Jawatankuasa Bersama antara Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) telah bersidang pada 2 Ogos 2016, di Pejabat Agung PAS telah dengan sebulat suara bersetuju bagi perkara-perkara berikut:
NAMA: Nama bagi Blok Persefahaman Politik ini adalah GAGASAN SEJAHTERA.
Persefahaman Politik (political understanding) ini menjadi satu gagasan baru kepada lanskap politik negara yang menawarkan suatu pilihan yang lebih mantap kepada rakyat dengan menekankan kepada sebuah budaya berpolitik yang membawa kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya.
Justeru rakyat tidak perlu lagi terikat dengan dua pilihan jalur politik sedia ada yang mana satunya telah terbukti membawa budaya korup, kronisme, nepotisme serta kegagalan menguruskan pentadbiran negara iaitu Blok UMNO/BN; dan satu lagi jalur politik yang menekankan budaya politik emosi, politiking melampau, permusuhan dan kemarahan membuta tuli dalam kalangan rakyat. Rakyat perlu menolak kedua-dua budaya politik yang merosakkan negara tersebut.
Gagasan Sejahtera mengajak rakyat membuat pilihan dengan sebuah Gagasan Politik yang Sejahtera bersama-sama GAGASAN SEJAHTERA.
PENDEKATAN GAGASAN SEJAHTERA
Pendekatan yang diambil oleh GAGASAN SEJAHTERA adalah pendekatan BUDAYA POLITIK MATANG DAN SEJAHTERA (BPMS)
Pendekatan ini membawa budaya berpolitik yang menjadikan :
Agenda perjuangan serta kepentingan rakyat mengatasi kepentingan kelompok kepartian tertentu
Menyokong kebaikan semua pihak secara matang, serta menolak keburukan mana-mana pihak juga secara matang
Politik berasaskan kebenaran, bukan berasaskan pembinaan persepsi semata-mata
Politik Damai dan Diplomasi yang mana pertentangan idelogi perjuangan tidak boleh membawa kepada pertentangan fizikal, pergaduhan dan seumpamanya Politik berasaskan penyelesaian bukan politik berasaskan permasalahan di mana objektif GAGASAN SEJAHTERA adalah membawa penyelesaian kepada pelbagai masalah yang dihadapi rakyat, bukan menyembunyikan masalah seperti dilakukan UMNO/BN; dan bukan sekadar menimbulkan isu dan mempermainkan sentimen rakyat seperti dilakukan PH.
Pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera ini memberi pilihan kepada rakyat yang telah bosan dengan budaya politik melampau sedia ada yang membawa kepada permusuhan dan ketidak stabilan sosial dan ekonomi.
TERAS PERJUANGAN GAGASAN SEJAHTERA
GAGASAN SEJAHTERA menjadikan perkara berikut sebagaiTeras Perjuangan bersama:
Mempertahankan Perlembagaan Negara dan prinsip-prinsipnya;
Mempertahankan Islam sebagai Agama Rasmi Negara dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi, Bahasa Ilmu dan Bahasa Perpaduan Negara
Mempertahankan Prinsip Raja Berperlembagaan
Mempertahankan dan meningkatkan kedaulatan serta keselamatan negara dan rakyat
Memperkasakan keberkesanan Sistem Pendidikan Negara yang menekankan pembangunan nilai bagi melahirkan insan yang bermotivasi, kompetitif, berilmu dan berkemahiran tinggi
Mempertahan dan memperkasakan prinsip Federalismayang adil dalam kesemua aspeknya
Meningkatkan toleransi dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama sambil memperkasakan jatidiri setiap kaum menjadikan kepelbagaian sebagai aset serta kekuatan rakyatMengangkat integriti, ketelusan, kecekapan dan mesra-rakyat dalam sistem pentadbiran negara, sekaligus menghapuskan unsur negatif seperti salahguna kuasa,kronism, nepotism dan rasuah
Memartabatkan negara sebagai sebuah kuasa ekonomi yang kompetetif dan disegani di peringkat tempatan dan dunia melalui prinsip keadilan sosial dan ekonomi berasaskan kepada pembangunan nilai insan, keupayaan sains, teknologi dan inovasi, serta pengupayaan sumber tempatan.
GAGASAN SEJAHTERA dengan ini mengajak seluruh rakyat bersama-sama membawa Budaya Politik Baru yang matang;seterusnya membentuk masyarakat dan negara yang lebih sejahtera serta menolak budaya politik yang menekankan budaya korup dan tidak berintegriti, mahupun budaya politik berasaskan mainan sentimen, persepsi palsu dan permusuhan.
Marilah bersama-sama GAGASAN SEJAHTERA.
DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI HAJI AWANG
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA ABDUL KADIR HAJI SHEIKH FADZIR
Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN)
Bertarikh pada: 13 Ogos 2016
Bertempat di Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment