Monday, June 13, 2011

Apabila Menteri Wanita Malaysia Tiada Ilmu Agama

Jangan salah guna istilah poligami, kata Shahrizat

Oleh Latifah Kasmuri

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan masyarakat “jangan salah guna” perkataan poligami kerana bukan semua wanita bersetuju untuk berpoligami kerana khuatir ia akan membawa isu sosial.


Shahrizat berkata, poligami boleh dipraktikkan dalam Islam tetapi jangan disalah guna.

“Jika poligami disalah guna, ia akan membawa keruntuhan dalam institusi kekeluargaan,” kata beliau pada sidang media selepas pelancaran beg jenama Sporting Ras di sini hari ini.

Beliau juga berkata, bukan semua wanita bersetuju untuk berpoligami dalam rumah tangga.

“Jangan kata semua wanita bawah 30 tahun bersetuju untuk berpoligami.

“Saya sudah tanya wanita lain. Mereka menolak poligami dalam kehidupan berumah tangga. Ini membuktikan hanya segelintir yang menerima poligami, bukan semua,” katanya.

Laporan media hari ini menyebut wanita negara ini terutama berusia di bawah 30 tahun lebih terbuka untuk hidup berkongsi kasih atau bermadu berbanding dengan mereka melepasi usia tersebut.

Kajian rambang ke atas 400 responden sekitar ibu kota mendapati, walaupun jumlah yang menentang poligami melebihi kumpulan yang sanggup menerima, namun terlihat perubahan baru apabila golongan wanita muda tidak lagi kisah dengan status bermadu.

Berdasarkan jumlah responden ditemui, sebanyak 46 peratus atau 182 akan membenarkan bakal suami atau suami mereka berpoligami.

Daripada 182 responden itu pula, hampir 60 peratus atau 108 orang adalah terdiri daripada wanita muda berusia di bawah 30 tahun.

Sementara itu, sebanyak 53 peratus atau 213 responden, kebanyakannya berumur lebih 30 tahun pula lebih rela bercerai jika suami mereka berkahwin lain manakala satu peratus lagi secara berterus-terang mengatakan tidak berminat untuk mengetahui tindakan suami di belakang mereka.

Sharizat menambah, trend poligami yang menggunakan perkataan Islam sangat memperkecilkan isteri dan ia sesuatu yang membebankan.

Katanya, ini merupakan satu salah faham dalam membina institusi kekeluargaan.

“Di Kazakhstan, mereka menerima poligami tetapi undang-undang negara mereka yang tidak membenarkannya,” ujarnya lagi.

Shahrizat berpendapat, suami boleh berpoligami tetapi mesti bersyarat seperti yang ditekankan dalam Islam.

Katanya, apabila berlaku poligami, masyarakat khususnya isteri rela hati menerima dan tidak mempersoalkannya.

“Barulah poligami dibenarkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, kementerian tidak menggalakkan poligami kerana mahu memelihara perjuangan wanita.

Katanya, jika perlu poligami dibolehkan tetapi mesti bersyarat.

“Hak poligami memang diberi kepada suami, ia boleh dilakukan dalam situasi tertentu sahaja,” ulasnya lanjut. - TMI


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular