FERNANDEZ menjahit bibirnya ketika menyertai mogok lapar di hadapan pejabat Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di Caracas, semalam.
Lancar mogok lapar desak Kerajaan Venezuela bantu universiti
CARACAS: Empat pelajar Venezuela bertindak menjahit bibir mereka semalam, bertujuan meningkatkan desakan agar kerajaan menyumbangkan dana secukupnya untuk universiti awam, selain meneruskan mogok lapar bermula 23 Februari lalu.
Salah seorang pelajar terbabit, Gabriela Torrijos, 18, menjahit bahagian tepi bibirnya kelmarin, ketika beliau bersama pelajar lain meneruskan mogok lapar di luar pejabat Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di Caracas. Tiga pelajar lain menjahit bibir mereka sejak beberapa hari lalu.
Torrijos, pelajar sains politik Unversiti Central Venezuela, berkata beliau menyertai mogok lapar sejak empat hari lalu bagi mendesak kerajaan mengambil tindakan menyediakan dana yang diperlukan.
Torrijos yang kesakitan selepas menjahit sendiri sebahagian bibirnya berkata: “Selepas melihat rakan saya mengambil tindakan ini, saya secara sukarela menyertai mereka.”
Seorang lagi pelajar, Villca Fernandez, 28, mengalami bengkak muka, tiga hari selepas menjahit bahagian tepi mulutnya.
Beliau yang kelihatan lemah kerana mogok lapar, mendakwa sudah tidak memakan makanan pejal sejak 30 hari lalu dan tidak bercadang untuk memberhentikan tindakannya.
“Saya rela mati demi universiti dan negara saya,” katanya.
Mogok lapar dimulakan oleh lima pelajar pada 23 Februari lalu dan jumlah mereka semakin bertambah sejak itu. Pelajar berkata, universiti mereka mungkin tidak dapat beroperasi jika kerajaan tidak menyediakan dana secukupnya.
Pihak pentadbiran universiti berkata, menjelang April, lebih 24 universiti awam di Venezuela mungkin tidak mempunyai dana yang cukup untuk meneruskan operasi di kafeteria atau membeli bekalan yang diperlukan.
Pegawai kerajaan bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan berkata, pelajar terbabit dimanipulasi penentang Presiden Hugo Chavez.
“Jika mereka mahu berbogel di jalan raya, lakukanlah. Jika mereka mahu menjahit apa saja yang mereka mahu, jahitlah, kami akan terus berusaha dan bekerja untuk negara kami,” kata Menteri Luar, Nicolas Maduro dalam satu rancangan televisyen yang disiarkan dari negeri Bolivar di tenggara Venezuela.
Selasa lalu, Chavez mengumumkan rancangan untuk meningkatkan biasiswa pelajar dan berkata kerajaan bersedia menilai semula bajet bagi univerisiti. Bagaimanapun pelajar yang menyertai mogok lapar mendakwa pengumuman itu tidak memadai. – AP
No comments:
Post a Comment