KEGAGALAN program e-kasih dan 1Azam yang dipolitikkan pemimpin Barisan Nasional menyebabkan Wanita Pertama Malaysia, Datuk Seri Panglima Rosmah Mansor melenting kerana program berkenaan gagal mencapai sasaran.
Mungkin inilah tamparan hebat bagi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil yang tidak pernah turun padang di Sabah untuk berkongsi kesengsaraan dan penderitaan hidup rakyat Sabah yang terbelanggu di dalam lingkaran putaran ganas kemiskinan yang dicipta pemimpin Barisan Nasional.
Demikian pandangan Aktivis Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu berhubung kisah sedih seorang balu di Kota Marudu, Rosnia @ Annie Marambal, 36, yang mengharapkan ‘bulan jatuh ke riba’ setelah memohon bantuan melalui program e-kasih.
Rosnia yang hidup bersama tiga anaknya di sebuah pondok usang di Kampung Kandaway, Kota Marudu kata Patrick, adalah bukti jelas berlaku ‘gejala politik songsang’ apabila mereka yang benar-benar memerlukan terus dipinggirkan, sebaliknya golongan berada mendapat bantuan yang dikhaskan untuk golongan miskin dan papa kedana.
“Dalam keadaan sekarang, ramai yang cuba menunjukkan mereka punya hati dan perasaan, tetapi selama bertahun Rosnia menderita, tidak pun dikunjungi Adun dan Ahli Parlimen yang hanya tahu mengemis undi daripada rakyat susah seperti Rosnia,” ujar Patrick yang kesal kerana jentera kerajaan lumpuh sehingga isteri Perdana Menteri terpaksa menegur ketidak seimbangan sistem sosial akibat kegagalan program pembasmian kemiskinan iaitu salah satu daripada enam NKRA.
Kata Patrick, adalah tidak mustahil akan muncul lagi tragedi memilukan apabila Mendiang Donny Diun, 11, terpaksa mengambil nyawanya sendiri di tali gantung bagi meringankan beban ibunya kerana tidak dapat menahan penghinaan masyarakat sekeliling terhadap keluarganya, jika e-kasih dan 1Azam tidak dijurutera semula sesuai dengan kerangka kemiskinan Sabah yang terlalu subjektif.
Janji Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Dr Maximus Ongkili untuk membina rumah PPRT kepada Rosnia, kata Patrick umpama meletakkan Rosnia di dalam ‘keranda’ sedangkan ADUN Matunggong, Sarapin Magana bagaikan tidak pernah merasakan Rosnia wujud di kawasan yang diwakilinya.
“Rosnia memerlukan pembelaan iaitu memberikan peluang untuk kendiri melalui apa juga program perniagaan atau perladangan, termasuk menempatkan Rosnia secara khusus di tanah rancangan yang dimajukan oleh LKTNS atau Felda atau Felcra atau Agropolitan. Rumah PPRT bukannya boleh dimakan, malah menambah penderitaan mereka jika tidak mempunyai bekalan air, elektrik dan jalanraya,” kata Patrick yang berpendapat ada sesuatu yang tidak kena dengan Program Membasmi Kemiskinan di Malaysia.
Senario ini kata Patrick, bagaikan sketsa sepontan apabila Rosmah menolak Sharizat tetapi Maximus yang terpelanting.
No comments:
Post a Comment