Wednesday, June 15, 2011

PRU 13: Tiada jalan mudah buat Najib, BN


Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) dijangkakan tidak akan diadakan seawal bulan Julai ini walaupun muncul spekulasi yang bertiup kencang PRU-13 bakal diadakan Julai tahun ini.

Tindakan Umno menunda pemilihan dalam parti yang sepatutnya diadakan pada tahun ini sehingga 18 bulan juga telah memberi ruang untuk parti itu bersedia untuk menghadapi PRU-13 sekurang-kurangnya sehingga tahun 2013 sebelum pemilihan parti diadakan.

Membubarkan Parlimen seawal Julai 2011 juga dilihat tidak memberi banyak kelebihan dan alasan yang konkrit buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional (BN) yang dikepalainya.

Jesteru itu, tiada sebab Najib perlu membubarkan Parlimen tahun ini sedangkan mandat yang diperolehi BN ketika diketuai oleh bekas PM, Tun Abdullah Badawi pada Mac 2008 hanya akan luput pada 2013.

Alasan beberapa pemerhati dan ahli politik yang berpendapat ketika ini Najib mahukan mandat pertamanya sebagai PM sekaligus membuktikan kekuatannya sebagai peneraju utama BN juga tidak terpakai sekurang-kurangnya hingga ke hari ini.

Sokongan Melayu meningkat, Cina merosot
Berbanding Najib yang dikatakan dahagakan mandatnya sendiri untuk membuktikan pengaruhnya, beberapa perkara lain yang lebih penting tentunya menjadi perhitungan utama Najib ketika ini.

BN juga tidak boleh terlalu berbangga dengan keputusan beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini yang menunjukkan peningkatan sokongan pengundi Melayu kepada BN.

Bagaimanapun keputusan siri PRK tersebut tidak memberi sebarang jaminan yang baik buat BN bagi mengekalkan kuasanya di 
Putrajaya bahkan kedudukan Najib sendiri sebagai PM sekalipun BN kembali berkuasa.

Keputusan siri-siri PRK yang sama turut memperlihatkan penyusutan sokongan pengundi bukan Melayu yang ketara khususnya golongan kedua terbesar iaitu pengundi di kalangan kaum Cina.

Keputusan yang sama turut berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang baru diadakan sebelum ini, malah jelas menunjukkan kemerosotan sokongan rakyat negeri itu terhadap BN.

Dalam keputusan PRN Sarawak lalu, undi popular bagi BN merosot walaupun sokongan yang diterima dari pengundi Melayu meningkat gara-gara kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu di negeri itu.

Sekurang-kurangnya bagi negeri Sarawak, BN diramalkan akan kehilangan beberapa buah kerusi parlimen dari negeri ini sekiranya PRU-13 diadakan dalam masa terdekat ini.

Mengekalkan pengaruh di Sabah dan Sarawak tentunya dilihat sebagai sesuatu yang penting buat BN sehinggakan dua negeri tersebut dianggap sebagai negeri ‘simpanan tetap’ parti itu.

Disebabkan Sarawak merupakan antara negeri yang terbanyak menyumbangkan kemenangan BN di Parlimen, kedudukan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud yang mulai dianggap sebagai liabiliti kepada BN dipercayai turut menjadi perhitungan Najib bagi mendapatkan ilham tarikh PRU-13.

Pengunduran Taib di Sarawak sebelum menjelangnya PRU-13 boleh dianggap sebagai satu kelegaan buat jentera BN negeri itu dalam menghadapi serangan pihak lawan.

Jelas dari segi peratusan undi popular, peningkatan sokongan dari pengundi Melayu itu tidak memberikan impak yang besar terhadap BN kerana diimbangi oleh penyusutan sokongan di kalangan pengundi bukan Melayu.

Ancaman dalaman Umno sendiri terhadap Najib

Najib dan BN bukan sahaja bakal tersungkur sekiranya BN gagal mempertahankan majoriti mudah di parlimen, malah beliau turut bakal berhadapan dengan ancaman timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rata-rata para pemerhati berpendapat, sekalipun BN berjaya memenangi PRU-13 nanti, kedudukan Najib masih terancam sekiranya BN gagal memperolehi majoriti dua pertiga di parlimen.
Tindakan Muhyiddin yang akhirnya mendorong perletakan jawatan PM kelima Malaysia, Tun Abdullah tentunya sentiasa menjadi igauan Najib.

Selain itu, sekalipun BN berjaya memperolehi kemenangan dua pertiga di parlimen, kegagalan merampas negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat (PR) khususnya negeri Selangor ketika ini juga boleh merosakkan parti kemenangan Najib.

Sekiranya PRU-13 diadakan seawal Julai ini, kebanyakan pemerhati politik tanah air menjangkakan BN hampir pasti gagal untuk merampas Pulau Pinang dan Kelantan dari tangan PR.

Manakala di Selangor dan Kedah pula pastinya pertembungan sengit akan berlaku antara kedua-dua belah pihak BN dan PR.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular