Sunday, July 14, 2013

Siapa pemimpin besar Umno itu?

*BEBERAPA orang pembaca, termasuk dalam kalangan anggota Umno menelefon saya, ingin tahu nama pemimpin parti yang bernada sinis dan marah-marah terhadap Sinar Harian.

Batu Buruk dan keropok lekor
“Tidak kira siapa dia, (pemimpin itu) bukan sahaja angkuh tetapi juga tidak bijak dan memalukan parti,” kata salah seorang pemanggil, merujuk kepada tulisan di ruangan ini minggu lalu dengan tajuk ‘Lawan, Atau Tidak Lawan’ yang menyebut pengalaman tidak berapa sedap editor dan wartawan kanan Sinar Harian ketika berkunjung ke pejabat pemimpin berkenaan.

Sebenarnya perihal sikap pemimpin tersebut telah pun diulas oleh Datuk A Kadir Jasin dalam blognya ‘The Scribe’ pada 11 Jun 2013, bertajuk ‘Kurangkan Protokol Dan Jangan Boros’. Saya siarkan sepenuhnya tulisan beliau yang menyentuh insiden kakitangan Sinar Harian itu:

“Saya mendengar satu cerita yang luar biasa apabila pengarang dan beberapa orang wartawan Sinar Harian menemui seorang pembesar Umno yang berjawatan penting di ibu pejabat parti itu.

“Mesejnya kepada Sinar Harian lebih kurang begini: ‘Surat khabar kamu tidak menyokong Umno/BN dalam PRU lalu. Kamu tidak perlu membuat liputan mengenai kegiatan saya dan tidak perlu menjemput saya untuk upacara kamu.’

“Untuk menyeronokkan cerita dan berteka-teki, saya sengaja tidak mendedahkan siapa pembesar yang, macam kata pembahas “raju2u”, ada lesen besar untuk buat apa sahaja.

Kalau inilah pekerti dan kepakaran para pembesar Umno, parti itu akan mati bunuh diri.”

Itulah yang ditulis oleh Kadir, berdasarkan perbualan saya dengan beliau pada satu majlis perkahwinan anak seorang bekas pemimpin Umno di pinggir KL. Saya tidak mahu berteka-teki, tetapi rasanya tidak perlu saya beritahu siapa pembesar berkenaan.

Lagi pun saya sedar Sinar Harian hanya surat khabar kerdil, apalah kita di mata dan hati pembesar parti itu. Beliau ada sekian banyak akhbar perdana, ada berpuluh stesen radio dan TV, jadi bagi beliau tidak mendapat liputan dalam akhbar saya pun tidak mengapa.

*MEMANG ada seorang dua pemimpin Umno, termasuk yang duduk dalam jemaah menteri, selalu sinis dan tidak mesra dengan Sinar Harian. Malah, ada yang mengelak dan takut apabila cuba dihubungi wartawan kami.

Tetapi lebih ramai pemimpin yang berfikiran terbuka, tidak prejudis, tidak marah-marah, sebaliknya sedia menerima wakil akhbar ini tidak kira di mana, bila-bila masa. Mereka mesra walaupun pertama kali bertemu.

Saya ambil Datuk Rohani Abdul Karim sebagai contoh. Sehari sebelum Ramadan saya – bersama beberapa pegawai kanan media tempatan – pertama kali bertemu dengan beliau pada satu majlis makan tengah hari di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu cepat mesra, berbual macam sudah kenal lama. Dia tidak marah pada akhbar, malah dalam ucapannya, politikus wanita dari Bumi Kenyalang itu mengucapkan terima kasih kepada wartawan yang telah banyak membantu beliau.

Pandai berkelakar, sedia mendengar pandangan dan teguran wartawan, dan terserlah cinta dan kasih sayangnya kepada kanak-kanak kurang upaya yang turut hadir dan membuat persembahan pada majlis tersebut. Sesuai betul beliau duduk di kementerian berkenaan.

Dalam Umno – juga dalam Kabinet – ada banyak orang seperti Rohani. Jadi, saya tidak kisah dengan gelagat seorang dua ‘pembesar’ yang berlagak seolah-olah dialah paling besar dan paling berkuasa.

*AKHIR kalam, baru hari pertama Ramadan, sudah ada berita seorang remaja di Alor Setar diwadkan kerana cedera dan melecur muka gara-gara bermain mercun buatan sendiri. Kita ada sebulan lagi sebelum raya, dan setiap hari akan ada berita seperti ini.

Berapa ramai nanti yang akan putus jari atau buta? Setiap tahun terjadi perkara serupa, tetapi orang kita tidak serik-serik. Betullah kita mudah lupa. Selamat berpuasa!


Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment