Tuesday, July 16, 2013

Tazkirah : Terbaik dari Mufti Selangor

SHAH ALAM – Jabatan Mufti Selangor menyarankan supaya tazkirah Ramadan diadakan dalam dua waktu ditetapkan sama ada selepas solat Maghrib yang berakhir sebelum Isyak atau setelah solat Tarawih selesai ditunaikan.

Mohd Tamyes Abd Wahid
Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, saranan itu dibuat bagi menjaga keharmonian jemaah yang hadir ke masjid atau surau untuk menunaikan solat sunat tersebut dalam suasana lebih kondusif.

Katanya, setakat ini, aduan berhubung masa tazkirah Ramadan itu tidak diterima, namun pihaknya mengambil langkah awal bagi mengelakkan pertikaian di antara jemaah yang konsisten untuk beribadah di masjid untuk mendapatkan keistimewaan Ramadan.

“Keistimewaan Ramadan ini janganlah diganggu sesuatu yang mungkin boleh menjejaskan keharmonian jemaah. Jemaah yang datang berbeza keadaannya. Ada (orang) bawa anak kecil, hendak balik cepat, begitu juga dengan pelajar sekolah yang mahu ulang kaji dan mereka yang perlu keluar awal pagi ke tempat kerja.

“Sekiranya tazkirah di tengah-tengah Tarawih, ini akan mengganggu konsentrasi jemaah. Keharmonian masyarakat yang datang itu mungkin berbelah bagi, akhirnya orang datang bukan dalam keadaan seronok nak beribadah, tetapi memikirkan tentang (perkara) yang akan berlaku selepas Terawih,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Mohd Tamyes berkata, penyelarasan waktu tazkirah itu tidak akan menjejaskan kehadiran jemaah memandangkan mereka yang berminat menghadirinya akan sanggup menunggu program berkenaan walaupun lewat dimulakan.

“Jemaah yang ke masjid itu bersedia mencari keistimewaan Ramadan dengan tawaran istimewa, iaitu mendapat rahmat ALLAH pada 10 hari pertama Ramadan, mendapat keampunan ALLAH pada 10 hari kedua dan pelepasan daripada api neraka untuk 10 malam terakhir.

“Ini telah pun dijelaskan oleh penceramah sebelum Ramadan tentang keistimewaannya. Maknanya untuk (tazkirah) Ramadan ini hanya sebagai ‘touch up’. Justeru, pentadbir masjid atau surau disaran adakan tazkirah Ramadan pada waktu ditetapkan,” katanya.

Mengulas mengenai penetapan rakaat solat Tarawih di masjid dan surau seluruh Selangor, Mohd Tamyes berkata, sebaik-baik solat Tarawih adalah ditunaikan sebanyak 20 rakaat berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebelum ini.

“Garis panduan itu dah lama (ada), terpulang kepada surau dan masjid,” katanya. SH

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment