Wednesday, March 6, 2013

Hentikan bayaran kepada waris Sultan Sulu

Hentikan bayaran kepada waris Sultan Sulu -- Dr. RanjitKUALA LUMPUR: Seorang tokoh sejarah mencadangkan kepada kerajaan supaya tidak lagi meneruskan pembayaran wang sebanyak RM5,300 setahun kepada waris Kesultanan Sulu demi mempertahankan sepenuhnya kedaulatan ke atas Sabah.

Prof Emeritus Dr Ranjit Singh dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, pembayaran wang itu boleh menjejaskan kedaulatan negara ke atas Sabah yang sehingga hari ini masih didakwa oleh waris kesultanan itu sebagai milik mereka.

"Pada pandangan saya, kerajaan Malaysia mesti menghentikan pembayaran itu.

"Sekiranya kerajaan berpegang bahawa ia adalah satu cession (penyerahan) dan bukannya pajak, kita sebagai negara merdeka tidak harus meneruskan pembayaran itu kerana ia menjejaskan kedaulatan kita," katanya.

Dr. Ranjit berkata demikian semasa temubual bersama Kamarul Bahrin Haron dalam program Agenda Awani pada Selasa.

Pembayaran wang sebanyak RM5,300 setahun itu adalah berdasarkan kepada perjanjian yang dibuat antara Sultan Jamalul Ahlam Kiram dengan dua pedagang Eropah, Alfred Dent dan Baron von Overbeck pada 22 Januari 1878.

Perjanjian itu adalah bagi pajakan ke atas wilayah Borneo Utara yang hari ini merupakan sebahagian daripada Sabah meliputi kawasan dari Sungai Pandasan di utara sampai ke Sungai Sibuku di selatan.

Dokumen perjanjian itu dalam bahasa Inggeris bagaimanapun menterjemahkan perkataan pajak sebagai penyerahan (grant and cede).

Malaysia meneruskan pembayaran itu selepas Sabah menyertai Malaya, Sarawak dan Singapura untuk membentuk Malaysia pada 1963.

Jelas Dr. Ranjit, pembayaran tahunan itu sehingga sekarang digunakan oleh Filipina dan waris Sultan Sulu untuk berhujah mendakwa bahawa Sabah adalah milik mereka.

Setiausaha Pertahanan Filipina, Viltaire Gazmin dalam satu sidang media di Manila minggu lalu mendakwa tindakan Malaysia yang terus membayar "pajak" kepada waris Kesultanan Sulu membayangkan bahawa Filipina ada hak untuk menuntut Sabah.

Sultan Jamalul Ahlam Kiram yang memajak wilayah itu kepada pedagang Eropah berkenaan adalah moyang kepada Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu yang sah sekarang.

Beliau adalah orang yang bertanggungjawab mengirimkan kumpulan pengganas yang menceroboh Sabah dan berkubu di Kampung Tanduo, Lahad Datu sejak pertengahan Februari lalu.

Selepas kumpulan itu mengorbankan 8 anggota polis, pasukan keselamatan menggempurkan kampung berkenaan pada pagi semalam dalam operasi bersama Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia yang diberi nama Ops Daulat.

Dalam kenyataan Sabtu lalu itu, Gazmin bagaimanapun menegaskan pembayaran oleh kerajaan Malaysia kepada waris Kesultanan Sulu itu tidak menghalalkan tindakan pengikutnya menceroboh Sabah.

Malaysia mempertahankan Sabah sebagai wilayahnya yang berdaulat antara lain berdasarkan kepada pilihan yang dibuat oleh rakyat Sabah untuk membentuk Malaysia pada 1963. Pilihan itu juga kemudiannya diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Berita mula diterbitkan pada: Mac 06, 2013 07:30 (MYT)

Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/hentikan-bayaran-kepada-waris-sultan-sulu-dr-ranjit-9251?cp

"Segala pertempuran ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya" .. Klik SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

No comments:

Post a Comment