Tuesday, July 16, 2013

Hendak bersihkan daftar pemilih?, boleh percaya ke?

Ambiga: Bersih tidak percaya SPR akan bersihkan daftar pemilih
Bagi Bersih, tiada apa yang berubah walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan jawatankuasa khas sudah ditubuhkan untuk membersihkan daftar pemilih dan laporan berkala akan disiarkan kepada umum.

Bersih masih mahu set pegawai SPR sedia ada mengundur diri.
Pengerusi bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan, berkata badan pemilih itu tidak boleh dipercayai untuk membersihkan daftar pemilih.

"Ini bukan benda baru. Mereka beritahu hendak membersihkan daftar pemilih sejak bertahun yang lalu, tetapi, kita asyik menemui kesalahan (dalam daftar). Saya tidak mempercayai mereka. Mereka tidak melakukan kerja secara teliti," katanya kepada The Malaysian Insider.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, sebelum ini berkata, jawatankuasa dalaman ditubuhkan pasca Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) untuk membersihkan daftar pemilih bagi memastikan daftar itu boleh dipercayai dan bebas kontroversi untuk pilihan raya akan datang.
Wan Ahmad berkata, pegawai SPR dari seluruh negara sedang bekerjasama untuk membersihkan daftar pemilih dan jawatankuasa itu akan mengeluarkan laporan pada bulan ini dan dari masa ke masa.

Ambiga, bagaimanapun, menempelak SPR dengan menyatakan pembersihan daftar pengundi itu sepatutnya mendapatkan kerjasama rakyat.

"Kita tidak nampak ia dilakukan seperti itu," katanya.

Beliau menggesa SPR untuk melaksanakan cadangan yang dibuat ketika Suruhanjaya Dirajaya dan Inkuiri Sabah iaitu memadam daftar pemilih semasa dan melakukan pendaftaran pengundi semula.

"Kita juga mencadangkan kepada SPR supaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dibawa masuk untuk membantu kerana mereka mempunyai kepakaran dalam bidang ini. Mereka pernah melakukannya di Bangladesh," katanya.

Peguam itu juga mencabar SPR untuk membabitkan pertubuhan awam dan wakil daripada setiap parti politik untuk kerja pembersihan daftar pemilih, bagi memastikan ia benar-benar mematuhi peraturan.

"Seksyen 9A Akta Pilihan Raya juga patut dikeluarkan bagi membolehkan mahkamah meneliti daftar itu," katanya.

Seksyen 9A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2002) menyebabkan daftar pemilih yang digazetkan tidak boleh dibawa ke mahkamah oleh mana-mana pihak.

Ambiga bagaimanapun, berkata Bersih tidak akan mengubah pendiriannya untuk meminta kepimpinan tertinggi SPR meletakkan jawatan, walaupun badan pengendali pilihan raya itu menjanjikan perubahan.

Beliau juga memuji Pakatan Rakyat terhadap tuntutan mereka untuk membatalkan keputusan PRU13 di semua 222 kerusi, membubarkan SPR dan meminta pemilihan baru akibat daripada kekcohan dalam dakwat kekal, dengan menyatakan sudah sampai masanya SPR berdepan dengan `penipuan awam' yang dibawanya berikutan kegagalan dakwat kekal berfungsi dengan sempurna.

"Ia adalah tragedi kepada SPR kerana gagal melihat betapa seriusnya isu ini."

PRU13 pada 5 Mei lalu menjadi subjek kontroversi berikutan pelbagai tunduhan penipuan dan menyalahi peraturan termasuk isu dakwat kekal yang mudah dibasuh dan daftar pemilih yang tercemar.

Kontroversi itu membawa kepada bantahan di seluruh negara termasuk daripada Bersih yang menggesa pimpinan tertinggi SPR meletak jawatan kerana gagal mengendalikan pilihan raya yang bersih dan adil. - 16 Julai, 2013.

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment