Friday, June 10, 2011

KAMI HILANG SABAR, BN JANJI PALSU!

LOPAK BESAR……Lopak besar di tengah jalanraya ini membuktikan dakwaan penduduk kampung amat serius kerana inilah kualiti jalan di Sabah di abad ke 21.

“KAMI HILANG SABAR!” Demikian keluhan penduduk Kg Kalamatoi, Kemabong, Tenom yang mengeluh dengan sikap kerajaan BN yang hanya pandai menabur janji tetapi gagal menunaikannya membuatkan para penduduk yang pernah ditaburkan janji merasa kecewa dan hampa sama sekali.


“Manusia mana yang tidak kecewa kalau janji itu sudah menjangkau lebih 5 tahun lamanya, tetapi bayang-bayang mereka pun tidak kelihatan selepas itu Apa yang ada hanya papan tanda projek ‘Sign Board’ yang masih terpacak yang dibuat sekitar tahun 2004 dan yang satu lagi tahun 2007.”

Sehubungan itu mereka (penduduk) menggesa kerajaan agar serius melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf jalanraya tersebut dengan segera sejauh 3 kolimeter sepertimana maklumat yang terpampang dalam papan tanda projek (Sign board) yang dipasang di situ sekitar tahun 2004 dan juga tahun 2007 kerana ianya merupakan sebahagian janji yang belum ditunaikan kerajaan sehingga sekarang.

Gesaan itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) Kg Kalamatoi, Andawai Ansumor, 50, ketika memberitahu Sabahkini.net pada Khamis berhubung perkara tersebut sambil mempersoalkan ketelusan program NKRA di bawah KKLW yang kononnya program itu membantu mengatasi masalah jalanraya di kawasan luar bandar.

Tegasnya, beliau kecewa apabila janji kerajaan itu tidak tertunai mengakibatkan penduduk di situ telah hilang sabar kerana menunggunya sekian lama, seterusnya menghampakan harapan mereka selama ini, kini hancur berkecai.

“Sepatutnya kalau pun kerja-kerja menaiktaraf itu belum dilaksanakan lagi tetapi kerja kerja menyelenggara perlu juga diteruskan mengikut jadual kerana keadaan jalanraya sekarang ini sudah rosak teruk dan berlubang-lubang, sistem perparitan pun tidak diselenggara dan menyebabkan air banjir melimpah ke permukaan jalanraya. Semuanya rosak teruk, tengoklah sendiri,” tegas Andawai.

Kata Andawai, beliau tidak faham langsung mana satu agensi yang betul-betul bertanggung jawab mengenai masalah jalanraya tersebut kerana sudah berpucuk surat dihantar ke pejabat tertentu, termasuk Jabatan Kerja Raya tetapi sampai sekarang tidak dipedulikan.

Ketika perkampungan tersebut dilanda banjir kilat sekitar Febuari lepas, kata Andawai, telah menambahkan lagi kerosakan jalanraya berkenaan sehingga menyukarkan sebarang kenderaan melaluinya melainkan pacuan empat roda.

Tegas Andawai, jalanraya tersebut merupakan laluan utama seharian para pelajar sekolah ke Kg Baru Jumpa dan ada yang ke SMK Kemabong setiap hari.

APA JADI?.....Papantanda projek menaiktaraf jalan Kalamatoi yang dipasang pada 2007 tetapi tidak ada kerja dilaksanakan. SPRM masih belum bangun tidur?

“Macama mana kami mahu meningkatkan taraf hidup kalau hasil usaha kami tidak dapat dipasarkan? Mana ada lori mahu masuk beli hasil usaha kami kalau gajahpun tenggelam,” ujar Andawai dalam nada berseloroh tetapi tegas.

Tegas Andawai, beliau menjadi sasaran kemarahan penduduk kampung kerana mereka terpaksa memikul getah seberat 50 kilogram sejauh tiga kilometer jika ingin dipasarkan kerana tidak ada kenderaan mahu memasuki kampung mereka.

“Jangankan manusia, kerbaupun boleh mati kalau pikul getah dan hasil lain hari-hari,” tegas Andawai yang tiba-tiba muram kerana terkenangkan maki hamun penduduk kampung kononnya beliau tidak pandai bekerja dan tidak berusaha menyelesaikan masalah jalan kampung mereka.

Dalam pada itu, Andawai turut menggesa Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah agar turun padang dan tidak mengharapkan kakitangannya menjalankan pemantauan kerana KKLW bertanggung jawab terhadap pembangunan jalan di luar bandar melalui NKRA.

“Dulu semasa Dato’ Shafie datang Tenom saya ada mengadu, tetapi sampai sekarang tiada apa-apa perkembangan,” ujar Andawai yang menjelaskan bahawa kerja-kerja menaiktaraf tersebut dilakukan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah di bawah program PIAS, namun tidak ada sebarang kerja dilakukan sehinggi kini!.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular