HULU SELANGOR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah bahawa baginda akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan api permusuhan dan perbalahan antara kaum dan masyarakat di negeri Selangor.
Baginda bertitah sebagai ketua negeri Selangor, baginda tidak akan membiarkan adanya anasir yang akan merosakkan bangsa dan agama.
“Di sini, beta ingin menyeru kepada rakyat Melayu di negeri Selangor ini supaya hendaklah bersatu-padu dan janganlah berbalah-balahan antara satu sama lain disebabkan oleh ideologi politik yang berlainan.
“Kita orang Melayu bersatu dengan satu agama, iaitu agama Islam,” titah baginda ketika merasmikan Masjid As-Salam, Bukit Sentosa di sini.
Turut hadir ke majlis itu ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Khusrin Munawi.
Sultan Selangor bertitah baginda akan merasa sedih jika rakyat Melayu di negeri Selangor berpecah-belah disebabkan pendapat politik yang
berlainan.
“Negara kita telah merdeka sebegini lama dan beta percaya rakyat Melayu di negeri Selangor ini telah banyak mempelajari dan mengetahui akan kemajuan hidup yang telah dicapai dan yang akan dicapai,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan orang Melayu supaya tidak terlalu mengikut emosi dan cepat terpengaruh dengan hasutan-hasutan yang tidak memberi
keuntungan serta manfaat kepada diri sendiri, masyarakat, bangsa dan agama.
“Beta mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat beta yang peka dan prihatin terhadap usaha-usaha mengekalkan keamanan dan kedamaian dalam negeri Selangor ini walaupun terdapat beberapa golongan yang cuba
mencetuskan provokasi yang tidak diingini sejak kebelakangan ini.
“Tidak ada manusia normal yang sukakan pertelingkahan, ketidaktenteraman, permusuhan, apatah lagi memendam rasa benci dan syak wasangka,” titah baginda.
Mengenai ada pihak-pihak yang mahu menganjurkan demonstrasi jalanan, baginda menasihatkan kepada seluruh rakyat Selangor supaya tidak terlibat atau mengambil bahagian atau menyertai demonstrasi jalanan ini pada bila-bila masa jua pun kerana ianya akan merugikan negeri Selangor.
“Pada hemat beta, demonstrasi jalanan pada bila-bila masa jua pun boleh merebak dan menjadikan keadaan tidak terkawal dan akan menyusahkan rakyat jelata, di mana kedai-kedai dan premis perniagaan akan ditutup kerana takut dirosakkan oleh para penunjuk perasaan, rakyat tidak dapat menjalankan aktiviti harian mereka, sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi terpaksa ditutup serta keadaan keseluruhan negeri juga akan menjadi kelam kabut,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah sekiranya keadaan kucar-kacir berlaku, ekonomi negeri akan terjejas yang bukan sahaja membabitkan sektor pelancongan malah para pelabur asing juga akan merasa takut dan bimbang untuk berniaga di Selangor.
Baginda bertitah sekiranya ada sesuatu yang tidak memuaskan hati dan ingin meluahkan sesuatu pendapat, ianya hendaklah dilakukan melalui saluran yang betul bagi mengelakkan provokasi yang boleh mencetuskan suasana tegang dan menjejaskan keamanan negara.
“Beta percaya rakyat negeri Selangor boleh berfikir secara waras sebelum membuat sesuatu keputusan dan dapat membezakan perkara-perkara yang baik atau buruk bagi memastikan bahawa negeri Selangor ini akan terus membangun dan rakyatnya yang berbilang kaum akan terus bersatu-padu serta hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.”
Baginda juga meletakkan keyakinan dan menyokong penuh pihak polis dalam menjalankan tugas mereka menjaga keamanan negeri dan negara serta keselamatan rakyat keseluruhannya.
Mengenai kesucian masjid sebagai rumah Allah s.w.t, baginda menegaskan sekali lagi agar peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis
Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dipatuhi kerana ianya bertujuan untuk menjamin kesejahteraan umat Islam di Selangor.
“Justeru, langkah pencegahan di peringkat awal amat perlu supaya masjid kekal sebagai tempat awam dan berkecuali dari segala pengaruh politik dan mana-mana pihak yang berkepentingan.
“Beta tidak mahu melihat orang Melayu bergaduh atau berbunuhan sesama sendiri sepertimana yang berlaku di beberapa negara Islam yang lain,” titah baginda.
Sultan Selangor bertitah sekiranya orang Melayu sanggup berkumpul di masjid atau surau untuk melakukan sesuatu yang salah di sisi undang-undang, maka ini menunjukkan betapa rendahnya pemikiran orang-orang Melayu di dalam memuliakan rumah suci Allah kerana masjid dan surau adalah tempat mulia untuk beribadat dan mendekati diri kepada Allah.
- Bernama
No comments:
Post a Comment