Tuesday, October 4, 2011

Ketua Polis Negara sokong Lim Guan Eng?

WarkahDaily – Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar semalam telah menjelaskan bahawa pihak polis menjalankan tugas dan memberi khidmat mereka tanpa meletakkan kepentingan politik mana-mana pihak walaupun pernah mengeluarkan kenyataan berbaur politik sebelum ini berkaitan pemansuhan Akta ISA yang mungkin boleh memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum.


Katanya, pihak polis menjalankan tugas tidak kira di negeri Pakatan Rakyat (PR) atau tidak, sebaliknya tanggungjawab dilaksanakan dengan menyeluruh untuk memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman damai.

“Polis tidak bersikap pilih kasih dalam menjalankan tugas walaupun sesebuah negeri itu ditadbir parti pembangkang.

“PDRM selaku agensi penguatkuasaan di negara ini berkhidmat bagi memastikan keamanan terkawal, memerangi serta mencegah jenayah. Jadi, khidmat yang kami berikan ini, sememangnya secara menyeluruh,” kata Ismail.

Ismail menjelaskan, PDRM tidak akan berat sebelah bahkan tidak membiarkan jenayah berleluasa di negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

“Tidak timbul isu jika sesebuah negeri itu ditadbir oleh pembangkang, PDRM akan bersifat berat sebelah dan membiarkan jenayah berleluasa di sana,” katanya selepas perasmian Hari Terbuka Polis 2011 oleh Timb. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Merdeka, kelmarin.

KPN bersetuju dengan KM Pulau Pinang

Menurut Ismail lagi, pihak polis dapati indeks jenayah secara keseluruhan adalah turun tidak kira di Johor, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak atau Kelantan.

Ismail mengulas kadar jenayah yang berlaku berikutan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang menyatakan jenayah di negeri pentadbirannya berjaya dikurangkan.

Jelas, kenyataan Ismail berkaitan penurunan indeks jenayah itu turut membenarkan apa yang didakwa Lim Guan Eng bahawa Pulau Pinang lebih bersih, lebih hijau dan juga lebih selamat berkaitan keselamatan dan indeks jenayah berkurangan begitu ketara sekali berbanding negeri lain.

Buktinya, Ismail secara terang seolah-olah mengiyakan kenyataan Lim Guan Eng seperti yang didakwa TV3 itu apabila turut mengaitkan pihak polis yang tidak bersikap pilih kasih menjalankan tugas mengurang indeks jenayah di negeri itu walaupun ianya ditadbir oleh PR.

Pihak polis, katanya sentiasa berusaha supaya indeks jenayah berkurangan selari dengan matlamat PDRM sekarang.

Sebelum ini, TV3 mendakwa, Lim Guan Eng burukkan Johor adalah negeri tidak selamat berbanding Pulau Pinang ketika majlis makan tengah hari dengan Persatuan Wartawan Asing Singapura pada 12 Ogos lalu. Namun ianya dinafikan oleh Ketua Menteri itu dan beliau tidak pernah bermaksud demikian.

Kerana laporan media pro Umno-BN, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dilaporkan tersinggung terhadap tuduhan Lim Guan Eng ke atas Johor itu.

Lim Mohon maaf

Walau bagaimanapun, Lim Guan Eng (gambar kanan) kelmarin telah memohon maaf kepada Sultan Johor kerana menyinggung perasaan baginda berhubung satu kenyataan yang didakwa memburukkan negeri Johor.

“Sebagai rakyat Malaysia yang setia kepada Raja dan negara, patik ingin memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor, atas rasa tersinggung DYMM Tuanku terhadap kenyataan berikutan dengan Johor yang telah dibuat oleh patik,” pohon Lim Guan Eng dalam kenyataan penuhnya kelmarin.

Lim turut memohon maaf terhadap rakyat Johor atas perkara yang sama dan beliau menafikan berniat untuk memburukkan Johor.

“Patik tidak berniat untuk memburukkan Johor atau mana-mana negeri atas apa-apa sebab dan alasan sekali pun.

“Dalam laporan media, DYMM Sultan Johor juga bertitah bahawa Baginda tidak mahu diseret ke dalam arena politik. Patik bersetuju dengan titah DYMM Sultan Johor.

“Saya merasakan bahawa saya telah disalah lapor oleh media massa yang dikawal oleh Barisan Nasional.

Kerana dituduh demikian, Lim akan membawa kes itu di mahkamah untuk menentu kebenaran ucapannya itu.

“Saya akan membawa perkara ini ke mahkamah untuk menentukan kebenaran tentang di mana saya membuat ucapan saya, apa yang sebenarnya yang diperkatakan, bagaimana ia dikatakan dan dalam konteks apa kenyataan itu dibuat,” kata Lim dalam kenyataan terbukanya itu.


Baca >>>> Statistik PDRM Buktikan Jenayah Johor Lebih Tinggi Dari Pulau Pinang

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular