Tuesday, July 9, 2013

Waspada usaha musuh mahu pecahkan Pakatan Rakyat

BN menyedari bahawa parti politik ‘pembangkang’ yang bersendirian tidak akan mampu mencabar kedudukan mereka sebagai pemerintah negara Malaysia.

Ini adalah di antara sebab mengapa mereka telah berjaya memerintah Malaysia sekian lama dan menikmati majoriti dua pertiga di Parlimen sepanjang masa memerintah. Sepanjang masa, hinggalah pada Mac 2008!

PAS juga menyedari bahawa secara bersendirian, PAS tidak mampu menjejas kedudukan BN di peringkat Pusat. Maka itulah sebabnya mengapa sejak dari dahulu lagi, PAS telah berusaha mengadakan kerjasama di antara parti pembangkang.

Kerjasama ini pada asalnya bertujuan mengelak berlakunya tiga penjuru sahaja tetapi mutakhir ini mempunyai matlamat yang lebih menyeluruh.

Ia bertujuan untuk membuktikan bahawa satu gabungan parti politik boleh diwujudkan yang mampu membentuk kerajaan bersama dan dengan itu menjadi pilihan bagi rakyat untuk memerintah Malaysia.

Kejayaan PAS di beberapa negeri sebelum ini seperti di Kelantan, sejak 1990 (melalui kerjasama dengan Semangat 46) dan Terengganu pada 1999 (melalui kerjasama bersama Barisal Alternatif), merunsingkan BN di negeri berkenaan.

Tetapi, kejayaan ini dengan sendirinya tidak menjejas BN di peringkat Pusat. Ini adalah kerana kejayaan tersebut adalah terhad kepada negeri tertentu dan tidak akan mampu mencabar kedudukan BN sebagai kerajaan di peringkat Pusat.

Kejayaan di negeri berkenaan pula hanya mampu menzahirkan kejayaan PAS dan bukan kewujudan satu gabungan yang mampu mengambilalih kedudukan BN di seluruh Negara dan menjadi kerajaan di peringkat Pusat.

Maka dengan itu, kejayaan PAS bersama KeADILan dan DAP, pada 2008, merupakan satu kejayaan lonjakan baru bagi politik tanah air. Kejayaan ini menghasilkan Pakatan Rakyat dan gabungan parti pembangkang ini jelas mampu menjejas kedudukan BN di setiap negeri dan juga di Pusat!

Ia merupakan mimpi ngeri BN yang telah menjadi kenyataan.

Buat kali pertama di dalam sejarah, satu gabungan parti politik yang berbilang kaum dan agama serta fahaman dapat dihasilkan yang bertindak bukan sekadar untuk hadapi BN dalam pilihan raya, tetapi jauh lebih daripada itu; gabungan ini berusaha membuktikan kemampuan mereka memerintah bersama sebagai satu kerajaan gabungan baru dalam arena politik Malaysia.

Kejayaan demi kejayaan, sejak 1990, walaupun secara berperingkat, adalah bukti kukuh bahawa pendekatan terbuka dan inklusif, adalah pendekatan yang tepat dan berkesan bagi PAS.

Pendekatan inklusif ini bermakna pendekatan yang ingin melibatkan semua pihak yang inginkan perubahan dalam satu gagasan dan pakatan yang padu.

Pendekatan ini merupakan ijtihad politik yang mengambil kira keharusan dari sudut syariyyah yang diadunkan dengan kefahaman realiti politik semasa yang tepat.

Natijah yang dicapai adalah bukti akan ketepatan ijtihad tersebut.

Menyedari bahaya dan potensi yang ada pada Pakatan, pihak BN pada 2008 bertindak dengan pantas untuk menggagalkannya. Sepertimana yang telah diketahui umum, di Selangor, Kedah dan Perak tawaran dibuat kepada pimpinan PAS untuk berkerjasama dengan BN di mana jawatan Menteri Besar akan diserahkan PAS.

Maka pada ketika itu soal kepentingan Melayu dan Islam serta bahaya Cina dan bukan Islam laungkan untuk mendapat persetujuan pimpinan PAS. Secara tiba-tiba BN menjadikan diri mereka sebagai pembela Melayu dan Islam.

Sepertimana kita semua tahu juga, usaha untuk menggagalkan pembentukan Pakatan pada saat awal-awal kelahirannya telah berjaya digagalkan dan dengan kegagalan itu, maka Pakatan dibentuk dan mula berfungsi sebagai kerajaan gabungan secara praktiknya di beberapa negeri.

Walaupun gagal pada ketika itu, usaha terus dilakukan untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat supaya BN akan kembali menjadi satu-satunya gabungan parti politik yang mampu kekal bersatu dan memerintah bersama.

Ini merupakan matlamat sebenar di sebalik tawaran kerjasama, iaitu tiada gabungan atau pakatan yang seperti BN akan dapat diwujudkan atau dipertahankan.

Soal penyatuan sesama Islam dan Melayu hanya sekadar ungkapan di bibir sahaja kerana sambil ia diungkap, Melayu dan Islam Kelantan terus ditindas.

Usaha untuk menggagalkan pembentukan dan penerusan pakatan dan gabungan ini dibantu oleh pimpinan tertentu di dalam PAS ketika itu dan ia mengambil bentuk:

1. Melaga-lagakan PAS dengan DAP pada awalnya supaya pakatan itu sentiasa dalam keadaan bertelagah (sekarang lebih kerap dengan KeADILan atas sebab pertindihan kerusi)

2. Dan melabelkan golongan yang kuat mempertahankan Pakatan dalam PAS sebagai golongan ‘parasit’, ‘Anwarinas’, “Erdogan’ dan sebagainya.

Pimpinan PAS yang mempertahankan pendekatan Pakatan, atas sebab ketepatan ijtihad pimpinan yang terbukti seperti disebut di atas, menjadi sasaran utama kempen melabel ini. Mereka digelar ‘parasit’ oleh Hassan Ali dan ‘Anwarinas’ oleh Zul Noordin dan yang seangkatan dengannya. Sering juga mereka dituduh “lebih KeADILan daripada PAS” dan diingatkan bahawa “Pakatan hanya Tahalluf Siyasi, bukan kita wala’ kepada Pakatan” seolah perkara itu tidak difahami mereka.

Sebenarnya, pendirian mempertahankan Pakatan dan mengukuhkan Pakatan adalah berdasarkan keputusan muktamar tahunan PAS yang tahun demi tahun, sejak 2008, memutuskan supaya PAS perlu mengukuhkan Pakatan.

Bagaimana tindakan mempertahankan Pakatan dan menentukan ianya tidak digagalkan oleh golongan yang ‘gopoh’ atau ‘musta’jilun’ serta berkepentingan dapat dikatakan membelakangkan parti dan mementingkan Pakatan lebih daripada PAS? Sedangkan usaha mempertahankan Pakatan adalah keputusan PAS!

Saya melihat ramai yang terpengaruh dengan tuduhan sedemikian terdiri dari golongan muda yang bersemangat tinggi tetapi tidak mengetahui sejarah sebenar serta realiti politik negara. Mereka diisi dengan semangat dan kefahaman bahawa PAS boleh bersendirian kerana sudah kuat berdasarkan kedudukan sekarang tanpa mereka memahami bagaimana PAS telah sampai ke kedudukan yang dianggap ‘kuat’ ini.

Pada hakikatnya, yang ingin sangat PAS bersendirian adalah Umno-BN. Itulah sebabnya mengapa Hassan Ali dan Zul Noordin memperkenalkan istilah parasit dan Anwarinas itu.

Tidak mustahil ia strategi yang dipilih oleh pihak risikan negara dan Special Branch dalam usaha mereka untuk membela BN.

Berdasarkan kajian teliti yang dilakukan mereka, golongan muda yang bersemangat ini boleh diguna-pakai untuk mengembalikan PAS kepada kedudukan asalnya, iaitu bersendirian dan tidak berpengaruh secara menyeluruh. Tidakkah pelik apabila istilah itu diulangi oleh golongan muda dalam PAS? Tidakkah mereka sedar betapa mereka dipermainkan oleh Umno dan agenagennya?

Kejayaan yang dicapai oleh Pakatan Selangor adalah bukti bagaimana sekiranya semangat Pakatan dihayati dengan penuh keikhlasan, semua pihak akan mendapat keuntungan darinya.

PAS adalah pihak yang paling untung hasil setiakawan yang tercapai melalui Pakatan Rakyat di negeri Selangor. Daripada empat kerusi pada 1999, kosong kerusi pada 2004, lapan kerusi pada 2008, sekarang pada 2013 PAS mencapai kemenangan di 15 kerusi.

Ini merupakan kejayaan yang membuktikan keberkesanan pendekatan tersebut. Diharapkan sangat bahawa PAS, sebagai parti Islam, mampu menunjukkan keikhlasan setiakawanan yang sama. Keberkesanan Pakatan sebagai sebuah entiti dalam mengukuhkan kedudukan PAS serta parti komponen yang lain telah pun terbukti.

Saya menyeru kepada semua ahli dan penyokong PAS, khususnya golongan muda, untuk memahami keadaan dan realiti politik negara dan menghargai usaha pimpinan, sekarang dan dahulu, yang menghasilkan Tahaluf Siyaasi yang sedia wujud hari ini.

Merobohkan apa yang telah dibina memang senang; membinanya memerlukan fatanah, kebijaksanaan, hikmah dan kematangan.

Mencari punca untuk bergaduh amat senang dan ia boleh dilakukan oleh mana-mana samseng jalanan. Mencari asas untuk bersatu dan berdamai hanya mampu dilakukan manusia bijaksana.

Saya yakin kebanyakan dari ahli dan penyokong PAS memahami bahawa usaha untuk mencetuskan perbalahan di antara PAS dan rakannya dalam Pakatan adalah perancangan yang dibawa Umno-BN. Ia tidak bertujuan memperkukuhkan kedudukan Melayu ataupun Islam, tetapi mengukuhkan kedudukan Umno-BN sendiri.

>> Khalid ialah AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Shah Alam.

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment