PETALING JAYA: Khabar buruk untuk Pakatan Rakyat PAS dan PKR berebut kerusi di Sabah menjelang pilihan raya umum ke 13 akan datang.
Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohamad Abdullah secara terus terang mengatakan PAS tidak gembira dengan PKR yang menurutnya ego dan tidak mahu mengalah.
Tokoh veteran PAS Sabah itu memberi amaran keras, PAS akan mencabar calon PKR jika rundingan pembahagian kerusi antara dua parti pembangkang itu gagal.
Menurutnya, rundiangan akan gagal jika PKR menunjukkan sifat ego dan tidak mahu mengalah.
“Saingan tiga penjuru antara calon BN, PKR dan PAS akan berlaku di banyak kerusi di Sabah kali ini. Saya berjanji kerusi PAS akan ditandingi oleh calon PAS, bukan lagi calon dari PKR.
“PKR parti yang sombong dan bercita-cita terlalu besar, sedangkan mereka tidak ada penyokong di Sabah.
“PKR mahu bertanding semua kerusi termasuki di kerusi PAS. Mereka tidak sedar tiada ahli hingga tiada pekerja jentera pilihan raya,” katanya ketika ditemui di muktamar PAS di Gombak minggu lalu.
Mohamad dari Tawau berkata, sikap sombong dan tidak mahu mengalah PKR berlaku semasa rundingan kerusi Parlimen Batu Sapi dalam pilihan kecil tahun lalu.
Menurutnya, wakil PAS berunding selama dua hari dua malam dengan wakil PKR tetapi gagal menemui jalan penyelesaian.
Enggan mengalah
“Wakil PKR enggan mengalah walaupun kami mengatakan Batu Sapi adalah kerusi tradisi PAS. Kami juga memberitahu mereka, PKR tiada penyokong di Batu Sapi.
“Tetapi untuk menjaga hubungan Pakatan Rakyat, PAS mengalah dan kerusi itu ditandingi calon PKR, Ansari Abdullah.
“PKR gembira kerana berjaya merampas kerusi PAS tetapi calon kami menangis.
“Apa yang berlaku selepas itu? Jentera PAS yang bertugas untuk calon PKR itu, tiada satu pun jentera PKR dan akhirnya Ansari kalah,” katanya.
Mohamad berkata, PAS akan bertanding lima kerusi Parlimen iaitu Kinabatangan, Sandakan, Kota Belud, Putatan dan Sepanggar dan 15 kerusi dewan undangan negeri (DUN).
Katanya, rundingan dengan DAP telah selesai dan parti itu setuju dengan kerusi yang akan ditandingi oleh PAS.
Bagaimanapun, rundingan PAS dengan PKR belum diadakan kerana wakil parti itu dari Semenanjung belum datang ke Sabah.
“Wan Azizah (Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail) beritahu kami supaya tunggu wakil PKR dari Semenanjung untuk berbincang mengenai pembahagian kerusi antara PAS dan DAP.
“Tetapi Pilihan raya semakin hampir tetapi bayang muka pemimpin PKR dari Semenanjung pun belum nampak lagi - FMT
No comments:
Post a Comment