Saturday, June 8, 2013

Betulkah UMNO dah sedar jangan derhaka pada Raja Melayu??

Syukur, UMNO sudah sedar, jangan berniat jahat pada Raja Melayu lagi
Isu yang sangat ‘seditious’ terhadap Yang Di Pertuan Agong sangat perlu dipantau dengan serius kerana kita tidak mahu sistem dan Institusi Raja-Raja Melayu itu dicemarkan. Tindakan beberapa orang yang mempersoalkan kedudukan dan pandangan Yang Di Pertuan Agong melalui facebook baru-baru ini adalah tindakan yang amat besar implikasinya terhadap kedaulatan negara kita.

Walaubagaimana pun saya tidak mengikuti apa yang mencetusi isu ini menjadi isu yang besar, kerana isu Raja Berperlembagaan ini sudah menjadi isu yang dibangkitkan setiap hari melalui saluran TV perdana kita. Banyak program-program khas disiarkan dan yang terakhir saya lihat ialah semalam melalui program Perdana Hal Ehwal Islam, TV1.

Dalam titah ucapan baginda Tuanku Yang Di Pertuan Agong beberapa hari yang lepas, YDP Agong telah menasihati semua pihak untuk menerima keputusan pilihanraya baru-baru ini. Anwar memberikan reaksi yang pihak pembangkang akan terus mengadakan perhimpunan itu sehingga mencapai matlamat mereka.

Berikutan kenyataan Anwar itu maka pihak kerajaan telah memberikan reaksi terhadap kenyataan Anwar itu dengan bersandarkan kepada titah ucapan Tuanku Yang Di Pertuan Agong itu. Maka fahamlah kita semua kenapa program saluran TV dan program-program lain yang bersifat tata rakyat diadakan untuk menekankan betapa kemuliaan kedudukan Raja-Raja Melayu itu wajar dijaga dan dipertahankan.

Tetapi apabila saya mengikuti program yang saya akui baik ini, saya tidak boleh melupakan apa yang berlaku pada tahun 1993 dahulu semasa krisis perlembagaan terbesar dalam sejarah negara kita. Apabila ahli-ahli panel membincangankan isu ini, saya secara automatik teringat kepada hebatnya krisis semasa itu yang dilakukan oleh UMNO terhadap Raja-Raja Melayu genap dua puluh tahun dahulu.
Semasa itu pimpinan UMNO telah mencerca Institusi Raja-Raja Melayu hanya kerana kuasa dan keluhuran Majlis Raja-Raja semasa itu mungkin menyebabkan UMNO dan pimpinan akan kehilangan kuasa. Tindakan UMNO yang telah memecahkan banyak institusi demokrasi semasa itu memungkinkan Majlis Raja-Raja bertindak dengan adil sebagai Raja Berperlembagaan itu dan keadilan Majlis Raja-Raja itu akan menundukkan UMNO yang hampir terkubur semasa itu.

Semasa itu Perlembagaan Negara telah memperuntukkan kekebalan kepada Raja-Raja Melayu dan isu Raja-raja Melayu tidak boleh disentuh samada di dalam atau di luar Parlimen. Peruntukan ini tidak boleh dipinda. Tetapi dalam keadaan terdesak UMNO semasa itu telah melanggar segala larangan ini dengan berkonfrantasi dengan Raja-Raja Melayu dengan mencerca kemuliaan kedudukan Raja-Raja Melayu itu. Puluhan laporan Polis telah dilakukan oleh orang Melayu melalui pertubuhan-pertubuhan politik dan individu terhadap mereka yang melakukan kenyataan yang berbaur hasutan untuk merendahkan martabat Raja-Raja Melayu itu.
Dr Mahathir sendiri telah mencela Raja-Raja Melayu dan disokong dengan begitu kuat oleh Naib Presiden UMNO, Anwar Ibrahim serta Ketua Pemuda UMNO Najib Tun Razak. Berbagai-bagai cemuhan dilakukan oleh pemimpin UMNO dan kerajaan terhadap Raja-Raja Melayu melalui Utusan Malaysia, Berita Harian serta saluran TV1 dan TV3 setiap malam.

Raja-Raja Melayu semasa itu telah dianggap seperti sampah kepada rakyat oleh UMNO kerana kepentingan politik UMNO itu sendiri. Semasa itu kami sangat bersimpati dengan nasib Raja-Raja Melayu kerana difitnah dan dicerca secara besar-besaran oleh pimpinan UMNO.

Satu insiden yang saya tidak boleh lupakan ialah apabila Tuanku Yang Di Pertuan Besar NS Darul Khusus telah difitnah dengan membuat tuduhan yang Yang Di Pertuan Besar NS telah menggunakan tanah baginda di Lukut sebagai tempat membela khinzir. Fitnah ini diperbesarkan oleh Utusan Melaysia semasa itu.

Saya sendiri yang tidak ada apa-apa pun telah dititahkan oleh Yang Di Pertuan Besar untuk mengadap baginda dua tiga kali semata-mata untuk mengadu hal kepada saya. Baginda tahu yang saya tidak ada apa-apa pengaruh sekali pun tetapi baginda menitahkan saya untuk bersama-sama baginda untuk bersarapan dan bersantap dengan baginda semata-mata untuk meluahkan perasaan kepada seorang yang memahami perasaan seorang Raja yang ditekan oleh impian kerajaan kita itu.

“Kami ini Raja dan tidak boleh memberikan reaksi kepada fitnah ini!” begitulah keluhan Tuanku Yang Di Pertuan Besar kepada saya sambil minum pagi di Istana Hinggap Seremban serta Istana Besar Sri Menanti beberapa kali semasa itu.

Saya faham saya dititahkan untuk mengadap kerana ramai pengampu-pengampu UMNO yang lazimnya bersama Tuanku selalu, sudah tidak datang lagi kerana takutkan kepada pemantauan politik UMNO semasa itu.

Raja-Raja Melayu kesunyian dan hanya mengurung diri di Istana membaca kenyataan-kenyataan menghina kemuliaan Raja-Raja tanpa mampu memberikan reaksi terhadap fitnah-fitnah itu.

Justeru jika ada forum-forum berhubung dengan kemuliaan Raja-Raja Melayu kita diadakan melalui TV1, TV2 atau TV3 sekarang ini, wajar dijadikan pencemaran yang dilakukan oleh UMNO terhadap kemuliaan Raja-Raja Melayu semasa itu sebagai contoh yang jelas dalam membicarakan isu ini. Ingatlah rakyat betapa hinanya sikap UMNO semasa itu menghina Raja-Raja Melayu yang diketuai oleh Presidennya sendiri dan disokong oleh Anwar Ibrahim serta Najib Tun Razak terhadap Raja-Raja Melayu semasa krisis besar perlembagaan pada tahun 1993 itu.

Kepada siapa yang jujur dan luhur terhadap diri sendiri, tidak akan teragak-agak mengakui yang UMNOlah yang telah memulakan pencemaran terhadap Raja-Raja Melayu kita. Tidak ada siapa mendengar pencemaran itu datangnya dari pimpinan PAS atau DAP atau mana-mana parti lain. Raja-Raja Melayu hanya akan dicemarkan oleh orang Melayu sendiri dan ia tidak mungkin datang dari bangsa-bangsa lain.

Sekarang saya gembira melihat UMNO sedang berselindung di sebalik kemuliaan Raja-Raja Melayu itu dan sentiasa mahu berlindung di celah ketiak Raja-Raja Melayu. Saya bergembira kerana UMNO sudah kembali sedar betapa pentingnya institusi Raja itu kepada rakyat dan negara lebih-lebih lagi dalam keadaan UMNO sedang tersepit kini.

Jika UMNO jujur terhadap Raja-Raja Melayu, saya memberikan cabaran agar kembalikan peruntukan kuasa Raja yang telah dipinda pada 1993 dahulu kerana Perlembagaan semasa itu tidak membenarkan beberapa bab yang berhubung kait dengan Raja-Raja Melayu itu tidak boleh dipinda.

Kepada pimpinan UMNO, lain kali jangan buat jahat pada Raja-Raja Melayu. Kata perbilangan, ‘terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya’.

Mungkin kita boleh sorot kembali isu ini jika ada masa untuk menyorotnya kembali. - Aspan Alias
Ucapan Mahathir Semasa Membahaskan Pindaan Imuniti Raja-Raja Melayu 1993!!



Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD

Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 08/03/93
Tajuk/Title : SEMASA PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1993

Tuan Yang di-Pertua,

Saya telah menjelaskan dengan panjang lebar pada 18 Januari 1993 mengenai tujuan Kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan apa yang dianggap sebagai kekebalan atau immunity Raja-Raja, iaitu mereka tidak boleh dihadapkan ke mahkamah biasa untuk orang ramai kerana melakukan apa-apa kesalahan.

Pindaan ini dibuat kerana difikirkan pengecualian Raja-Raja daripada tindakan undang-undang sudah tidak sesuai lagi dengan aliran zaman.

Dengan pindaan ini adalah dipercayai perasaan marah kepada Rajaatau Sistem Beraja dapat dielakkan kerana rakyat akan dilindungi oleh undang-undang daripada dianiaya oleh Raja dan dengan itu adalah dipercayai dan diharap Raja tidak akan melakukannya.

Dengan pindaan ini, perhubungan di antara Raja dengan rakyat akan menjadi lebih teratur dengan kedua-kedua pihak mempunyai hak-hak tertentu di bawah undang-undang yang jelas dan bukan lagi hanya ditentukan oleh adat yang mudah disalaherti dan disalahtafsirkan.

Rakyat tidak lagi akan marah kepada Raja kerana apa yang dilakukan oleh
Raja adalah terhad kepada peruntukan di bawah undang-undang. Sebaliknya jika rakyat melakukan sesuatu kesalahan terhadap Raja, maka yang akan menentukan hukum ialah pengadil atau hakim dalam Mahkamah Khas yang akan menguatkuasakan undang-undang biasa.

2. Setelah dibahas, Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 telah diluluskan mengikut peruntukan Perlembagaan dengan lebih daripada dua pertiga majoriti oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Menurut prosedur, Rang Undang-undang ini telah dihantarkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

3. Setelah menerimanya Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan mempunyai dua pilihan, iaitu:

* Baginda memberi perkenan kepada Rang Undang-Undang tersebut dalam tempoh 30 hari; atau

* Baginda memulangkan balik kepada Parlimen dengan menyatakan mengapa Rang Undang-Undang tersebut tidak diperkenankan untuk dipertimbangkan semula atau diubahsuaikan oleh Parlimen.

4. Kini Yang di-Pertuan Agong telah mengembalikan Rang Undang-Undang tersebut dengan cadangan beberapa pengubahsuaian untuk dipertimbangkan semula oleh Parlimen.

Jika Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang ini, sama ada dengan pengubahsuaian atau tidak, ia akan dikembalikan kepada Yang di-Pertuan Agong. Jika Yang di-Pertuan Agong memperkenankannya maka ia akan menjadi sebahagian daripada undang-undang yang sah. Jika tidak diperkenankan ia akan menjadi sah selepas genap 30 hari.

5. Pengubahsuaian yang dibuat terhadap Rang Undang-Undang berkenaan adalah hasil daripada beberapa perbincangan di antara pihak Kerajaan dengan pihak Raja-Raja.

Pengubahsuaian ini disyorkan demi memperkemaskan undang- undang berkenaan dan menjaga kehormatan Raja-Raja.

6. Pengubahsuaian ini tidak menjejaskan tujuan utama Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) l993 yang diluluskan oleh Parlimen, iaitu menentukan Raja boleh didakwa di bawah undang-undang negara.

Perbezaannya ialah Raja-Raja akan dihadapkan ke Mahkamah Khas sahaja.
Peruntukan asal dalam Perlembagaan bahawa Raja tidak boleh dihadapkan ke mahkamah biasa dikekalkan.

7. Penyesuaian ini memerlukan dua perkara yang baru ditambah kepada Rang Undang-Undang berkenaan. Perkara yang pertama ialah mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Agong atau kedudukan Raja sekiranya Baginda atau Raja menghadapi tindakan undang-undang. Yang di-Pertuan Agong hendaklah berhenti menjalankan fungsinya sebagai Agong apabila
menghadapi tindakan undang-undang. Begitu juga dengan Raja-Raja Negeri.

Sekiranya Raja menghadapi tindakan undang-undang, Raja hendaklah berhenti menjalankan fungsi Baginda dan jika didapati bersalah dan dihukum penjara lebih daripada satu hari akan diturunkan takhta melainkan jika Baginda diampun.

Dalam tempoh Raja berhenti menjalankan fungsi-fungsi Raja, seorang Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja akan dilantik mengikut Perlembagaan Negeri untuk menjalankan fungsi Raja negeri berkenaan.

Bagi membolehkan fungsi-fungsi Raja itu dijalankan oleh seorang Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda.

Penyesuaian ini, saya percaya, disyorkan oleh Raja-Raja kerana tentulah aneh dan tidak dapat diterima oleh masyarakat dan juga oleh Raja-Raja jika seorang Raja yang dihadapkan ke Mahkamah Khas ini terus menjalankan tugasnya sebagai Raja atau ianya masih terus menjadi Raja setelah dihukum oleh mahkamah dan menjalani hukuman.

8. Mengikut peruntukan Perkara 71 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri mesti mengandungi peruntukan-peruntukan yang dinyatakan di dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Maka selaras dengan pindaan-pindaan yang diperbuat kepada Jadual Kelapan itu Kerajaan Negeri juga perlu mengambil tindakan untuk meminda Perlembagaan Negeri masing-masing supaya Perlembagaan Negeri juga selaras dengan peruntukan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

9. Adalah diharapkan Kerajaan-Kerajaan Negeri akan menghormati keputusan Raja-Raja dan Perlembagaan Persekutuan dengan membuat pindaan tersebut.

10. Sekiranya Perlembagaan Negeri tidak juga dipinda supaya peruntukan Perlembagaan Negeri sejajar dengan pindaan yang dibuat kepada Jadual Kelapan itu, maka mengikut kuasa yang diberi di bawah Perkara 71 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan, satu undang-undang boleh dibuat di peringkat Persekutuan untuk memastikan bahawa peruntukan-peruntukan di dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan itu dapat juga dikuatkuasakan di dalam negeri-negeri.

Dengan demikian kita berharap pindaan-pindaan yang dimaksudkan itu akan dilaksanakan oleh semua Kerajaan Negeri.

11. Pindaan yang kedua ialah sebarang tindakan ke atas Raja-Raja tidak boleh diambil tanpa persetujuan Peguam Negara. Ini adalah bagi menjamin Raja-Raja tidak diheret ke mahkamah oleh pihak-pihak yang hendak memalukan Raja-Raja atas sebab-sebab yang tidak berasas.

Baca Lagi Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Post a Comment