Sunday, January 2, 2011

Penduduk terus buru buaya baham imam

28 Muharram 1432H.

SAMARAHAN 1 Jan. - Seekor buaya sepanjang 3.6 meter berjaya ditangkap di Sungai Batang Samarahan di Kampung Reban, dekat Serian hari ini selepas tragedi Imam Ketiga, Masjid Darul Ihsan, Sidi Samad, 66, dibaham oleh reptilia itu pada 18 Disember lalu.

Bagaimanapun, buaya yang ditangkap kira-kira pukul 9 pagi itu dengan menggunakan pancing berumpankan anjing dan ayam ternyata bukan reptilia yang dikatakan membaham mangsa tersebut.



Penghulu Ladang Samarahan, Boh Sabeli, 70, memberitahu, penduduk kampung telah membelah perut buaya berkenaan, namun hanya menemui bulu ayam dan bangkai anjing sahaja.

Katanya, ia menjadi bukti buaya itu bukan reptilia yang membaham mangsa lalu bangkai buaya itu dibuang semula ke dalam sungai.

"Setakat ini, penduduk kampung telah menangkap dua ekor buaya dan membelah perutnya, namun kedua-duanya bukan reptilia yang mengganas dan membaham Allahyarham.


"Maka, operasi memburu buaya terbabit akan terus dijalankan bersama Sarawak Forestry Corporation (SFC) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) memandangkan kita telah mendapat kebenaran untuk berbuat demikian (menangkap serta membunuh buaya)," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini hari ini.

Penangkapan buaya tersebut di tebing Sungai Batang Samarahan hari ini turut menarik perhatian apabila ratusan penduduk berpusu-pusu menyaksikan proses membelah perut buaya terbabit bagi mendapatkan balik dua kaki, dua tangan dan kepala mangsa yang dibaham itu.

Dalam kejadian pada 18 Disember lalu, Sidi maut dibaham buaya kira-kira pukul 6.30 pagi ketika menjala udang galah bersendirian di sungai berkenaan yang dikenali sebagai habitat reptilia tersebut.

Difahamkan, seorang penduduk yang turut serta dalam operasi memburu reptilia berkenaan sebaik mangsa dilaporkan hilang telah melihat seekor buaya sebesar perahu berada kira-kira 30 meter dari tebing sedang timbul dan bergerak mengikuti arus sungai dengan rahangnya terdapat sesuatu benda yang dipercayai sebagai kaki mangsa.

Boh memberitahu, pada hari ini juga, penduduk kampung telah berjaya menangkap seekor lagi buaya menggunakan pancing, namun tidak dapat membawanya naik ke darat pada petang ini disebabkan lokasinya agak jauh.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sungai Batang Samarahan sememangnya mempunyai banyak reptilia berkenaan bahkan jika seseorang menyusuri sungai terbabit dari Kampung Reban ke Kampung So, pasti akan terserempak dengan hampir 40 ekor buaya.

Katanya, kejadian dibaham buaya di Kampung Reban baru-baru ini merupakan kes yang kedua selepas kejadian seorang pelajar dibaham buaya di sungai yang sama pada 1992.

"Tidak dinafikan bahawa Sungai Batang Samarahan ini memang terdapat banyak buaya dan penduduk sentiasa berwaspada menggunakan sungai ini sama ada sebagai pengangkutan atau menangkap ikan dan udang.

"Justeru, kita berharap penduduk kampung akan berjaya menangkap buaya yang mengganas itu supaya keluarga mangsa dapat semula bahagian-bahagian anggota badan mangsa untuk disemadikan dengan sempurna," ujarnya. UM/-

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular