Friday, June 17, 2011

KENAPA SKMM SERANG SABAHKINI.NET?

Saudara Pengarang,
SEBAGAI pembayar cukai, saya teramat kesal dengan sikap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang sering menyerang Sabahkini.net semata-mata untuk menjaga ‘maruah’ menterinya, Datuk Seri Utama Rais Yatim yang memfailkan saman terhadap laman web popular ini, yang kononnya memfitnah beliau dalam kes tuduhan merogol amah.

Kelihatannya, Rais menggunakan kedudukan dan pengaruhnya sebagai Menteri untuk menggunakan tangan Pengerusi SKMM mendera Sabahkini.net agar tunduk kepada kehendak SKMM; sedangkan Akta Komunikasi dan Multimedia ‘batal dan meremehkan’ kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Bill of Guarantee (BoG) sewaktu penubuhan Koridoraya Multimedia.

Sebagai rakyat Sabah, saya merayu Perdana Menteri agar menggugurkan Rais Yatim dalam rombakan Kabinet akan datang kerana beliau sudah menjadi liabiliti kepada Kerajaan, sehingga menjadi salah satu punca utama Laman Web Kerajaan digodam dan memalukan Malaysia di mata dunia.

Berhubung saman Rais Yatim terhadap Sabahkini.net, saya bersedia hadir untuk memberi keterangan berhubung dua kenyataan saya yang turut disebut dalam saman berkenaan, tetapi Rais tidak mendakwa saya yang memberikan kenyataan, sebaliknya menyaman Sabahkini.net.

Saya turut tidak bersetuju dengan peruntukan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) yang menyebut, “sekiranya seseorang yang menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar- mewujudkan apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau menganggu orang lain,” kerana saya menyifatkannya sebagai pencabulan hak asasi manusia dan terlalu subjektif.

Siapa beri kuasa kepada Pegawai SKMM untuk mentafsir maksud ‘lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau menganggu orang lain’ kerana inilah sifat laman web Pro-Umno yang melakukan perbuatan terkutuk berkenaan, tetapi tidak langsung diganggu SKMM.

Kenapa tidak tapis jutaan laman web porno dan yang mengapikan agama di Malaysia, sebaliknya menyerang Sabahkini.net yang merupakan suara rakyat Sabah yang berlaku adil kepada semua pihak?

Akhir sekali, saya berharap agar Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh ‘Bapa Transformasi’ Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak melakukan transformasi sebenar dalam bidang ICT, termasuk memilih mereka yang benar layak dan berpengalaman dalam bidang berkenaan sebagai menteri.

Saya harap Najib tidak melantik tikus membaiki labu atau menyuruh kambing menjaga sirih!


Salam Hormat,

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular