Ramai yang bertanya kepada saya setelah selesai pilihanraya ke 13 baru-baru ini samada Pakatan Rakyat itu adalah satu ‘sustainable force’ untuk menundukkan UMNO dan BN dalam pilihanraya yang akan datang. Mereka bertanya kepada saya sebagai seorang biasa yang tidak melepaskan pandangan dan perhatian terhadap isu politik tanahair mengikut kemampuan saya yang tidak sepertinya ini.
Persoalan ini adalah persoalan yang susah hendak dijawab jika dipandang dari satu sudut khusus dan tidak pula susah untuk memberikan ulasan jika dipandang dari sudut yang lain. Saya lebih berkecenderungan untuk melihat Pakatan Rakyat sebagai satu ‘entity’ yang ingin mengambil alih kuasa kerajaan. Pakatan Rakyat ini merupakan gabungan tiga buah parti besar, PAS, DAP dan PKR.
Pada saya dalam keadaan sekarang adalah susah untuk Pakatan Rakyat mengambil alih kepimpinan kerajaan yang ada. Yang terpenting hubungan diantara ketiga-tiga parti itu wajar diperkukuhkan walaupun masing-masing mempunyai perbezaan dari segi ideologi dan perjuangan masing-masing. Sesungguh perbezaan itu jugalah yang mewajibkan diadakan kebersamaan dalam menghadapi rakyat.
BN pun mempunyai masalah yang sama. Bezanya BN telah lama wujud dan kewujudan BN itu adalah teras kepada keperluan yang sangat meruncing semasa awal tujuh puluhan dahulu akibat dari kejadian 13 Mei 1969 dahulu. BN lebih kental hubungan inter-partinya dalam gagasan Barisan Nasional itu.
Di pihak Pakatan Rakyat pula ia tidak mempunyai ‘coalition’ yang formal dan diatas sebab inilah dikalangan parti-parti dalam komponen Pakatan Rakyat itu terdapat perbezaan dari pendekatan masing-masing. Tiada apa-apa kenyataan dan pendirian Pakatan Rakyat itu diasaskan kepada kebersamaan persepsi terhadap sesuatu isu. Kenyataan-kenyataan pimpinan ketiga-tiga parti tidak diselaraskan untuk menunjukkan kebersamaan kepada rakyat.
Semasa ucapan Tahun Baru dahulu, Lim Guan Eng telah meminta kerajaan membenarkan penggunaan nama Allah, dan hasilnya ia membawa malapetaka kepada PAS dan parti itu terpaksa memaparkan perbezaan pendapat diantara puak-puak dalam PAS secara terbuka. Jika ada persepakatan yang sama tidak akan wujud perjuangan yang berbeza diantara satu parti dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat itu.
Itu jelas menunjukkan yang perhubungan dan pertalian diantara satu dengan parti yang lain belum lagi terbentuk dengan baik. Mungkin ia memakan sedikit masa untuk membentuk imej kebersamaan itu.
PAS terpaksa berdiri ‘defensive’ dan terpaksa menghadapi berbagai-bagai cemuhan dari parti lawan BN yang juga parti lawan kepada DAP. DAP sebaliknya mendiamkan diri dan PAS terpaksa bergelumang dengan hebatnya hasil dari sebaris ungkapan LGE dalam perutusan Tahun Baru nya itu. Saya yakin LGE pasti tahu akibat dari ucapan beliau itu. Tetapi kenapa kenyataan itu keluar dalam ucapan rasmi Tahun Baru beliau itu?
Dalam isu ini PAS terang-terang menjadi mangsa ucapan dan kandungan teks ucapan Setiausaha Agong DAP itu menjadi isu bisikan rakyat dimana-mana, khususnya negeri pantai timur. Pendeknya Pakatan Rakyat belum lagi stabil perhubungan diantara parti-parti didalamnya.
Selagi ini berlaku ia tidak akan membawa Pakatan Rakyat kemana-mana. Biarlah berjuta rakyat yang membanjiri program ceramah dan himpunannya, keputusannya tetap akan memihak kepada BN walau sekecil mana sekali pun kemenangannya. Saya berkeyakinan jika BN terbukti mampu untuk melakukan perubahan walaupun sedikit dari sekarang maka BN akan tetap memenangi pilihanraya-pilihanraya yang akan datang.
Pada pandangan umum Pakatan Rakyat terlalu bergantung kepada keupayaan Anwar membawa kehadiran dalam himpunan yang mana dihadiri oleh Anwar. Apakah Anwar mampu untuk bertahan pupolariti beliau hanya berdasarkan kepada isu tuduhan terhadap SPR yang tidak telus itu?
Malahan begitu ramai yang mempersoalkan samada Anwar benar-benar bersatu dengan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain itu? Anwar bukannya tidak mempunyai rekod menjadikan mangsa rakan seperjuangannya dalam politik. Ramai yang tidak terkejut jika Anwar melepasi hajatnya untuk menjadi PM beliau akan melakukan tindakan membakar jambatannya selepas berjaya menyeberang.Ada yang berpendapat Anwar kan hilang langkah dan tarinya untuk mengekalkan kedudukan beliau sebagai pemimpin yang menjadi penyatu dan pelengkap kepada Pakatan Rakyat setelah kekalahan PR dalam PRU yang lalu.
Tetapi itulah politik kita di sini. Dalam pemimpin-pemimpin ini bermain politik anak-anak muda yang ramai yang memberikan sokongan ini akan menjadi mangsa permainan ini. Ini adalah lumrah dalam politik di negara ini. Tetapi bagi anak-anak muda yang terpengaruh dengan kehebatan ucapan yang berapi dari pimpinan mereka akhirnya merupakan orang yang akan membangkang pemimpin ikutan mereka itu kembali.
Tetapi kita tidak mungkin mampu untuk meyakinkan anak-anak muda ini sehinggalah mereka sendiri merasakan apa yang telah ramai rasakan sebelum ini. Apabila sampai masanya nanti mereka yang berkumpul dan berhimpun memberikan sokongan kepada himpunan 505 ini misalnya, akan kembali membantah tindakan pimpinan yang pernah mereka dukung dahulu.
Itu sebabnya saya membiarkan sahaja sesiapa dikalangan anak-anak muda ini menghentam saya, kerana saya lebih kurang tahu apa yang akan mereka hadapi jika Pakatan Rakyat memerintah selepas pilihanraya ke 13 yang lalu. Saya tidak berselera untuk melakukan usaha meyakinkan mereka semasa mereka sedang hayal dengan apa yang mereka sebutkan sebagai ‘perjuangan rakyat’ dan berbagai-bagai lagi ungkapan untuk memberikan keseronokkan kepada diri mereka sendiri.
Bagi mereka yang mempunyai sedikit pengalaman, mereka hanya mengorakkan senyum mereka sahaja kerana mereka tahu apa kesudahannya dengan apa yang mereka lakukan sekarang ini.
Maklum sahajalah anak muda julung berkeris…begitulah sikap mereka dan itu adalah ‘normal’ dan mereka akan belajar melalui pengalaman yang akan mereka lalui sendiri itu. Itulah cara pembelajaran yang paling baik bagi mereka walaupun belajar melalui pengalaman orang lain itu adalah cara yang lebih baik lagi.
Walau bagaimanapun negara ini adalah negara demokrasi. Masing-masing berhak untuk memilih cara masing-masing untuk mendapatkan pelajaran dalam hidup ini. - Aspan Alias
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
No comments:
Post a Comment