ukhuwah dan tarbiyah yang sudah sekian lama dibina dalam PAS.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dalam satu kenyataannya pagi ini berkata, keyakinan itu diperolehi berdasarkan pertemuan terbaru yang mereka buat bagi membincangkan isu ini malam tadi.

Malam tadi sebahagian besar pimpinan PAS Pusat berkumpul di Pejabat Agung PAS untuk membincangkan isu ini.

Sebelum ini, beberapa siri pertemuan telah diadakan oleh pimpinan utama PAS termasuk Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum beliau ke luar negara.

Media melaporkan beberapa exco kerajaan negeri Kedah enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri yang baru apabila mereka mengangkat sumpah 28 Februari ini.

Bagi Salahudin, PAS Pusat berkewajiban untuk memastikan apa yang berlaku di Kedah dapat berjalan dengan baik.

Beberapa siri pertemuan telahpun dan akan terus diadakan dengan semua pihak terlibat dan PAS Pusat yakin dengan pendekatan dialog dan perbincangan akan dapat melahirkan suasana yang harmoni dan mencapai matlamat supaya keadaan hari ini diatasi dengan bijak oleh semua pihak.

"PAS Pusat yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Presiden satu keadaan yang selesa akan dinikmati oleh semua yang memberikan kerjasama ke arah mencapai keputusan yang memastikan semangat ukhuwah dan kesan tarbiyah yang menunjangi perjuangan PAS," kata Salahudin kepada Harakahdaily.

Beliau berharap semua ahli PAS dapat memberikan kerjasama dengan tidak membuat apa-apa kenyataan prasangka yang boleh dimainkan oleh media dalam isu Kedah ini.

"Segala usaha yang sedang dilakukan hari ini akan memastikan keterlibatan semua pihak dan segala pertemuan dan perbincangan diadakan dengan hati yang terbuka," katanya.

Semua pihak juga, katanya, berjanji akan memberikan hasil terbaik untuk sama-sama perteguh kedudukan PAS di Kedah. -HD

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/02/phahrolrazi-nafi-dalangi-guling-mb.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular