Monday, July 29, 2013

Dakwah negatif ultra kiasu, Kalimah ‘Allah’ dalam teks Hindu dan Sikh..?

Dakwah negatif ultra kiasu
Ada pihak yang kononnya perjuangkan Melayu tetapi sebenarnya cuba mencemarkan imej Islam.

Pelbagai perkembangan di Malaysia sejak beberapa minggu lalu sekali lagi membuktikan tanpa ragu betapa golongan minoriti tetap dianggap bersalah walaupun mereka berada di pihak yang benar.

Pada masa sama, golongan majoriti – yang sepatutnya bertanggungjawab melindungi minoriti – pula tidak memiliki perasaan simpati mahupun empati. Apa yang penting adalah bahawa mereka terus menang dan berjaya menegakkan benang yang basah.

Penelitian di atas tidak perlulah saya khususkan kepada mana-mana peristiwa atau kejadian kerana boleh sahaja dikaitkan oleh orang ramai dengan apa-apa yang berlaku sejak beberapa minggu lalu di negara bertuah ini.

Apabila golongan minoriti tampil mempertahankan diri – mempertahankan hak – dengan memberikan hujah-hujah yang benar dan tepat berdasarkan pegangan agama/budaya golongan majoriti (supaya golongan majoriti akan lebih faham), tetap juga menjadi kesalahan.

Sekadar contoh, saya mengeluarkan kenyataan media pada 18 Julai 2013 berhubung tindakan menghina dan memperlekeh agama orang lain. Saya menyatakan bahawa pihak berkuasa dan pemerintah sebenarnya dan sesungguhnya mampu bertindak segera dan pantas dalam hal-hal yang melibatkan sensitiviti agama dan kaum di negara ini.

Walau bagaimanapun, sebagai seorang warganegara yang mencintai negara ini, saya merasakan bahawa tindakan pihak berkuasa dan pemerintah adalah bersifat berat sebelah dan secara terang-terangan bertentangan dengan ajaran Islam.

Dalam kenyataan media itu, saya memberikan contoh Timbalan Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), Zulkifli Noordin yang terbukti sekurang-kurangnya dua kali membuat kenyataan menghina kaum India dan agama Hindu.

Contoh lain yang amat jelas dan diketahui umum adalah tindakan Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang dilaporkan menghasut orang Melayu di Pulau Pinang membakar Al-Kitab yang mengandungi kalimah “Allah” di dalamnya.

Memandangkan individu ultra kiasu, rasis, fanatik dan etnosentrik seperti itu termasuk dalam kumpulan majoriti, maka tiada sebarang tindakan diambil ke atas mereka. Malah, Zulkifli diangkat sebagai “rakan Barisan Nasional” untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, manakala Ibrahim terus bermaharajalela dan kini sekumpulan kaum India diakuinya sudah jatuh cinta padanya!

Umpama katak puru di bawah tempurung
Apabila memperkatakan mengenai nasib buruk yang terpaksa ditanggung oleh golongan minoriti di negara ini, saya menyebut tentang Nabi Muhammad yang saya tegaskan sebagai “satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi”.

Agak melucukan bahawa topik atau isu sebenar yang saya kemukakan dalam kenyataan media itu tidak mendapat perhatian mana-mana pihak berkenaan – termasuk pemerintah. Sebaliknya, sebuah kumpulan yang tidak popular bernama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mempamerkan mentaliti kurang cerdik.

Wakil ISMA mengeluarkan kenyataan pada keesokan hari bahawa sekiranya saya begitu kagum dengan Nabi Muhammad, maka saya perlu memeluk agama Islam. Ternyata ISMA tidak mempunyai kemampuan untuk memahami kandungan kenyataan media saya. Mungkin juga kerana saya menggunakan Bahasa Malaysia dan bukannya Bahasa Arab.

Satu lagi isu yang masih hangat adalah berkaitan kalimah “Allah”. Saya menulis beberapa makalah pada 22 Julai 2013 bagi menjelaskan mengenai pandangan agama Hindu, Kristian dan Sikh. Sekurang-kurangnya mereka ada ruang dan peluang untuk bersuara.

Namun begitu, hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa puak etnosentrik, ultra kiasu dan rasis adalah umpama katak puru di bawah tempurung. Mereka tidak tahu – dan tidak mahu tahu – mengenai apa-apa yang berlaku di luar tempurung itu.

Maka, salah satu tujuan saya menulis beberapa makalah mengenai kalimah “Allah” adalah sebagai santapan minda golongan yang matang, waras dan mampu berfikir. Bagi golongan katak puru di bawah tempurung pula adalah supaya mereka sedar bahawa ada dunia di luar tempurung itu dan penghuni (manusia) di luar tempurung itu juga ada hak untuk bersuara demi mempertahankan hak mereka.

Seperti yang telah dijangkakan, seorang peguam – saya tidak pasti akan jantinanya – tampil berusaha menegakkan benang yang basah. Saya tidak membazir masa dan tenaga terhadap reaksinya yang disiarkan di portal ini beberapa hari kemudian. Biarkan sahaja anjing menyalak bukit.

Walau bagaimanapun, saya melihat reaksi individu itu sebagai sesuatu yang positif, iaitu golongan ultra kiasu dan etnosentrik sudah mendapat “isyarat” bahawa golongan minoriti tidak akan terus membisu dan membiarkan hak mereka dirampas. Kalau tidak, masakan wakil ISMA dan peguam wanita itu akan terus melatah, lalu mengeluarkan kenyataan yang separuh masak dan terkeluar daripada topik sebenar.

Jerat saya juga sebenarnya sudah mengena. Sebelum kenyataan balas dikeluarkan, puak terbabit tentulah sudah membaca apa yang saya tulis. Hanya sekitar satu peratus isi yang dikemukakan itu dibantah kerana kononnya kurang tepat. Maknanya, mereka mengakui 99 peratus fakta yang ditampilkan. Ini sudah lebih daripada mencukupi!

Jangan biarkan imej Melayu, Islam dicemari
Sejak beberapa minggu lalu juga saya berusaha menulis makalah mengenai konsep “puasa” dalam amalan agama Hindu, Buddha, Baha’i dan sebagainya. Saya merasakan bahawa bulan Ramadan adalah masa yang terbaik untuk membantu masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia memahami amalan budaya orang “Bukan Islam” (Tidak Islam) berkaitan puasa.

Dalam pada itu, acara #Fast4Malaysia akan berlangsung pada 31 Julai 2013 di mana masyarakat pelbagai kaum dan agama digalakkan berpuasa mengikut budaya/agama masing-masing dengan motif mengimpikan perpaduan dan keamanan di tanah air tercinta ini.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan Projek Dialog akan menganjurkan acara “Baca Cerpen Perpaduan” dan majlis berbuka puasa dalam skala kecil-kecilan di Taman Sri Muda, Shah Alam sebagai pengisian program. Waktu berbuka puasa (mengikut agama Islam) dipilih supaya peserta pelbagai kaum/agama boleh makan bersama-sama.

Malangnya, ada pula puak kurang cerdik, ultra kiasu dan etnosentrik yang mempersoalkan mengapa orang Islam perlu berpuasa demi perpaduan dan keamanan negara. Mereka juga melihat tindakan orang “Bukan Islam” berpuasa sebagai tidak wajar dan umpama mempersenda agama Islam – kecuali para peserta terbabit segera memeluk agama Islam!

Demikianlah dangkalnya pemikiran dan daya pemahaman golongan ultra kiasu dan etnosentrik yang mahu pula berlagak kononnya memperjuangkan hak kaum tertentu. Tanpa disedari, mereka sebenarnya sedang memalukan kaum dan agama mereka. Mereka memberikan nama buruk kepada kaum Melayu dan agama Islam.

Tidak mustahil bahawa mereka sebenarnya amat sedar akan kebodohan tindakan mereka. Akan tetapi, mereka tetap mahu menyalak semata-mata mahu muncul sebagai wira yang diraikan. Apa yang penting bagi mereka bukanlah menegakkan kebenaran (truth) tetapi hanya mahu menang walaupun bersalah.

Kita sering diberitahu, orang Islam mempercayai bahawa syaitan dan iblis diikat sepanjang bulan Ramadan. Maka, segala tidakan bodoh dan mencetuskan kegusaran, kebimbangan dan ketakutan dalam kalangan masyarakat minoriti seperti yang berlaku sekarang tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada hasutan syaitan dan iblis.

Sebaliknya, terbukti bahawa puak ultra kisau, fanatik dan etnosentrik memang akan terus menindas dan menzalimi golongan minoriti dalam segala bentuk dan segala cara pada sepanjang masa. Mungkin juga motif sebenar mereka adalah merosakkan imej kaum Melayu dan mencemarkan kesucian agama Islam di mata orang “Bukan Melayu” dan “Bukan Islam”.

Anehnya, seperti yang dapat kita perhatikan sejak dahulu, tiada sebarang tindakan diambil terhadap mereka. Seolah-olah mereka kebal dan kedudukan mereka adalah di atas undang-undang; di atas pemerintah. Mereka bebas melakukan apa sahaja.

Satu-satunya cara untuk menghentikan perbuatan terkutuk golongan “pendakwah negatif” yang mencemarkan nama baik Melayu dan Islam adalah dengan menyeru golongan minoriti yang tertindas supaya segera bangkit berjuang demi hak dan maruah.

Selain mempertahankan hak dan maruah kaum/agama sendiri, golongan minoriti juga akan berpeluang membantu membersihkan nama baik Melayu dan Islam daripada puak ultra kiasu, fanatik, rasis dan etnosentrik yang sedang berusaha secara penuh licik untuk memecah-belah Bangsa Malaysia. - Uthaya Sankar SB July 29, 2013

‘Allah’ dalam teks Hindu dan Sikh
Mungkin ramai yang terlepas pandang bahawa kalimah “Allah” turut terdapat dalam teks agama Sikh dan Hindu.

Pada 5 Februari 2013, saya mencatatkan di Facebook dan di blog bahawa “Tuhan tidak murka apabila sekali sekala saya merujuk kepada-Nya sebagai ‘Allah’ atau ‘God’ dalam doa sejak usia kanak-kanak”.

Petikan itu kembali “segar” apabila saya membaca laporan Bernama (16 Julai 2013) bahawa kerajaan negeri Kedah tidak mengizinkan kalimah “Allah” digunakan oleh orang Bukan Islam dalam kitab mereka.

Segera saya mencatatkan pandangan dalam bentuk gurauan di Facebook: “Bagaimana dengan istilah ‘Allah’ dalam kitab rasmi agama Sikh? Atau pun di Kedah hanya ada Sik tetapi tiada orang Sikh?”

Saya cuba membayangkan (secara gurauan) bahawa mungkin juga ada wartawan bertanya, “Bagaimana dengan orang Sikh?” lalu dijawab oleh individu terbabit: “Termasuk juga orang Sik!”

Atau saya mengimaginasikan seorang wartawan media Bahasa Inggeris bertanya, “What about the Sikh?” dan dijawab, “Yes, even if they are sick.”

Paparan di atas tidak bertujuan menghina atau mempersenda sesiapa. Sebaliknya untuk menekankan fakta dan hakikat bahawa dalam kitab suci agama Sikh iaitu Sri Guru Granth Sahib, memang kalimah “Allah” digunakan beberapa kali.

Malah, sejak kecil, saya turut menyanyi lagu bhajan berjudul “Raghupati Raghava Raja Ram” yang memaparkan frasa “Iswara Allah”. Lagu itu turut menjadi kegemaran Mahatma Gandhi dan pernah dinyanyikan semasa Satyagraha (1930).

Lagu itu masih dinyanyikan dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia; termasuk dalam filem Hindi seperti “Bharat Milap” (1942), “Jagriti” (1954), “Purab Aur Paschim” (1970), “Kuch Kuch Hota Hai” (1998), “Lage Raho Munna Bhai” (2006) dan “Gandhi, My Father” (2007).

Berbalik kepada Sri Guru Granth Sahib, The Times of India (5 Julai 2008) pernah melaporkan mengenai usaha penduduk beragama Sikh di Malaysia berjuang mempertahankan hak menggunakan (mengekalkan) kalimah “Allah” dalam kitab suci berkenaan.

“Tidak ada sepatah perkataan pun dalam Sri Guru Granth Sahib yang boleh dipinda kerana ia kitab suci. Kalaulah kalimah ‘Allah’ tidak boleh dikenalkan, seolah-olah penganut Sikh dihalang daripada mengamalkan agama sendiri,” kata presiden Majlis Gurdwara Malaysia (MGC) waktu itu, Sardar Jagir Singh.

Untuk makluman mana-mana puak etnosentrik, ultra kiasu dan fanatik yang hanya menjadi katak di bawah tempurung, ajaran Sikh diasaskan pada kurun ke-16 di wilayah Punjab yang kini terletak sebahagian di India dan sebahagian lagi di Pakistan.

Sekadar makluman juga, Lembaga Alkitab Indonesia (LAI) di laman sesawangnya pada 15 Mei 2009 menjelaskan bahawa catatan pada kurun ke-6 membuktikan bahawa kalimah “Allah” sudah digunakan oleh kumpulan Kristian Ortodoks sebelum kedatangan Islam.

“Penganut agama Kristian di Mesir, Iraq, Algeria, Jordan dan Lubnan masih menggunakan istilah ‘Allah’ dalam Bible. Maka, kalimah ‘Allah’ tidak boleh dikatakan milik satu-satu agama,” kata kenyataan itu.

Seorang individu bernama A Rahman menerusi surat yang disiarkan di Malaysiakini (6 Januari 2010) turut menekankan bahawa kalimah “Allah” sudah wujud jauh sebelum kelahiran Nabi Muhammad.

Dalam kitab Veda dan Upanishad
“Penduduk Bukan Islam di Sarawak dan Sabah menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan sejak tahun 1800-an. Saya pernah lihat menerusi internet, Bible keluaran tahun 1818 menggunakan kalimah ‘Allah’ di dalamnya,” kata Rahman sambil menekankan bahawa Quran sendiri menyebut bahawa orang Kristian memanggil Tuhan sebagai Allah (5: 72-73).

Pada 6 Januari 2010, presiden MGC, Harcharan Singh mengeluarkan kenyataan membidas usaha pihak tertentu yang cuba menghalang semua orang Bukan Islam (Tidak Islam) menggunakan kalimah “Allah”.

“Sebarang sekatan yang dikenakan pasti akan memberikan kesan negatif serta bercanggah dengan hak penganut agama Sikh membaca teks daripada kitab Sri Guru Granth Sahib,” tegasnya dalam kenyataan yang disiarkan di Malaysiakini.

Dalam amalan agama Sikh di serata dunia, nama-nama seperti Allah, Raam, Paarbrahm dan Krishan digunakan tanpa sekatan dan halangan apabila merujuk kepada Tuhan; serta tercatat dalam kitab suci agama Sikh.

Walaupun “Waheguru” adalah nama yang paling lazim digunakan di Malaysia, nama-nama lain bagi Tuhan dalam Sri Guru Granth Sahib termasuk Akal Purakh, Ek Onkar, Satnam, Hari, Govinda, Bhagavan, Rabh, Allah, Rahim, Karim dan Malik.

Sekadar perbandingan, Tuhan dalam agama Hindu (agama tauhid pertama di dunia) berciri “ekan anekan” iaitu tunggal tetapi dikenali dengan nama/sifat yang tidak boleh dibilang (infiniti). Dalam agama Islam pula ada 99 nama terpilih bagi Allah yang Maha Esa (Eka); walaupun jumlah nama-nama itu adalah tidak ada had (infiniti).

Tentu sahaja makalah ini tidak bertujuan mempersenda, mempersoalkan atau mencabar apa-apa kes yang sedang dibicarakan di mahkamah. Sebaliknya untuk membantu orang ramai mendapatkan pelbagai maklumat tambahan sebagai santapan minda.

Sekurang-kurangnya supaya mereka tidak mudah diperkotak-katikkan dan ditipu bulat-bulat oleh mana-mana puak yang licik mengatur strategi berbaur perkauman.

Pada 8 Januari 2013, presiden MGC, Jagir Singh tampil mengulangi kenyataan bahawa apa-apa sekatan/halangan terhadap penggunaan kalimah “Allah” oleh semua orang Bukan Islam (Tidak Islam) sebenarnya bertentangan dengan hak penganut agama Sikh.

“Kami ingin mendidik rakyat Malaysia bahawa kalimah ‘Allah’ adalah salah satu bahagian penting dalam Sri Guru Granth Sahib dan nama ‘Allah’ digunakan beberapa kali dalam kitab suci itu untuk merujuk kepada Tuhan,” katanya dalam kenyataan yang turut disiarkan di pelbagai media alternatif.

Karpal Singh dilaporkan berkata bahawa kalimah “Allah” muncul dalam Sri Guru Granth Sahib sebanyak 46 kali (The Star, 20 Januari 2013). Hasil pembacaan saya, khabarnya Sheikh Farid menggunakan kalimah “Allah” dalam Sri Guru Granth Sahib sebanyak 12 kali sementara Guru Nanak, Guru Arjan dan Kabeer menggunakannya 18 kali.

Pada Januari 2013, saya pernah mengumpulkan pandangan dan hujah rakan-rakan pelbagai kaum dan agama berhubung penggunaan kalimah “Allah”. Makalah berkenaan yang bertajuk “Demi Allah!” boleh dibaca di blog saya.

Sesungguhnya, kalimah “Allah” turut terdapat sekurang-kurangnya empat kali dalam Rigveda iaitu salah satu daripada empat veda yang menjadi panduan dalam agama Hindu. Salah satu versi Upanishad yang dikenali sebagai Allo Upanishad turut menggunakan kalimah “Allah” beberapa kali.

Usaha menduakan Tuhan?
Tentu sahaja segala fakta berdasarkan bukti yang dikemukakan di sini tidak bertujuan mencabar sebarang kes di mahkamah. Malah, saya pasti bahawa puak tertentu yang beranggapan kalimah “Allah” hanya layak digunakan orang tertentu tidak tahu-menahu mengenai segala fakta ini.

Tentulah puak etnosentrik, ultra kiasu, fanatik dan rasis hanya umpama katak di bawah tempurung.

Dalam pada itu, Free Malaysia Today (6 Februari 2013) melaporkan bahawa penaung Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong tindakan presiden Perkasa, Ibrahim Ali menghasut orang Melayu membakar kitab Bible di Pulau Pinang pada Januari 2013.

“Membakar buku-buku yang diharamkan memang prosedur biasa,” kata bekas pengerusi Barisan Nasional (BN) itu yang sering dikatakan orang sudah semakin nyanyuk sejak tidak memegang tampuk kuasa.

Bisop Paul Tan dalam suratnya yang disiarkan di FMT (16 Februari 2013) menyatakan pandangan yang amat logik dan sama dengan pandangan yang sering saya kongsi bersama-sama rakan-rakan pelbagai kaum dan agama.

“Dengan mengatakan bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh orang Bukan Islam akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang Islam sebenarnya sama sahaja dengan mengakui bahawa pegangan agama (keimanan) mereka begitu lemah sehingga begitu mudah tergugat,” katanya dengan penuh rasional.

Sementara itu, kajian oleh Merdeka Center (26 Februari 2013) menunjukkan bahawa 83 peratus daripada 1,021 pengundi Melayu-Islam berdaftar di Semenanjung Malaysia mahu supaya hanya orang Islam diberikan hak menggunakan kalimah “Allah”.

Usahlah terkejut kerana 34 peratus responden berkenaan turut menyokong seruan Ibrahim Ali supaya orang Melayu-Islam membakar kitab Bible versi terjemahan. Maka kita sudah boleh mengagak tahap pemikiran responden terbabit.

Walau apa pun keputusan mahkamah atau apa-apa pun fatwa yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak, sukacita saya menegaskan bahawa saya akan terus menggunakan apa-apa kalimah yang sesuai – termasuk “Allah” – apabila berbicara dengan Tuhan.

Saya juga akan menjauhi puak-puak yang mengatakan kalimah “Allah” hanya boleh digunakan orang Islam sementara orang Bukan Islam (Tidak Islam) perlu menggunakan kalimah/istilah lain apabila merujuk kepada Tuhan.

Pandangan mereka sebenarnya seolah-olah mengundang kesesatan kerana cuba menghasut orang ramai – termasuk orang Bukan Islam – secara penuh halus dengan ajaran bahawa ada lebih daripada satu Tuhan!


Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Post a Comment