Bayi Baru Lahir Disumbat Dalam Pam Tandas
Chukai: Gelagat pelik seorang wanita selepas keluar dari tandas yang disedari rakan sebiliknya membawa kepada penemuan seorang bayi baru lahir dan disorokkan dalam pam tandas di sebuah rumah sewa di bandar ini, jam 4 pagi, semalam.
DI SINI...Ina menunjukkan tangki pam air tandas tempat bayi itu disembunyikan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, bayi lelaki seberat dua kilogram itu ditemui masih hidup tetapi dalam keadaan kebiru-biruan dan lemah dipercayai akibat terlalu lama berada dalam tangki itu. Menurutnya, ketika ditemui bayi itu masih bertali pusat dan mengalami sedikit kecederaan pada badan.
“Polis menahan seorang wanita berusia 23 tahun di wad Hospital Kemaman yang dipercayai melahirkan bayi itu dan menyorokkannya di dalam tangki air pam tandas rumah sewa itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, rakan serumah suspek mengesyaki sesuatu tidak kena pada gadis itu yang kelihatan tidak bermaya selepas keluar dari tandas di rumah sewa mereka.
Katanya, suspek pada mulanya enggan menceritakan kejadian itu tetapi selepas didesak rakan sebilik yang juga pengadu, akhirnya dia mendedahkan melahirkan bayi di dalam tandas.
“Rakan sebilik mangsa bergegas membawa bayi itu yang dalam keadaan lemah dan kesejukan ke Hospital Kemaman untuk diberikan rawatan kecemasan. “Pemeriksaan doktor mendapati bayi itu cedera di bahagian muka dan kesejukan selain kebiruan pada seluruh badan. Bagaimanapun bayi terbabit dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.
Abdullah Sani berkata, pihaknya menyiasat kes itu mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sementara itu, rakan sebilik suspek yang dikenali sebagai Ina berkata, pada mulanya suspek mengadu sakit perut dan ingin ke tandas rumah sewa itu untuk membuang air besar.
“Selepas berada terlalu lama dalam tandas, dia akhirnya keluar dalam keadaan tidak bermaya dan keletihan sebelum berbaring di atas katilnya.
“Saya terkejut apabila melihat ada kesan darah pada lantai rumah lalu mengesyaki sesuatu sebelum mendesak rakan itu menceritakan apa yang berlaku dan diberitahu dia melahirkan seorang bayi di dalam tandas,” katanya.
Dia kemudian bergegas ke tandas dan menemui bayi itu yang kesejukan dalam tangki air pam tandas.
“Selepas menemui bayi itu, saya dapati ada sedikit kecederaan pada mukanya dan badan kebiruan akibat kesejukan sebelum membawanya ke Hospital Kemaman untuk rawatan,” katanya. -hm
No comments:
Post a Comment