Thursday, June 16, 2011

Hak berdemonstrasi adalah hak asasi bawah perlembagaan


From Yap Heng Lung, melalui e-mel


SUARAM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sering kali mempergunakan agensi penguatkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menghalang rakyat untuk berhimpun secara aman.
Untuk rekod, hak berhimpun (secara aman) merupakan hak asasi manusia yang dijamin di bawah Artikel 10, Perlembagaan Persekutuan yang mana rakyat  diberikan hak untuk berhimpun dan berpersatuan. Namun, hak ini seringkali dinafikan oleh kerajaan.


Baru-baru ini, Bersih iaitu satu gabungan bukan kerajaan, telah mengumumkan satu perhimpunan aman secara besar-besaran akan diadakan pada 9 Julai di Kuala Lumpur bagi menuntut pilihan raya bersih dan bebas. Ia sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang bakal diadakan.


Namun, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein dan Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Khalid Abu Bakar menempelak rancangan perhimpunan tersebut dan melabelkannya sebagai satu usaha yang boleh mencetus kekacauan dan menggugat keselamatan awam.


Khalid Abu Bakar pula hari ini mengeluarkan amaran akan melakukan tangkapan ‘pencegahan’ (jika perlu) pada tempoh sebelum dan selepas perhimpunan.

Suaram mengambil berat akan amaran yang dikeluarkan oleh pihak PDRM dan berpendapat bahawa ia merupakan satu pencabulan hak asasi manusia yang bersifat terang-terangan. Sebagai salah sebuah negara ahli dalam Majlis Hak Asasi Manusia Sedunia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Malaysia perlu memahami dan mematuhi hak dan prinsip tersebut.


Sekatan dan amaran bagi menghalang rakyat menyertai perhimpunan aman ini merupakan satu pelanggaran hak asasi manusia yang amat serius. Lebih-lebih lagi, hak berhimpun tersebut merupakan satu hak yang bersifat universal seperti yang terkandung dalam Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR).

Penulis adalah penyelaras SUARAM


Lagi >>>> 


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular