Monday, July 8, 2013

Sokongan terhadap najib sudah berakhir...

Beliau seharusnya merayakan pelantikan sebagai pengerusi sebuah institusi yang dihormati, akan tetapi Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim diserang dari pelbagai penjuru baik dari partinya sendiri mahupun daripada pembangkang.

Paling melukakan Ahli Parlimen Baling itu adalah serangan dari partinya sendiri.

Dari kaca mata ahli-ahli politik Umno, pilihan Datuk Seri Najib Razak untuk jawatan pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) bukan sesuatu yang tepat dari segi pengalaman, kelayakan dan kemampuan untuk memimpin organisasi – mempunyai dana RM35 bilion.

Kritikan paling keras terhadap ahli politik berumur 47 tahun itu adalah beliau hanya mempunyai pendidikan sekolah menengah dan mendapat jawatan itu hanya kerana hubungan baik dengan keluarga Najib.

Nama beliau juga dikatakan satu-satunya yang dihantar oleh perdana menteri ke Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menteri hal ehwal Islam untuk menggantikan Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider sebelum ini nama bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar disebut-sebut untuk jawatan itu.

Abdul Azeez sedar dengan rungutan mengenai pelantikannya dan beliau bukan pilihan popular. Akan tetapi, beliau percaya dirinya perlu diberi peluang.

“Saya merayu kepada semua yang kritik beri peluang kepada saya terlebih dahulu berkhidmat sebagai Pengerusi Tabung Haji sebelum membuat penilaian,” kata beliau melalui perbualan telefon bersama The Malaysian Insider.

“Saya anggap semua kritikan tersebut sebagai kritikan membina. Fokus utama saya adalah untuk menjaga kebajikan jemaah haji dan umrah,” tambahnya.

Beliau sedar tentang kritikan kerana tidak mempunyai latar belakang perniagaan dengan pantas mengatakan TH mempunyai ahli-ahli lembaga pengarah berwibawa untuk melakukannya.

“Hala tuju perniagaan Tabung Haji saya fikir sudah baik.

“Kita mempunyai ahli lembaga pengarah yang berkaliber seperti Datuk Othman Mahmood yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), jadi dari segi perniagaan saya dah tak perlu bimbang sangat,” katanya.

Akan tetapi, Abdul Azeez mengakui tanggungjawab sebagai pengerusi TH merupakan satu amanah besar yang beliau pegang dan berjanji untuk menyelesaikan masalah berhubung dengan jemaah haji Malaysia.

“Berkenaan dengan aduan tentang jemaah haji yang tidak dapat menunaikan ibadah kerana menunggu terlalu lama sehingga meninggal dunia. Saya akan semak perkara ini dan cuba untuk memperbaikinya,” katanya.

Abdul Azeez yang menubuhkan Kelab Putera 1Malaysia pada 2010 dan aktif dalam aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) di dalam dan luar negara seperti menjalankan program di Gaza, Palestin.

Penyokong Najib mempertahan pelantikan Abdul Azeez mengatakan ahli politik itu membuktikan beliau adalah pemimpin yang efektif dan berpengalaman sebagai ahli lembaga pengarah TH.

Perdana menteri sendiri hanya mendiamkan diri kerana tahu mood dalam Umno yang tidak begitu memihak kepadanya selepas prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 5 Mei lalu.

Penentangan dalaman terhadap pelantikan Abdul Azeez memberikan indikasi hari di mana Najib sentiasa disokong oleh partinya sudah berakhir.

Dalam masa 48 jam lalu, Ahli Parlimen Kinabatangan dari Umno, Datuk Bung Mokhtar Radin menyerang perdana menteri secara terbuka mengatakan beliau akan meletak jawatan sebagai anggota Parlimen jika tidak dapat lebih banyak wang dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan.

Sebelum ini media melaporkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) seperti Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendesak Najib supaya meneliti semula pelantikan Abdul Azeez supaya ia mengikut garis panduan tertentu berdasarkan keupayaan, kredibiliti dan tidak partisan yang menyebelahi Umno dan BN.?

"Janganlah dipolitikkan segala-galanya di negara ini dan saya nampak Perdana Menteri terpaksa menganugerahkan, membayar dan memberi politikus tertentu jawatan, saya masih merasakan ia melampaui batasan.??

"Tabung Haji merupakan satu institusi yang harus kita pegang dan melantik sesiapa yang terbaik, mempunyai kepakaran untuk memastikan pegangan dan khazanah umat Islam tidak terjejas," kata Naib Presiden PKR itu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar juga tidak bersetuju dengan pelantikan Abdul Azeez dan mendesak Najib menimbang semula tindakan itu.??

Menurut Mahfuz, pelantikan jawatan tertinggi agensi kerajaan perlu melalui proses saringan ketat bagi mengelakkan daripada dana awam itu diselewengkan.??

"Sepatutnya, untuk melantik seorang sama ada jawatan pengerusi, lembaga pengarah, CEO dan panel pelaburan TH, saya fikir sepatutnya kita perlu lakukan tapisan yang telus dalam pelantikan itu.??

"Pengisian jawatan itu bukan untuk membantu ahli politik yang tidak mendapat jawatan di atas (menteri) untuk menampung pendapatan dan sebagainya,” kata Naib Presiden PAS itu dipetik dari laporan media.

The Malaysian Insider melaporkan sebelum ini Najib akan memberikan habuan kepada ahli politik Umno dengan melantik mereka mengisi jawatan syarikat berkait kerajaan seperti TH, Telekom Malaysia dan Majlis Amanah Rakyat (Mara). ~the malaysian insider

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment