Panas baran perangai lama – Tauke Jambu
Amboi, sejak ada kekasih ni, nampaknya hidup Tauke semakin ceria dan bahagia. Tak gitu?
Alhamdulillah. Baik-baik saja.
Kekasih Tauke tu orang mana? Cuba cerita sikit. Bukan apa, satu Malaysia dah tengok gambar mesra Tauke dalam internet dengan dia?
Nama dia Nur Azura. Saya panggil dia Noy. Dia orang Papar, Sabah dan berusia 24 tahun. Tapi saya ada pembetulan nak buat. Dia bukan kekasih saya....buat masa sekarang.
Maksudnya?
Saya dan dia berkenalan awal tahun lalu. Masa tu ada sebuah program berlangsung di Sabah. Di situ kami mula berkenalan dan sempat bertukar-tukar nombor telefon dan Facebook. Asalnya memang kami kawan. Kemudian bercinta dan kemudian jadi kawan balik.
Nak bergurau pun agak-agaklah. Adakah ini cubaan untuk putar belit nak selamatkan diri?
Begini, saya dan dia memang bercinta ketika itu. Tapi hubungan itu cuma berlangsung lebih kurang empat bulan sahaja. Lepas tu, kami jadi kawan sampai sekarang.
Kenapa cinta sekerat jalan?
Semuanya kerana hubungan kami mendapat tentangan daripada keluarga Noy. Saya pun tak pasti sebab apa, sebab hanya Noy sahaja yang tahu. Dia pun seolah-olah sudah menjauhkan diri daripada saya. Kadang-kadang, kalau ada waktu, saya akan menghubungi dia. Cuma telefon sahajalah yang mendekatkan kami sebab Facebook pun dia dah tak guna. Mungkin sebab keluarganya pantau kot. Apa pun, saya hormati keputusan keluarga Noy.
Iyalah, Tauke kan masih lagi suami orang, mestilah keluarga dia tak restu.
Terus-terang saya katakan, bukan niat saya mahu sembunyikan apa-apa daripada umum. Susah untuk saya katakan saya ini masih suami orang atau tidak, saya tak boleh cakap. Semuanya sebab keadaan memaksa saya jadi begini.
Keadaan memaksa ke atau malu nak mengaku yang Tauke ni dah ada enam anak di rumah tu? Mudah nak lepaskan diri dari tanggungjawab .
Orang tak faham. Sebenarnya, saya dalam proses bercerai dengan isteri. Tapi saya tak boleh cakap lebih lanjut mengenai hal ini takut mengganggu proses di mahkamah. Saya serba salah nak jelaskan situasi sebenar. Apa yang boleh saya katakan, tak salah untuk saya bercinta dengan mana-mana wanita memandangkan saya sekarang ini boleh dianggap solo.
Cepat betul Tauke cari pengganti. Padahal proses mahkamah masih belum selesai, perlu ke nak tayang kekasih sana sini?
Saya memang dah tahu gambar tu terlepas di Internet, tapi terus-terang saya cakap, saya tak marah pun. Saya lebih suka. Sekurang-kurangnya saya tak mengelak bila orang tanya saya pasal isu ini. Bagi mereka yang tahu mengenai status rumah tangga saya, tahulah mereka. Bagi yang tak tahu, saya tak kisah pun dengan apa yang mereka akan kata. Yang tak tahu, suka hati merekalah nak cakap apa. Saya serahkan kes rumah tangga pada kuasa Allah SWT. Kalau ada jodoh maka adalah.
Ada niat nak berbaik semula dengan isteri?
Saya cuma kenangkan nasib anak-anak sajalah. Saya terima semuanya kalau ada jodoh lagi antara kami. Tapi saya agak kecewa juga bila ada yang kata saya abaikan isteri dan anak-anak, padahal bukan itu yang berlaku.
Betul ke Tauke ni panas baran, selalu pukul isteri? Itu yang saya dengar.
Yang mengata tu ahli keluarga saya ke? Saya tahu semua ni datangnya dari mulut ke mulut. Ya, saya mengaku memang saya panas baran dan garang. Malah, kuat cemburu. Tapi itu semua dulu. Masa itu saya mengaku otak belum matang. Tapi saya dah banyak berubah sekarang. Sifat tu dah dibuang sikit demi sikit.
Tak rasa segan ke mengaku panas baran? Biasanya artis kita ni selagi boleh tak nak mengaku benda negatif yang mereka buat.
Bagi saya, InsyaAllah... saya tidak akan mengelak untuk mengaku benda yang memang saya lakukan. Tapi saya harap janganlah label saya panas baran sebab saya dah buang sifat tu. Kalau boleh, saya tak mahu ia wujud dalam diri saya lagi. - UM
No comments:
Post a Comment