Tuesday, January 11, 2011

Gelang "Power Balance" Produk Kelentong!


PALSU...Power Balance mengaku tidak ada bukti saintifik di sebalik gelang getah yang dikeluarkannya dan terpaksa menawarkan bayaran balik kepada pengguna di Australia.

Saya petik:
[HM] IA menjadi aksesori paling hangat di kalangan selebriti tahun lalu.

Gelang getah Power Balance yang menjanjikan pemakainya keseimbangan, kekuatan dan fleksibel, adalah aksesori yang tidak akan ditinggalkan oleh selebriti kelas-A. Ia dilihat dipakai oleh setiap orang, dari David Bekcham hingga ke Kate Middleton.

Kini, syarikat di sebalik gelang getah yang berharga STG29.99 (RM144) itu mengaku tidak ada bukti saintifik di sebalik dakwaan berkenaan dan ia tidak ada keistimewaan lain berbanding gelang getah biasa.

Power Balance dipaksa membuat pengakuan itu oleh Suruhanjaya Persaingan dan Kepenggunaan Australia, ACCC. Ia kini menawarkan bayaran balik kepada pelanggan di Australia yang percaya mereka diperdaya. 

Power Balance juga akan mengubah laman webnya, cara pembungkusan dan pengkilanan untuk menggambarkan mesej baru yang lebih tepat.

Ia juga diwajibkan menggugurkan perkataan 'pencapaian teknologi' pada gelang getah itu.

Menurut Pengerusi ACCC, Graeme Samuel:
 "Pembekal produk seperti ini tidak boleh mendakwa bahawa produk mereka memberikan faedah tertentu kepada pengguna jika ia tidak disokong oleh bukti saintifik.

"Pengguna perlu berwaspada dengan produk seumpama itu di pasaran yang membuat pengakuan tanpa bukti, lebih-lebih lagi ia tidak ada keistimewaan berbanding gelang getah lain."
Gelang getah Power Balance mendapat pengiktirafan daripada selebriti seperti Leonardo DiCaprio, P Diddy, Robert De Niro, Kate Middleton, David Beckham dan Cristiano Ronaldo.

Produk itu diilhamkan oleh usahawan California, Josh Rodarmel, 28. Dia mula mengeluarkan gelang getah berkenaan bersama adiknya, Troy, tiga tahun lalu dengan mendakwa, hologram khas yang terkandung dalam gelang getah silikon itu meningkatkan tenaga asli tubuh si pemakai.

Dalam wawancara tahun lalu, dia berkata: "Setiap benda di dunia mempunyai set frekuensi. Badan manusia mempunyai frekuensi dan benda yang menyebabkan tubuh menjadi negatif seperti telefon bimbit dan gelombang radio, menjejaskan frekuensi pemulihan semula jadinya.

"Saya dan Troy mencari jalan mengembalikan frekuensi baik pada hologram kita supaya ia menyeimbangkan tubuh kita, menjadikan kita lebih bertenaga dan fleksibel.

"Ia berfungsi secara berbeza untuk individu berbeza. Atlit berkata mereka boleh bertahan lebih lama di padang. Keseimbangan mereka meningkat dan otot mereka pulih lebih cepat.

"Golongan bukan atlit pula berkata, ia juga memberi faedah kepada mereka, memberikan mereka tenaga tambahan di luar padang, dalam banyak lapangan kehidupan, termasuk di pejabat dan bilik tidur." 

Pengiktirafan berprofil tinggi menyebabkan penjualan getah gelang itu meningkat mendadak. Kira-kira 2.5 juta getah gelang itu dijual di seluruh dunia. Tetapi sebelum ACCC memaksa syarikat berkenaan mengaku pembohongan mereka, ada pihak yang sudah menyuarakan keraguan terhadap Power Balance.

Pakar psikologi sukan di London. Dr Victor Thompson berkata, "Saya tidak pasti ada kajian yang menyokong teknologi di sebalik gelang getah itu."
Bagaimanapun, dia memberitahu, getah itu mungkin berjaya kerana kesan plasebo - kepercayaan bahawa gelang getah itu memang boleh membantu meningkatkan pencapaian si pemakai.
"Jika anda memakai sesuatu yang memberitahu ia akan meningkatkan kekuatan, keseimbangan dan keselesaan anda, ia mungkin akan terjadi kerana kesan daripada kepercayaan anda," katanya.
P/s: Di Malaysia, bukan selebriti yang kena kelentong, tetapi selebriti pula yang dikatakan mengelentong orang ramai. Alahai gelang magnetiklah, MLMlah, macam-macam! Apa bukti saintifik tentang kehebatan produk-produk mereka? Mana ada, yang ada hanya testimoni yang boleh dikarang mengikut cita rasa sendiri. Ada juga kaki kelentong yang membeli "PHD" untuk mengelentong orang ramai melalui program-program motivasi. Kuasa mindalah, kuasa auralah, macam-macam kuasa dicipta kaki kelentong untuk mendapatkan fulus!

Berbanding dengan negara luar, pihak berkuasa di Malaysia tidak prihatin tentang hal-hal seumpama ini. Selagi tiada orang yang mendapat mudarat, selagi itulah kaki kelentong bebas membuat fulus.Orang ramai yang tertipu pula tidak berani atau tidak prihatin tentang hak mereka berbanding dengan pengguna di luar negara yang bertindak menyaman pengeluar sesuatu produk kelentong!

Lantaran itu, semakin banyaklah orang yang membeli gelaran "PHD" daripada universiti "ghaib" semata-mata untuk mengelentong orang. Tidak percaya? Cuba semak sumber PHD kaki-kaki kelentong tersebut. Ada juga kaki kelentong membeli produk dengan harga RM12-RM25, kemudian menjualnya semula pada harga beribu-ribu!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular