Monday, November 14, 2011

Produk kedai 1Malaysia tipu pengguna?

KUALA LUMPUR, 14 Nov: Pakatan Rakyat memberi amaran kepada kerajaan agar tidak memperbodohkan rakyat dengan produk kedai 1Malaysia yang dikatakan jenamanya setanding dengan produk lain tetapi harga yang ditawarkan lebih murah tetapi pada hakikatnya adalah sebaliknya.


Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua pada satu sidang media menjelaskan banyak produk yang dipasarkan di kedai 1 Malaysia tidak menepati Akta Makanan dan Peraturan 128.

"Saya menyambut baik dengan kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Kesihatan bahawa satu jawatankuasa khas akan diwujudkan bagi meneliti tentang isu virus e-coli yang wujud dalam susu produk 1Malaysia.

"Selain dari wujudnya virus tersebut apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah berkenaan label yang diletakkan pada produk keluaran mereka terutama yang boleh mengeliru pembeli ataupun hasrat menipu pembeli yang rata-rata mereka dari golongan berpendapatan rendah," jelasnya yang juga Setiausaha Publisiti DAP di lobi parlimen, hari ini.

Beliau juga memberitahu contoh terbaik adalah sos tiram yang telah dibandingkan antara jenama dari Tecso dan juga keluaran syarikat lain yang jelas wujud penipuan kepada label yang digunakan oleh kedai 1Malaysia.

"Kita lihat produk yang sama antara ketiga-tiga keluaran yang dilabelkan sebagai sos tiram dan apa bila kita bandingkan antara produk keluaran 1Malaysia dengan produk lain jelas ada bezanya yang mana keluaran lain menggunakan tiram sebagai bahan utamanya tetapi sos tiram 1Malaysia hanya menggunakan perisa tiram.

"Tetapi label yang digunakan adalah sos tiram, ini jelas melanggar akta makanan dan peraturan. Sepatutnya mereka perlu meletakkan label tersebut sebagai sos perisa tiram.

"Ini jelas wujud penipuan yang mereka ingin lakukan pada jenama mereka dengan tujuan memperdayakan pengguna," sambungnya lagi.

Dalam pada itu Tony menjelaskan itu hanyalah sebahagian dari pemeriksaan yang dilakukan dan beliau pasti jika dilakukan penelitian lebih terperinci tentang kandungan lain sudah pasti lebih banyak lagi penyelewengan berlaku.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang turut serta pada sidang media tersebut memjelaskan kerajaan tidak sepatutnya mengambil kesempat atas jenama 1Malaysia kerana golongan pembeli adalah dari mereka yang berpendapatan rendah.

"Saya menyeru kepada kerajaan agar tidak menjadikan jenama produk 1Malaysia sebagai usaha mereka untuk mengambil kesempatan mengaut keuntungan.

"Kita tahu pembeli produk tersebut terdiri dari mereka yang berpendapatan rendah dengan tindakan penipuan pada label tersebut seolah-olah golongan pembeli tersebut telah dipergunakan.

"Mereka sepatutnya dilindungi sepenuhnya bukan dipergunakan melalui promosi harga yang murah sahaja. Kita bukannya menghalang wujudnya kedai 1Malaysia ini dan ia adalah satu yang baik tetapi cara ia dikendalikan serta bekalan produk perlu diperbaiki sepenuhnya," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Dalam pada itu Dr Dzulkefly menyarankan agar kesemua produk di kedai 1Malaysia ditelitikan sepenuhnya mengikuti apa yang terkandung dalam akta yang telah ditetapkan. Harakah


Kedai 1Malaysia: Menteri tidak bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 14 Nov: Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah tidak bertanggungjawab.

Beliau yang ditemui di lobi Parlimen menjelaskan Ismail Sabri sebelum ini telah menyatakan bahawa Pakatan Rakyat (PR) tidak mahu rakyat berpendapatan rendah menikmati atau mendapat barangan dengan harga yang murah, sebab itulah PR mengecam tindakan penubuhan Kedai 1Malaysia.

"Bagi saya kenyataan yang dikeluarkan oleh Ismail Sabri itu tidak bertanggungjawab dengan menuduh PR cuba menafikan hak yang sepatutnya dinikmati golongan berpendapatan rendah.

"Secara jelas ingin saya nyatakan bahawa PR sentiasa berjuang dengan kenaikan harga barang dan adalah satu yang mustahil bila wujudnya Kedai 1Malaysia kita menghalang.

"Yang sebenarnya kita tentang adalah cara penipuan yang dilakukan oleh kedai tersebut melalui produk keluaran mereka yang tidak menepati Akta Makanan dan Peraturan 281," jelasnya yang juga AJK PAS Pusat.

Tambahnya lagi, terlalu banyak produk yang dikeluarkan oleh mereka tidak menepati atau sama seperti apa yang dilabelkan pada produk mereka.

"Penipuan yang jelas adalah seperti apa yang berlaku pada sos tiram keluaran kedai 1Malaysia, dan menjadi tanggungjawab PR untuk terus membela penggunan, malah PR akan terus berperanan sebagai semak dan imbang dalam apa yang dilakukan oleh kerajaan.

"Kita bersetuju dengan penubuhan kedai tersebut tetapi jangan mengambil kesempatan atas pengguna dengan menawarkan produk yang tidak menepati piawaian makanan.

"Sepatutnya golongan berpendapatan rendah ini dilindungi bukannya dipergunakan. Kerajaan perlu pastikan bahawa segala produk tersebut menepati piawaian yang telah ditetapkan didalam akta dan jangan hanya fikir keuntungan semata-mata," katanya lagi.

Beliau memberitahu dengan peruntukan yang diterima sebanyak RM40 juta pada belanjawan kali ini perlulah memastikan barangan tersebut betul-betul berkualiti dan terjamin kesihatannya.

"Belanjawan yang besar diperolehi tetapi jangan pula dalam masa yang sama kedai tersebut hanya memikirkan keuntungan tanpa meneliti keperluan kesihatan pengguna," jelasnya lagi. HD

Kedai 1Malaysia: Murah tidak sentiasanya baik

Pada pendapat saya harga yang rendah bagi produk 1 Malaysia yang dijual di KR1M hanya penipuan semata-mata. Jika benar KR1M menjual barangan lebih murah daripada pasar-pasar dan tempat-tempat lain kenapa mereka tidak menjual jenama yang sama (bukan produk 1Malaysia) dengan harga yang lebih rendah bagi memudahkan pembeli membuat harga bandingan.

Contohnya kalau cili sos berjenama ‘Maggi’ dijual di kedai-kedai luar (bukan KR1M) pada harga RM2.50, KR1M patutnya menjual jenama yang sama pada harga yang lebih rendah..misalnya RM2.30 atau RM2.00 sahaja.

Ini barulah betul-betul nak menolong rakyat namanya kerana rakyat dapat membeli barang yang sama dari segi jenama, kualiti dan kandungan yang sama dengan harga yang lebih rendah.

Kalau sekadar mengeluarkan produk yang sama dengan jenama sendiri (1 Malaysia), sudahpasti rakyat tidak dapat buat perbandingan dengan sewajarnya (apple to apple) tentang produk yang dikeluarkan kerana ianya kemungkinan berbeza dari segi kandungan, kualiti atau kuantiti…. Oleh sebab itu ianya boleh dijual dengan harga lebih ‘murah’.

Selain itu jaminan dari segi kesihatan juga mungkin dilupakan kerana ingin mengejar keuntungan (tanpa keuntungan tiada kedai yang boleh hidup).

Akhirnya yang menanggung derita adalah pengguna sendiri kerana menggunakan barang-barang yang tidak berkualiti.

Satu lagi pertanyaan ialah, jika barangan 1Malaysia yang diberi didapati rosak, atau mengandungi benda asing atau menyebakan pengguna mengalami masalah kesihatan akibat menggunakan bahan atau barangan tersebut (1Malaysia), ada ke pihak yang boleh dipertanggungjawabkan untuk tindakan undang-undang….

Oleh itu, saya berharap pengguna lebih berhati-hati dalam membeli barangan 1Malaysia kerana murah itu tidak sentiasanya baik.

Baca betul-betul kandungan dan tarikh luput pada setiap botol atau barangan 1 Malaysia yang hendak dibeli. Lihat kualiti dan kuantiti yang tertulis di atasnya. HD

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular