Saturday, April 30, 2011

Joran: Tenggiri Tanjung Leman lapar sebelah pagi

  • Foto
    PEMANDANGAN jeti Tanjung Leman yang menjadi pintu masuk utama kaki pancing untuk mengail sekitar pulau di perairan Mersing, Johor.
  • Foto
    Samsulazan (kiri) dan Rudi bersama tenggiri masing-masing seberat 9 kilogram dan 12 kilogram yang menjadi habuan ketika memancing di perairan Tanjung Leman berhampiran Pulau Tinggi.

PERANCANGAN tujuh sahabat untuk mengail di sekitar Pulau Tinggi, di perairan Tanjung Leman, Mersing akhirnya tercapai pada Jumaat, 15 April lalu.


  • Foto
    PEMANDANGAN jeti Tanjung Leman yang menjadi pintu masuk utama kaki pancing untuk mengail sekitar pulau di perairan Mersing, Johor.
  • Foto
    Samsulazan (kiri) dan Rudi bersama tenggiri masing-masing seberat 9 kilogram dan 12 kilogram yang menjadi habuan ketika memancing di perairan Tanjung Leman berhampiran Pulau Tinggi.

Trip memancing dua hari ke perairan itu diketuai Samsulazan Md Salleh, 39, bersama rakan karibnya Rudi Jani, 39, bersama lima lagi rakan sekerja mereka.


Selepas dipersetujui, mereka menaiki bot nelayan yang disewa dengan harga RM900 dan dikemudi tekong Yan dan Wan yang sememangnya sudah dikenali sejak lebih setahun lalu.


“Kami bertolak dari Jeti Tanjung Leman kira-kira jam 8 pagi dan mengambil masa dua jam perjalanan menuju ke sebuah unjam untuk mencari umpan.


“Pada asalnya kami bercadang menyauk sotong kerana misi asal ialah menawan ikan kacang (alu-alu) dan merah, namun hampa apabila sotong dihajati tidak kelihatan di perairan itu,’’ katanya.

Namun, tidak disangka, sejumlah ikan selar hidup yang dikail menggunakan apollo ketika di unjam memberikan rezeki lumayan apabila ia dijadikan umpan hanyut yang kemudian disambar ikan gred mahal seperti tenggiri, ketarap, kaci, jenahak dan kerapu tanpa menunggu lama.

Katanya, keupayaan selar yang boleh hidup lama amat sesuai untuk dijadikan umpan memburu ikan gred mahal terutama tenggiri skala 9 kilogram ke atas. 
“Saya sendiri terkejut apabila umpan selar saya disambar seekor tenggiri lapan kilogram ketika separuh perjalanan menuju ke lubuk Kapal Karam berhampiran Pulau Tinggi yang memakan masa dua hingga tiga jam menggunakan bot nelayan.

“Selepas itu, giliran joran rakan saya, Rudi pula disambar ikan sama yang lebih besar iaitu seberat 12 kilogram,’’ katanya.

Sementara itu, Rudi mengakui trip ke perairan Tanjung Leman kali ini membawa tuah berbanding empat trip di lokasi sama tahun lalu yang berakhir dengan kekecewaan angkara dilambung ombak kuat yang kerap berubah secara mendadak.

Katanya, memancing di perairan Tanjung Leman memang perlukan bantuan tuah selain perkhidmatan tekong yang mahir dengan lubuk kerana jika dua faktor itu tidak menyebelahi pemancing, maka hasil yang disasarkan jauh berbeza daripada apa yang dijangkakan.

Mengulas mengenai suasana memancing sebelah malam, beliau berkata suasana arus dan cuaca memang baik tetapi ikan merah yang disasarkan tidak ditemui mungkin kerana belum tiba musimnya.

“Tekong akhirnya mengesahkan bahawa jika tiba musim sotong iaitu sekitar awal Julai, spesies gigi tajam itu termasuk alu-alu akan muncul dengan banyak," katanya.

Katanya masa inilah pemancing yang suka menduga kudrat ikan itu berbondong-bondong memenuhi perairan Tanjung Leman semata-mata untuk merasai sendiri pertarungan menentang alu-alu yang bersaiz besar.

Beliau dan enam rakannya bagaimanapun bertuah apabila misi asal memburu alu-alu bertukar rezeki lumayan apabila pelbagai ikan dibawa pulang dan dibahagi sama rata sebagai hadiah buat keluarga masing-masing di rumah.

Ditanya mengenai pertandingan Karnival GP Joran di Tanjung Leman pada 7 dan 8 Mei ini, Rudi dan Samsulazan mengakui belum bersedia berdepan jagoan pemancing profesional seluruh tanah air yang dianggap lebih handal memancing berbanding mereka.

“Saya ada bercadang mengambil bahagian tetapi pada tarikh berkenaan saya dikehendaki bekerja manakala rakan lain pula mempunyai komitmen masing-masing, jadi kita tengoklah nanti siapa yang bakal muncul juara," katanya mengakhiri perbualan. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment