KUALA LUMPUR, 5 Okt — Pertubuhan bukan kerajaan Sisters in Islam (SIS) kekal dengan pendiriannya menentang pelaksanaan hukum hudud di Malaysia atas alasan ia tidak akan membawa keadilan kepada kaum wanita.
Pengarah Eksekutif SIS Ratna Osman berkata, pihaknya kekal dengan pendirian yang diputuskan sejak 1993 itu - pada tahun kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS meluluskan enakmen bagi menguatkuasakan perundangan itu.
Terengganu membawa enakmen yang sama 10 tahun kemudian.
Bagaimanapun pelaksanaan terbantut ekoran sekatan pusat atas alasan kedudukan Perlembagaan Persekutuan.
Kata beliau, SIS menentang perundangan itu kerana ia akan menafikan hak kaum wanita selain bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar jaminan berperlembagaan yang diperuntukkan.
“SIS percaya bahawa masyarakat perlu dikawal selia selari dengan prinsip kesaksamaan, keadilan dan maruah, dan bukannya menerusi penghakisannya dengan hukuman-hukuman kejam dan keras,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Jelas beliau, hukum hudud mendiskriminasikan kaum wanita kerana beban pembuktikan, misalnya dalam kes rogol, terletak pada bahu mangsa.
“Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu (Hudud dan Qisas) 2002 mengatakan bahawa di bawah Seksyen 9, seorang wanita yang membuat laporan dia telah dirogol boleh dituduh qazaf dan dikenakan sebatan sebanyak 80 kali jika dia gagal menyediakan bukti.
“Meskipun pindaan telah dibuat untuk membenarkan bukti situasi, masih wujud kekeliruan,” katanya sambil menambah, “sebagai contoh, pihak mana yang perlu menyediakan bukti iaitu polis atau mangsa?”
“Pindaan tidak mencukupi dan keseluruhan undang-undang ini kekal sesuatu yang tidak adil,” kata beliau.
Beliau menambah, di bawah enakmen Kelantan pula, seorang wanita yang mengandung atau melahirkan anak disebabkan kejadian rogol, dianggap telah melakukan zina meskipun dia merupakan mangsa dirogol.
“Ketidakupayaan menyediakan empat saksi lelaki akan berakhir dengan (andaian) telah melakukan zina sedangkan perogol pula bebas,” kata Ratna.
Sambil menegaskan seorang wanita tidak boleh menjadi saksi, kata beliau, mereka dari kepercayaan yang lain pun tidak boleh menjadi saksi.
“Sebenarnya tiga per empat penduduk Malaysia tidak layak menjadi saksi,” katanya lagi.
Justeru kata beliau, enakmen-enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu melanggar prinsip hak asasi manusia dan keadilan dan kesaksamaan dalam Islam.
“Ia memperuntukkan hukuman yang dilihat kejam, tidak perikemanusiaan dan mengaibkan,” katanya lagi.
Oleh itu kata beliau, SIS mahu menekankan pendiriannya bahawa undang-undang hudud tidak berperlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan di negara ini.
“Ia melanggar prinsip-prinsip universal hak asasi manusia dan diskriminasi ke atas kaum wanita,” katanya lagi. - TMI
Sila Baca
1. Masih ada tidak faham jenayah rogol, zina
2. PERLAKSANAAN HUKUM SEBAT KE ATAS PENZINA ( HUKUM HUDUD )
3. APA ITU HUDUD
Pemuda PAS Jawab Sister In Islam, Gesa Bosnya Bertaubat
Saya petik: | ||||||||||||||||||||||||||||
Berkaitan: Masyarakat majmuk bukan alasan tolak hudud P/s: Semoga kita tidak tergolong dalam kelompok manusia yang mempersenda agama dan hukum Allah. - DCM |
1. Masih ada tidak faham jenayah rogol, zina
2. PERLAKSANAAN HUKUM SEBAT KE ATAS PENZINA ( HUKUM HUDUD )
3. APA ITU HUDUD
An-Nisaa`:061
Apabila dikatakan kepada mereka : "Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul", niscaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu.
Al-Maaidah:049
dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan mushibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.
Al-Maaidah:050
Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin ?
No comments:
Post a Comment