Saturday, April 30, 2011

Ahli tuntut UMNO jelas pinjaman


PENDANG - Seorang ahli UMNO mendakwa kehilangan dua bidang tanah milik keluarganya yang dicagarkan kepada bank yang mana wang itu kemudian diguna untuk untuk membina pejabat UMNO Bahagian Pendang kira-kira 30 tahun lalu. 

Mohamad Said Awang Kechik berkata, tanah itu dilelong apabila pinjaman terbabit tidak dibayar pihak berkenaan. 

Menurutnya, pada 1970-an, beliau bersama lima rakan perniagaan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ulu Muda, Syafirul Hashim, menubuhkan syarikat kilang kayu dan membuat pinjaman overdraf dengan bank sebanyak RM16,000 untuk digunakan modal pusingan. 

Menurutnya, pinjaman itu diluluskan bank dengan meletakkan dua geran tanah milik bapanya, Awang Kechik Lebai Husain di Padang Pusing dan Kampung Sawa Kecil, di sini sebagai cagaran. 

“Bagaimanapun, hasrat membuka kilang kayu tidak dapat dilaksanakan setelah permohonan lesen operasi kilang tidak diluluskan, manakala wang terbabit digunakan Allahyarham Syafirul dengan persetujuan kami membina sebuah bangunan pejabat UMNO Pendang yang masih wujud sehingga kini. 

“Allahyarham Syafirul berjanji akan melunaskan semula pinjaman dan faedah kepada bank, namun hanya sempat membayar RM16,000 sebelum meninggal dunia, sedangkan baki pinjaman dan faedah meningkat menjadi RM61,000 ketika itu,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini, kelmarin. 

Mohamad Said mendakwa, sejak kematian Syafirul, tiada pemimpin UMNO tampil menyelesaikan baki pinjaman overdraf ditanggungnya sehingga salah seorang rakan perniagaan, Yah-ya Abu membuat pembayaran RM15,346 kepada bank pada 19 September 1995 untuk mengelakkan dua tanah itu dilelong. 

Bagaimanapun, beliau sekali lagi diarah menjelaskan pembayaran semula pinjaman sebanyak RM25,000 oleh bank melalui perintah mahkamah pada Mei 1997 untuk mengelakkan tanah itu dilelong. 

“Sebagai tindakan susulan, kami memutuskan berjumpa dengan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Dr Afiffuddin Omar yang menjadi Timbalan Menteri Kewangan ketika itu dan memohon beliau membuat permohonan pelupusan baki dan caj faedah pinjaman mencecah lebih RM100,000 ketika itu. 

“Dr Affifuddin memberi respons dan membuat permohonan pelupusan baki pinjaman overdraf itu kepada bank melalui surat bertarikh 1 Ogos 1997, bagaimanapun tiada jawapan balas dikemukakan bank,” katanya. 

Mohamad Said mendakwa, beberapa kali berjumpa dengan pihak UMNO Bahagian, termasuk ketua bahagian, Datuk Mohd Rozai Shafian, tetapi tidak mendapatkan kerjasama sewajarnya walaupun dirinya kini ‘ditekan’ oleh bank. 

“Saya mendesak UMNO negeri segera menjelaskan tuntutan dan sekiranya tidak diberi perhatian, kami sekeluarga akan membawa tikar dan bantal untuk ke pejabat UMNO yang dibina menggunakan wang kami,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment